Berdasarkan data 2014, rakyat Semenanjung Malaysia menghasilkan sebanyak 30,764 tan sisa pepejal (sampah) sehari daripada 36,659 tan sisa pepejal sehari untuk seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Sebanyak 45.5 peratus daripada jumlah itu adalah sisa makanan dan hampir keseluruhan terpaksa dihantar ke tapak-tapak pelupusan.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia secara sedar atau tidak telah banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan sehari ke dalam tong sampah dan seterusnya ke tapak pelupusan. Ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang suci murni. Keadaan ini perlu dihentikan segera dan tidak dibiarkan terus berlaku di negara kita. Sewajarnya kita mengambil inisiatif untuk mencipta peluang menjana kewangan melalui hasil pengkomposan bahan organik ini.

Pengkomposan adalah satu proses pereputan atau penguraian bahan organik seperti sisa makanan dan sisa perkarangan rumah yang diuraikan menjadi humus atau dalam erti kata lainnya menjadi bahan yang mirip seakan tanah. Pengkomposan adalah teknik semula jadi untuk kitar semula sisa organik menjadi tanah baharu yang dapat digunakan untuk penanaman bunga, sayur, landskap dan banyak lagi.

Seperti pernyataan di atas, le­bih 45.5 peratus sisa yang dibuang ke tapak pelupusan adalah daripada sisa organik dan ini menjadi lebih serius dari tahun ke tahun dengan kadar populasi penduduk di Malaysia yang semakin bertambah.

Kebanyakan sisa perkarangan rumah seperti daun, rumput, batang pokok, ranting, dahan dan juga lalang boleh digunakan. Sisa-sisa organik lain yang boleh digunakan adalah sisa makanan seperti kulit buah, sayur, serbuk kopi, roti yang sudah rosak dan kulit telur. Pengkomposan yang melalui proses aerobik, melibatkan penguraian secara biologikal dengan penggunaan mikro dalam keadaan kehadiran oksigen. Hasil utama proses biologikal ini adalah gas karbon dioksida dan haba.

Bagi memacu pelaksanaan kaedah pengkomposan sisa organik ini dan menjadikannya amalan atau budaya dalam kalangan masyarakat, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di bawah Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS) dengan kerjasama Solid Waste Corporation (SWCorp) Perlis telah menjalankan Program Penambahbaikan Amalan Pengurusan Sisa Pepejal Organik di Perlis dengan dibantu oleh dua pelatih siswazah di bawah Geran Program Pemindahan Ilmu (Komuniti) atau Know­ledge Transfer Programme (KTP).

Program ini yang bermula semenjak Januari 2016, memberi fokus kepada pengurangan sisa makanan organik khususnya yang dihasilkan dari premis makanan. Objektif program ini antara lain memperluaskan penggunaan kitar semula dan mening­katkan tahap kesedaran pemilik premis terhadap sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan. Program ini juga diharap dapat memberi pendedahan dan latihan penyediaan kompos de­ngan menggunakan sisa makanan yang dihasilkan di premis makanan.

Matlamat penyelidikan ini hanya satu iaitu untuk mendidik masyarakat di Perlis terutama kepada pemilik premis-premis makanan bagi mengurangkan sisa makanan mereka dengan me­lakukan kaedah pengkomposan sisa makanan seterusnya membantu mengurangkan bebanan sisa di tapak pelupusan sampah di Padang Siding dan Tapak Pelupusan Baharu di Rimba Emas yang bakal dibuka.

Sebagai permulaan, program ini dimulakan dengan pengli­batan 20 buah premis makanan di Perlis serta ke kafeteria di bawah kelolaan UniMAP selaras dengan hasrat universiti itu sendiri untuk menjadikan kampus UniMAP sebagai Kampus Alam di bawah Projek Kelestarian Kampus. Di peringkat UniMAP misalnya, baja-baja organik ini digunakan sebagai bahan pemangkin kepada projek tanaman pokok di sekitar kampus UniMAP.

Tidak ketinggalan, program ini juga telah diteruskan ke sekolah-sekolah yang berminat dengan memberi fokus kepada mengurangkan sisa makanan yang terhasil di kantin-kantin sekolah. Antara sekolah yang awal melaksanakan program ini untuk tahun ini adalah Sekolah Kebangsaan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Perlis dan Sekolah Kebangsaan Oran yang telah menjalankan program pengkomposan ini bagi tujuan Projek Tanaman Anggur di sekolah.

Ternyata, pendedahan awal kepada golongan muda ini amat berbaloi kerana merekalah yang akan mewarisi serta menjadi harapan untuk menerus dan memperkasa dasar-dasar pemuliharaan alam sekitar untuk dekad seterusnya. Dan adalah diharap­kan generasi muda inilah yang mengubah landskap alam sekitar di dunia amnya dan Malaysia khasnya ibarat kata pepatah melentur buluh biarlah daripada rebungnya.

Berdasarkan pelbagai program kesedaran yang dijalankan, salah satu organisasi yang berjaya dan mampu dijadikan contoh dalam bidang pengkomposan sisa makanan ini adalah dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sanglang yang mana ia melibatkan para pelajar Pendidikan Khas Integ­rasi dengan bantuan guru-guru dalam menjadikan sisa makanan daripada Kantin Sekolah dan juga Dewan Makan Asrama sebagai sumber bahan pengkomposan mereka.

Dalam tempoh enam bulan pertama sahaja, mereka telah berjaya melupuskan hampir 300 kilogram (kg) sisa makanan yang diperoleh dan menjual hampir 200 kg baja kepada orang awam. Bermula dengan hanya sebuah raga, kini pihak sekolah tersebut telah berjaya mengembangkan saiz penghasilan baja organik mereka kepada tiga buah tangki plastik hasil sumbangan SWCorp dan Environment Idaman Sdn. Bhd. Adalah sesuatu yang meng­agumkan apabila kelompok pelajar ini yang dikategorikan sebagai kurang upaya mampu melaksa­nakan misi dan visi memulihara alam sekitar melalui pengkomposan bahan organik.

Lebih mengujakan lagi apabila kelompok pelajar ini juga melihat peluang dan ruang yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar manusia normal lainnya untuk menjana pendapatan sampingan melalui aktiviti yang boleh dijadikan sebagai aktiviti riadah bersama keluarga. Sekiranya semua rakyat Malaysia mampu me­ngubah minda masing-masing, nescaya kita tidak hanya akan melahirkan negara yang bersih dan terpelihara sebaliknya me­ngukuhkan lagi institusi kekeluargaan.

Jika mereka yang dikategorikan kurang upaya telah dan mampu melaksanakannya, kita bila lagi?

DR. IRNIS AZURA ZAKARIYA ialah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar, Universiti Malaysia Perlis.