Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, usaha tersebut telah mula menampakkan hasil positif apabila lebih ramai pihak menunjukkan minat untuk melaksanakan sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik serta menjadikannya budaya di organisasi masing-masing.

Inisiatif yang diambil Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan di sekolah misalnya, mendapat perhatian banyak pihak ketika saya berkongsi pengalaman di Persidangan Tahunan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong, baru-baru ini.

Ada dalam kalangan perwakilan luar negara yang melahirkan kekaguman mereka apabila mengetahui program KKP Di Sekolah turut melibatkan sekolah rendah termasuk yang di luar bandar.

Secara jujur, bukan mudah untuk melaksanakan program sebegini kerana NIOSH secara bersendirian tidak mampu untuk melibatkan lebih 10,000 sekolah dan lima juta pelajar di Malaysia tanpa pertolongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta.

Walaupun program KKP Di Sekolah mula diperkenalkan pada 2002, momentumnya lebih dirasai apabila NIOSH bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan pada 2016.

Sehingga kini, lebih daripada 50 sekolah mengambil bahagian dalam program ini dan lebih banyak dijangka menyertainya dengan sokongan pelbagai NGO dan sektor swasta yang menyediakan sukarelawan dan tajaan.

Apa yang membanggakan, semakin ramai guru dan pelajar menerima idea pendidikan KKP di sekolah kerana mereka percaya ia mampu mempersiapkan golongan muda untuk menyertai persekitaran kerja bebas kemalangan di masa hadapan.

Kejayaan program tersebut yang merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat NIOSH, menjadi pemangkin kepada pelbagai program seumpamanya termasuk KKP untuk sekolah-sekolah Tahfiz mulai tahun lepas.

Kerjasama yang diberikan oleh beberapa kerajaan negeri dan agensi pelancongan mereka juga telah mencetuskan program KKP untuk sektor pelancongan di Sabah, Johor, Pahang dan Terengganu.

NIOSH turut mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya di mana menterinya, Datuk Mohamaddin Ketapi sendiri menunjukkan minat mendalam untuk menjalankan program yang mampu meningkatkan tahap KKP dalam sektor pelancongan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Ini penting kerana industri pelancongan merupakan antara penyumbang utama kepada sektor perkhidmatan negara dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 14.9 peratus atau RM201.4 bilion.

MOTAC turut menyasarkan untuk menarik 30 juta pelancong dengan jumlah pendapatan RM100 bilion pada 2020 berbanding sasaran tahun ini iaitu 26.4 juta pelancong dengan pendapatan RM84.9 bilion.

Penyelesaian

Perlu diingatkan bahawa guna tenaga industri pelancongan juga mencatatkan rekod tertinggi iaitu seramai 3.2 juta orang yang merupakan 22.7 peratus daripada jumlah guna tenaga keseluruhan pada 2016.

Oleh itu amat penting untuk memastikan tenaga kerja di dalam sektor pelancongan mengamalkan budaya KKP baik bagi mengelak kemalangan yang pasti akan turut melibatkan para pelancong.

Walaupun kematian dan kecederaan teruk tidak berlaku setiap hari dalam sektor pelancongan, risikonya tetap ada seperti apa yang dilaporkan oleh media dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, apabila bas atau bot yang membawa pelancong terlibat dalam kemalangan, bilangan mangsa biasanya agak tinggi. Kes-kes seperti itu bukan sahaja akan menyebabkan kehilangan nyawa tetapi boleh merosakkan reputasi negara sebagai destinasi pelancongan utama di rantau ini.

Saya juga berpeluang bertemu dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub baru-baru ini dan beliau juga amat berminat untuk mewujudkan amalan KKP baik bagi mereka yang terlibat dalam bidang pertanian.

Beliau bersetuju bahawa tahap KKP dalam kalangan pekerja ladang dan kawasan pertanian masih rendah di mana kita masih boleh melihat para pekerja menyembur racun tanpa memakai peralatan perlindungan diri seperti topeng muka dan juga sarung tangan.

Statistik Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) menunjukkan berdasarkan kes yang disiasat, sektor pertanian, perikanan dan perhutanan mencatat jumlah kes kedua tertinggi selepas sektor pengilangan sepanjang tahun ini.

Sebanyak 289 kes termasuk 18 kematian di dalam sektor pertanian, perikanan dan perhutanan disiasat JKKP sehingga Oktober lalu berbanding 1,303 kes dan 25 kematian di sektor pengilangan dalam tempoh sama.

Berdasarkan rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pula, sebanyak 1,946 kes dilaporkan dalam sektor pertanian, perikanan dan perhutanan pada 2016 berbanding 1,848 kes (2015) dan 2,135 kes (2014).

Apa yang menarik, pelaporan kemalangan di sektor pertanian, perikanan dan perhutanan pada 2017 telah menunjukkan peningkatan laporan kepada 2,589 kes berbanding 2,359 kes pada 2016.

Ini menunjukkan para majikan dan pekerja semakin sedar kepentingan melaporkan kemalangan kepada JKKP. Kesedaran yang semakin meningkat serta iltizam Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani MOA) untuk bekerjasama dengan NIOSH sudah pasti akan memudahkan usaha bagi melaksanakan program kesedaran KKP yang baik.

Ini sekali gus mampu dijadi budaya dalam kalangan majikan dan pekerja industri terbabit. Kerjasama kedua-dua pihak boleh diperluaskan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan termasuk dalam bidang ergonomik kerana ramai pekerja dalam sektor pertanian terdedah kepada penyakit berkaitan musculoskeletal system atau sistem berkaitan tulang, sendi dan otot.

Sebagai contoh, pengutip buah nenas atau penoreh getah yang terpaksa membongkok dalam jangka panjang boleh mengalami penyakit sendi, tulang dan otot atau musculoskeletal disorders (MSDs).

Sehubungan itu, NIOSH melalui Pusat Kecemerlangan Ergonomik di Johor Bahru bersedia untuk membantu MOA serta pihak-pihak lain yang berminat untuk mengkaji dan menyediakan penyelesaian kepada masalah berkaitan ergonomik serta mengelakkan pekerja mengalami penyakit berkaitan terutamanya MSDs.

Saya percaya kerjasama dan sokongan pelbagai kementerian dan agensi kerajaan dapat membantu usaha NIOSH yang terletak di bawah Kementerian Sumber Manusia untuk menurunkan jumlah kemalangan pekerjaan di seluruh negara.

Dengan sokongan pihak swasta, NGO dan juga semua lapisan masyarakat, saya amat yakin bahawa usaha untuk merakyatkan KKP akan mencatat kejayaan dan meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju yang mempunyai kadar kemalangan di tempat kerja amat rendah.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).