Jadi, kali ini kita mahu selangkah lagi. Dan sesuatu yang tidak pernah dilakukan sebagai aktiviti keluarga iaitu membantu anak-anak golongan miskin membuat persediaan persekolahan.

Mula-mula, kami menghubungi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Yayasan Kemajuan Insan Sarawak atau YAKIN bagi membantu mengenal pasti kelompok anak-anak yang disasarkan. YAKIN ini sememangnya memberi bantuan kepada anak-anak tersebut tetapi dengan bajet yang terhad.

Atas sebab itu, apabila muncul sahaja orang perseorangan mahu berbakti, mereka dengan senang hati memberi panduan.

Kembali kepada seluruh ahli keluarga, maka diuar-uarkan mengenai projek ini dan kutipan derma kilat dilaksanakan. Kutipan ini menyeluruh sehingga anak-anak yang di sekolah rendah.

Mereka digalakkan memberi berapa sahaja yang ada dalam poket atau tabung (atau minta kepada ibu bapa mereka).

Berdasarkan dana yang dikutip itu, maka satu sesi beli-belah dilakukan. Ini dilakukan di sebuah kompleks beli-belah. Namun sebelum membawa anak-anak miskin itu, satu sesi recce kena dibuat. Pekedai diberitahu bahawa sebanyak 16 beg sekolah dimahukan. Tentunya bila dijelas dengan baik, satu bentuk diskaun diberi oleh pekedai.

Kemudian kami bertemu pula pengurus pasar raya Parkson, yang tanpa banyak soal membenar dan juga berjanji memberi potongan harga sewajarnya untuk peralatan sekolah seperti baju, seluar seragam, alat menulis dan kasut.

Seterusnya, kami bertemu pula pengurus restoran makanan segera KFC. Ini sebagai lokasi makan tengah hari kumpulan anak-anak itu. Keesokan harinya, anak-anak itu dijemput oleh NGO serentak dengan van dibawa ke kompleks beli-belah di mana seluruh anggota keluarga terutama bawah 18 tahun telah 'diwajibkan’ turut serta.

Mereka diagih-agihkan untuk menemani seorang anak, bagi membantu memilih baju atau kasut, misalannya.


Kepuasan

Perkataan 'wajib’ itu bertujuan agar anak-anak bawah 18 tahun ini, dapat mengenali dan merasai kesusahan anak-anak sebaya mereka yang kurang bernasib baik.

Jika selama ini mungkin mereka hanya melihat atau membaca di media massa atau media sosial, kali ini mereka diberi peluang untuk berkomunikasi secara langsung dengan anak-anak orang miskin.

Moga wujud keinsafan. Inilah antara objektif utama acara ini diadakan, selain membantu anak-anak miskin itu.

Seperkara yang menjadi ingatan kekal ialah betapa semua pihak yang kami datangi untuk projek ini seperti pekedai beg, pengurus Parkson dan KFC, bantuan dan sokongan yang mereka berikan begitu mengharukan. Saya ingatkan akan ditanya itu ini, mana surat kebenaran atau sebagainya.

Tetapi tidak. Mereka tidak banyak kerenah. Tidak bengkeng tetapi benar-benar memberi sokongan sehinggakan ke peringkat kakitangan yang mengendalikan kedai hari itu. Terima kasih banyak-banyak kepada anda semua.

Saya merrepak hal ini hari ini bukan bertujuan mendapat markah daripada anda pula. Tidak sama sekali. Malah saya sebenarnya tidak berhasrat menulis pun mengenainya kerana menyifatkan kerja amal ini berbentuk acara keluarga semata-mata. Dan peristiwa ini sudah berlalu beberapa tahun lalu.

Cuma setelah berbicara dengan isteri ketika berbual mengenai jiran tetangga yang berkonvoi memberi bantuan kepada mangsa banjir di utara Semenanjung sejak Jumaat lalu, timbul keperluan untuk menyampaikan mesej kepada para pembaca mengenai budaya kesukarelawan ini.

Anda boleh menyertai pasukan berkonvoi untuk memberi bantuan dan juga anda boleh melakukannya secara sendiri, mengikut keupayaan anda.

Dan percayalah, setelah selesai usaha anda berbuat kebajikan untuk orang lain, akan timbul suatu rasa kepuasan dan keinsafan secara rohaniah dalam diri.

Bahawa kita ini manusia adalah lemah dan sebenarnya amat digalak oleh agama agar saling bantu-membantu.

Bencana alam di Pulau Pinang, Seberang Jaya hingga ke Kedah menyaksikan ramai sukarelawan turun padang sejak Jumaat membawa bekalan makanan dan peralatan lain.

Samalah seperti bencana alam yang melanda Manik Urai di Kelantan dan Temerloh, Pahang sebelum ini.

Semangat kesukarelawan nampak begitu kental dan jitu di jiwa rakyat Malaysia. Ramai sedar bahawa menghulurkan bantuan bukan kerana mengikut trend atau musim tetapi kerana keperluan menyelamatkan nyawa dan membantu mereka yang malang.

Misi bantuan kemanusiaan dan keprihatinan Al-Mawaddah diketuai Imam Ahmad Sarafi Ali Asrah membawa 55 jiran tetangga menggunakan 10 pacuan empat roda telah bertolak pada Jumaat malam dari Shah Alam. Mereka mengunjungi kawasan bencana di tempat-tempat tersebut.

Ini lagi satu bukti betapa semangat membantu dan kesukarelaan sentiasa mekar dalam masyarakat kita. Yang tidak dapat turut serta dalam konvoi, telah memberikan bantuan wang tunai dan membeli bekalan seperti beras dan lain-lain.

Dalam negara memasuki musim tengkujuh ini, hujan lebat yang ekstrem dijangka terus berlaku di seluruh negara, malah Pulau Pinang sendiri dikhuatiri bakal menghadapi gelombang seterusnya hujan lebat yang dahsyat. Marilah terus berganding bahu memberi pertolongan.

Anda boleh. Yakin boleh.