Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

CABARAN besar yang menunggu para panel dan peserta Kongres Budaya 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 15 April depan adalah mencari cara dan pendekatan berkesan bagi mengembalikan jati diri bangsa agar terus hidup, subur dan tidak ditelan zaman. Ramai yang menganggap kongres ini tepat pada masa, setelah sekian lama nilai-nilai budaya dan ciri-ciri ketamadunan bangsa seakan terbiar, kian menyusut seiring apa yang dianggap pengaruh pemodenan yang tidak terbatas.

Ciri-ciri pembentukan budaya tinggi dan luhur yang sepatutnya mengiringi kehidupan bersilih musim dan berganti zaman telah lama dikesampingkan. Semacam terbiar dan tidak dihargai. Penjurusan kehidupan masyarakat terarah kepada mencari kekayaan material, dan mungkin hanya sedikit pedulinya terhadap memelihara sistem nilai yang murni dan indah.

Bahawa memartabatkan tamadun bangsa melalui anutan nilai budaya tinggi itu penting bagi kehidupan. Tanpanya, setinggi mana pun kemakmuran dan kecemerlangan yang mampu digapai, menjadi ‘tidak sempurna’ dalam erti kata sewajarnya.

Tanpanya juga, jiwa bangsa itu menjadi lesu, longlai dan tiada nilai keindahan. Dan tentunya hal ini berkaitan pula dengan soal moral dan maruah bangsa. Cagaran apa lagi sebenarnya untuk dipamerkan kepada umum tentang ketinggian martabat bangsa jika jiwa budayanya diabaikan atau diketepikan oleh masyarakat itu sendiri.

Mungkin ramai yang sedar hakikat ini, tetapi peliknya tidak ramai pula yang berusaha untuk memeliharanya. Apakah kerana terlena dengan keselesaan hidup? Barangkali inilah berbezanya kehidupan masyarakat lampau dan masa kini.

Walhal, tentulah lebih berupaya untuk mempertahankan ketinggian nilai budaya bangsa apabila berada dalam suasana kehidupan yang makmur, selesa, berbanding berada di zaman serba kekurangan seperti dialami nenek moyang dahulu.

Ada kalanya, sesetengah pihak terutama kalangan anak muda menganggap, menoleh sejarah dan menghargai warisan bangsa atau mengenali hal-hal berkaitan budi, budaya bangsa adalah sesuatu yang klise dan membosankan. Persoalannya, mana mungkin untuk membina jati diri bangsa jika tidak mengenali asal usul bangsa sendiri?

Apa pun, tidak ada istilah terlewat untuk bangkit memperbe­tulkan kelemahan atau memulihkan kealpaan. Justeru, inisiatif kerajaan mengadakan suatu Kongres Budaya yang akan merumuskan pendekatan berkesan bagi mengembalikan martabat bangsa melalui pembinaan budaya tinggi wajar dipuji. Tahniah kepada Penasihat Sosiobudaya kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr. Rais Yatim yang mengetuai inisiatif ini dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Lebih bermakna lagi, rumusan Kongres Budaya yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dapat dimasukkan sebagai sebahagian dari elemen penting dalam menelusuri gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50), program jangka panjang kerajaan demi kelangsungan kehidupan cemerlang, gemilang, selain menjadikan Malaysia antara negara terbaik di dunia.

Semoga kehidupan masyarakat teriring dengan semangat dan roh mementingkan ketinggian nilai budi, adat dan peradaban, baik dalam tutur kata dan tingkah laku. Agar masyarakat lebih mementingkan aspek kebersihan, rajin berusaha, memiliki sikap saling bekerjasama dan hormat menghormati, saling menerima dan bertoleransi serta mempunyai citarasa serupa demi kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan tanah air. Dan semoga dunia politik negara melalui suasana yang lebih sopan dan tertib terutama gara-gara kemaruk untuk menggugat kestabilan kerajaan yang ada.

Masyarakat tentunya tidak rela melihat ketinggian tamadun bangsa musnah atau terlerai dengan gejala media sosial yang bersifat negatif, sedangkan manfaat dan kebaikan lain masih banyak boleh diperoleh darinya.

Kongres Budaya 2017 itu nanti diharap dapat mencari kaedah atau mekanisme yang menyeluruh, agar segenap segmen masyarakat menyedari tanggungjawab masing-masing bagi menjayakan misi kehidupan bermartabat tinggi serta penuh keindahan ini.

Ini termasuk di sekolah-sekolah, di pusat-pusat pengajian tinggi, di pejabat, dalam institusi keluarga dan dalam urusan penghidupan harian masyarakat secara umumnya. Peranan ini diharap dapat digalas bersama oleh kira-kira 80 jabatan kerajaan dan lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan terlibat dalam kongres itu nanti.

Budaya cerminan tamadun bangsa. Apa yang kita hendak pamerkan kepada dunia, jika orang luar datang mendapati masyarakat negara ini lebih gemar berbahasa Inggeris walau ada yang datang itu ingin mempelajari atau bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih fasih? Apa kata mereka bila melihat aktiviti anak-anak muda suka merempit? Dilihat pula cara pemanduan semasa kesesakan trafik di bandar-bandar utama? Apa pula persepsi mereka bila melihat aspek kebersihan tandas-tandas awam atau warung-warung makan?

Benar, di Jepun masyarakatnya mementingkan budaya kebersihan, berdisiplin dengan masa serta berpegang teguh dengan etika kerja. Malah pekerja yang membantu mengangkat beg-beg pelanggan di premis-premis hotel di negara itu tidak bersedia ­menerima sebarang habuan (tip) daripada pelanggan dan menganggap perbuatan itu sebagai ‘menghina’ masyarakat mereka.

Di bandar raya Madrid, Sepanyol, jajaran bangunan-bangunan baharunya tetap dibina dengan mementingkan ciri-ciri reka bentuk tradisional. Kelihatannya indah dan mengagumkan. Ciri-ciri warisan bangsanya tetap terserlah. Itu antara apa yang dapat penulis kongsikan bersama dari pengalaman berada di negara-negara luar.

Budaya tinggi, paksi tamadun bangsa. Hidup lebih indah dengan memiliki nilai budi dan budaya luhur. Jadikan Rukun Negara sandaran hidup harmoni dan berbudaya. Negaraku Malaysia, sehati sejiwa!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain