Semua ini tertera di dada akhbar, berita radio dan te­levisyen, pada setiap siang dan malam. Selain mengharapkan pihak berkuasa untuk membanteras semua ini, sewajarnya kita turut berperanan mengatasinya.

Berlakunya semua ini, tidak lain dan tidak bukan kerana pendidikan ‘budaya’ tidak benar-benar diterapkan ke dalam masyarakat. Kita menyedari bahawa budayalah yang memanusiakan manusia! Bertimbang rasa, bersimpati dan bersifat perikemanusiaan.

Jika negara ini begitu menumpukan pembangunannya kepada pembangunan ekonomi, sains dan teknologi semata-mata tanpa memperseimbangkan dengan pembangunan budaya ia akan ‘merobotkan’ masyarakat! Menjadi masyarakat yang kurang berperikemanusiaan.

Ertinya masyarakat menumpukan kehidupan kepada material sehingga lupa kepada nilai-nilai kemanusiaan atau budaya. Misalnya, pelajaran sastera di sekolah sekarang diketepikan, sedangkan pelajaran itulah yang membentuk peribadi dan membudayakan hidup anak-anak kita.

Kita sama sekali tidak anti ekonomi, sains dan teknologi demi pembangunan rakyat dan negara, namun pembangunan budaya hendaklah diterapkan bersama. Dihayati bersungguh-sungguh oleh masyarakat.

Negara-negara maju dan membangun, meskipun begitu maju dengan pembangunan ekonomi, sains dan teknologi, namun pembangunan budaya diseimbangkan seperti Jepun, Korea, China, Jerman, Rusia dan Perancis. Lihat Jepun, rakyatnya begitu berbudaya, mereka menghormati antara satu sama lain. Sama ada antara pemimpin dan rakyat biasa - sentiasa menunduk dan memberi hormat. Kecurian atau rompakan terbatas. Letak saja di mana-mana barang, tidak akan diambil orang, jika mengambil pun dise­rah­kan kepada pihak polis. Di negara kita? Bukan saja barang-barang yang hilang, rompakan atau kecurian berlaku di mana-mana meskipun dalam Perlembagaan negara yang tercatat agama Islam sebagai agama Persekutuan!

Oleh itu, aspek budaya sewajarnya kembali diterapkan dalam jiwa masyarakat terutama sekali dalam sistem pendidikan negara - melentur buluh daripada rebungnya. Saranan yang dikemukakan oleh Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr. Chandra Muzaffar dalam Konvensyen Memperkukuhkan Pasak Negara Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat, baru-baru ini amat wajar direnungkan. Penekanan nilai moral dalam pendidikan negara perlu diberi perhatian.

‘Budaya’ diertikan ‘budi’ dan ‘daya’ yang meliputi seluruh corak hidup masyarakat termasuk ke­senian dan adat resam. Ternyatalah pendidikan budaya ini sewajarnya diterapkan bersungguh-sungguh terhadap masyarakat kita, bermula dari kalangan pelajar di sekolah rendah, menengah dan universiti.

Oleh kerana subjek tersebut begitu penting mendidik warga negara berhati mulia sepatutnya dijadikan ‘subjek teras’ sepertimana subjek-subjek teras lain. Apabila subjek ini menjadi teras maka pembelajaran dan pengajarannya akan diberi perhatian sebaik-baik­nya oleh pelajar dan guru di sekolah. Bukankah faktor utama pendidikan itu ‘memanusiakan manusia’?

Jika selama ini terdapat subjek Pendidikan Moral, alangkah baiknya subjek tersebut digantikan dengan subjek ‘Ilmu Kemanusiaan’ untuk sekolah menengah dan universiti, subjek ‘Pendidikan Budaya’ untuk sekolah rendah yang bererti meliputi seluruh corak hidup dan budaya masyarakat kita.

Subjek Ilmu Kemanusiaan dan Pendidikan Budaya merangkumi corak hidup dan budaya sepertimana yang terkandung dalam senarai nilai-nilai murni yang diterapkan dalam Pendidikan Moral iaitu: baik hati, berdikari, berhemah tinggi, kasih sayang, keadilan, keberanian, kebersihan fizikal dan mental, amanah, kejujuran, kerajinan, kerjasama, kesederhanaan, kesyukuran dan semangat bermasyarakat.

Pada peringkat universiti dikem­bangkan dan diketengahkan aspek-aspek yang lebih luas dan mendalam misalnya yang berunsur sejarah seperti Tujuh Wasiat Raja-raja Melayu: Nama negara, tanah rizab Melayu, penubuhan Rejimen Askar Melayu, kekalkan kerajaan dan kedaulatan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah ka­um-kaum lain.

Setiap aspek tersebut hendaklah diperhalusi dan diberi penjelasan untuk mengatasi segala ke­pincangan agar pelajar memahami dan menghayatinya. Sudah tentu pihak Kementerian Pendidikan dapat melaksanakannya, melalui Pusat Perkembangan Kurikulum.

Di samping itu, memang nyata bahawa aspek ‘memartabatkan bahasa rasmi negara’ iaitu bahasa Melayu patut diterapkan melalui subjek tersebut. Bukankah bahasa itu jiwa bangsa? Setiap negara yang maju dan membangun, boleh dikatakan begitu memberi penghargaan kepada bahasa negara masing-masing. Melalui bahasa inilah akan menanam semangat jati diri, cintakan bangsa dan negara. Melalui bahasa inilah juga memupuk keharmonian dan perpaduan rakyat.

Pun begitu, Felo Utama Institut Kajian ­Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, usaha menjadikan faktor bahasa sebagai medium perpaduan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia masih lagi gagal berbanding di Indonesia dan Thailand. Beliau menyuarakan perkara tersebut dalam konvensyen yang sama.

Ini memang ada kebenarannya. Pakar psikologi juga berpendapat bahawa kerukunan hidup sesebuah negara adalah melalui satu bahasa yang diamalkan bersama oleh seluruh rakyat dan pemimpinnya.

Akan tetapi ramai kalangan rakyat dan pemimpin kita yang tidak mempunyai jiwa kebangsaan, berkiblatkan bahasa asing terutama bahasa yang menjajah kita suatu ketika dahulu.

Kita sama sekali tidak anti bahasa penjajah itu untuk mengaut ilmu akan tetapi daulatkanlah bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan negara. Memenuhi aspek budaya yang sebenar-benarnya maka satu gerakan memartabatkan bahasa negara hendaklah disalurkan bersama dalam subjek ‘Ilmu Kemanusiaan’ dan ‘Pendidikan Budaya’ itu.

Demikian betapa pentingnya mata pelajaran tersebut yang menjuruskan kepada ‘memanusiakan manusia’.

PENULIS ialah seorang penyair dan novelis.