Misalnya, isu penggunaan bahasa Melayu. Sudah terang lagi bersuluh, bahasa Melayu dinobatkan dan diangkat sebagai bahasa rasmi Malaysia. Penggunaannya perlu menyeluruh di semua peringkat dan lapisan masyarakat Malaysia. Perlu diingatkan, bahasa melambangkan bangsa. Bahasa Melayu melambangkan bangsa Malaysia.

Penggunaan satu bahasa rasmi dalam kalangan rakyat memudahkan komunikasi antara mereka. Paling utama, bahasa melambangkan identiti dan jati diri sesuatu bangsa. Negara-negara di dunia yang lebih maju dan berdisiplin serta hebat pun masih mengekalkan bahasa mereka tanpa memperjudikan nasib bahasa mereka dengan menggunakan bahasa lain.

Misalnya, Jerman, Jepun dan Perancis, ketiga-tiga negara ini negara ekonomi maju, hebat dalam pelbagai bidang dan sentiasa dihormati di peringkat antarabangsa. Mereka tidak memperjudikan bahasa mereka, malah berasa bangga dengan bahasa mereka sendiri.

Jauh sekali menggadaikan maruah bahasa mereka. Hal ini berlaku sedemikian rupa kerana mereka ini begitu ya­kin dengan bahasa sendiri. Pada masa sama, mereka juga mampu berbahasa lain, namun tetap mengutamakan bahasa sendiri dalam kalangan mereka tidak kira bidang apa pun. Malah, bahasa mereka disebarkan di seluruh dunia dan ramai masyarakat dunia mempelajari bahasa mereka.

Lebih-lebih lagi, rakyat Jepun. Adakah kemajuan mereka akan terjejas teruk hanya kerana mempertahankan penggunaan bahasa Jepun dalam kalangan rakyat sendiri? Ekonomi mereka tetap unggul meskipun menggunakan bahasa Jepun.

Dalam hal ini, sesuatu bangsa perlu jelas identiti mereka. Bukannya identiti yang tidak dikenali oleh orang lain. Bahasa melambangkan identiti masyarakat sesebuah negara. Maka, sudah tentulah untuk mengukuhkan identiti perlu meletakkan keutamaan terhadap bahasa. Dalam konteks ini, tidak lain tidak bukan bahasa rasmi Malaysia, bahasa Melayu.

Selain penggunaan bahasa Melayu, nila-nilai murni juga perlu diletakkan keutamaan dalam mengukuhkan lagi identiti rakyat Malaysia. Nilai-nilai murni ini perlu berteraskan akhlak yang hebat. Misalnya, kita lihat bagaimana akhlak penyokong Jepun mengutip sampah sejurus selepas tamatnya perlawanan pasukan kebangsaannya dengan pasukan negara lain semasa Piala Dunia 2018.

Bagaimana begitu cantiknya akhlak mereka ini sehingga membentuk satu identiti yang menjadi bualan orang. Pastinya, mereka ini mengutip sampah bukan tujuan untuk dipuji. Begitu juga, pastinya mereka tidak mengharapkan kisah mengutip sampah ini menjadi bualan umum atau menjadi berita utama media massa di seluruh dunia.

Sememangnya, rakyat Jepun dikenali begitu berdisiplin dengan menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Mereka telah berjaya mengamalkan nilai-nilai tersebut yang diterapkan sejak kecil lagi termasuklah dalam konteks mengutip sampah di mana pun mereka berada. Buktinya, di negara mereka sendiri pun begitu bersih dan cantik tanpa adanya sampah merata-rata tempat.

Ini sudah cukup membuktikan bahawa mereka membawa identiti pembersih di mana pun mereka berada. Maknanya di sini, nilai-nilai murni yang diterapkan dalam kehidupan mereka menjadi identiti mereka di serata dunia. Meskipun begitu jauh jarak antara Jepun dan Rusia, namun, identiti mereka ini tetap jelas kelihatan di seluruh dunia melambangkan betapa bertamadunnya mereka ini dalam konteks dunia moden pada masa kini.

Lambang ketamadunan ini perlu juga bercirikan identiti berbudi bahasa. Berbudi bahasa dalam konteks kehidupan seharian. Seseorang yang memiliki identiti berbudi bahasa sentiasa menggunakan akal dan kebijaksanaannya untuk kebaikan.

Memiliki sifat baik dan sentiasa mengamalkan perbuatan baik yang berteraskan nilai-nilai murni. Misalnya, dalam konteks sekarang, bagaimana kita lihat sikap berbudi bahasa ini seolah-olah semakin lenyap ditelan zaman. Ambil contoh bagaimana media sosial digunakan sebagai tempat untuk menghasut dan memfitnah yang mana ini jauh daripada identiti berbudi bahasa.

Begitu juga, bagaimana sudah menjadi barah sikap suka melabel-labelkan orang, mencari kesalahan dan mengaibkan sesiapa sahaja tanpa rasa malu bahawa betapa salahnya sikap sebegini dalam konteks sebuah negara yang bertamadun. Ini tidak kira yang muda mahupun yang sudah berusia. Sikap berbudi bahasa nampaknya semakin lenyap ditelan zaman. Bagaimana mungkin kita dapat mengukuhkan lagi identiti rakyat Malaysia dengan baik tanpa adanya sikap berbudi bahasa diamalkan dalam kehidupan seharian?

Jadi, apakah tanggungjawab kita semua? Tidak lain tidak bukan tidak kira sesiapa pun kita, sama ada pe­mimpin mahupun golongan yang dipimpin, ibu bapa, guru dan masyarakat keseluruhannya perlu mengukuhkan lagi identiti masyarakat Malaysia yang berteraskan bahasa Melayu, amalan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa. Jika tidak, dibimbangi identiti masyarakat Malaysia sukar untuk dikenali.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).