Banyak input berguna yang dikongsikannya sehingga membuka mata Tumpang lalu ‘selebar dunia’.

Oh! Patutlah selama ini apabila ada pihak yang bercakap pasal masa depan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0), sebilangan daripada kita rasa ‘berat’ nak ‘hadam’ apa impak dua perkara ini.

Sedangkan apa yang kerajaan buat ini sudah berada di jalan yang betul dan tepat termasuklah merancang melatih tenaga mahir sehingga 300,000 rakyat Malaysia daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) mulai sekarang hingga 2025.

Cuma, apabila Sahol Hamid berkongsi corat-coretnya semasa siri JPB dan betapa impak TVET dan Industri 4.0 cukup besar untuk masa depan ekonomi negara dan ‘kita perlu oportunis’ me­nguasainya, barulah Tumpang lalu faham. Dan ingin berkongsi pula dengan anda semua daripada kalangan anak muda terutama sekali ibu bapa kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017. Ini kisah yang Tumpang lalu kutip dari Sahol Hamid:

Sasar 70,000 tempat

* Siri JPB ini akan bermula pada Sabtu, 24 Mac ini di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, Perak, sebelum menjelajah ke beberapa negeri dan berakhir di Sarawak hujung April. Sasaran 65,000 penempatan. Pada tahun pertama JPB (pada 2016) berjaya melepasi sasaran 30,000 (peroleh 37,000) manakala pada 2017 (67,000 berbanding sasaran 50,000). Kali ini, daripada 65,000 sasaran, harap dapat 70,000 pelajar.

Bawa sekali wakil 37 universiti, agensi

* Sejumlah 20 universiti awam dan 17 agensi seperti kolej komuniti, GiatMara dan kolej RISDA akan terlibat sama dalam siri jelajah ini. Wakil 17 agensi ini akan terus keluarkan surat tawaran (offer letter) jika lepasi kelayakan. Tahun lalu, seramai 22,000 pelajar terima secara terus. Untuk kemasukan ke universiti pula, sebanyak 200 tempat disediakan untuk golongan B40. Semasa JPB nanti, kalau ada yang layak, kami akan salurkan terus nama mereka, terpulang pada universiti nak tawarkan.

Ramai silap pilih kursus?

* Daripada pengalaman JPB, ramai yang tersilap pilih kursus sehingga terlepas peluang. Mereka mohon kursus popular, maka saingan merit meningkat. Bila ini berlaku, ketidakpastian untuk dapat tempat, tinggi. Puncanya kerana mereka tidak diberi kaunseling kursus yang sesuai dengan tahap kelayakan.

Ibu bapa ego, anak kecewa?

* Ini topik panas yang Tumpang lalu berbual panjang dengan Sahol Hamid. Katanya, banyak kaunseling bukan diberi kepada pelajar semasa siri JPB ini tetapi lebih kepada ibu bapa mereka. Pelajar selalunya pilih kursus disebabkan ‘penderaan’ ibu bapa yang malu kerana anak tidak dapat masuk universiti. Mak bapa ego. Masuk kolej komuniti kononnya satu penghinaan, malukan keluarga.

Sudah banyak kali laporan mengenai JPB ini masuk (berita) dalam televisyen, namun masih tak berubah stigma ibu bapa ter­hadap kursus kemahiran dan TVET ini. Apa hal ini. Nak masuk farmasi, meritnya tinggi. Apabila ditolak, pilihan ke­dua (second choice) susah nak dapat. Jadi, pelajar kecewa. Ini semua salah mak bapa.

Negara asing berlumba-lumba eksport pekerja mahir?

* Tahukah kita sebenarnya negara-negara seperti India dan Bangladesh kini agresif buka ba­nyak kolej TVET di negara masing-masing yang bukan untuk keperluan negara mereka. Sebaliknya, untuk tujuan eksport pekerja mahir ke Malaysia, Singapura, Taiwan dan Filipina. Inilah fenomena sekarang.

Perkara ini didedahkan hasil perjumpaan antara kumpulan cerdik pandai mereka yang turut saya hadiri di Mumbai beberapa bulan lalu. Difahamkan, Jepun telah meminta sekurang-kurangnya 200,000 pakar IT (teknologi maklumat) dieksport ke negara Matahari Terbit itu. Maka, sewajarnya kita nampak mengapa kerajaan bersungguh-sungguh jayakan TVET dan Industri 4.0 ini.

Gaji chargeman cecah RM15,000 sebulan?

* Jangan pandang rendah pada pekerja mahir seperti chargeman. Nilai pasarannya tinggi.

Contohnya, di setiap gedung beli-belah, permintaan terhadap chargeman ini tinggi dengan dibayar gaji sehingga RM7,000 sebulan berdasarkan kemahiran atau kepakaran yang dimiliki. Bayangkan kalau blac­kout (terputus bekalan elektrik) di gedung itu siapa yang mereka cari dulu, tentulah chargeman. Setiap gedung beli-belah biasanya menggaji antara dua atau tiga chargeman. Berapa banyak gedung yang ada di negara ini sekarang? Jika seorang chargeman itu inginkan cabaran, dia boleh kembangkan kerjaya di luar negara. Di Australia, chargeman misalnya diberi taraf PR (pemastautin tetap).

Bengkel kereta bukan lagi macam dulu

* Sekarang kebanyakan kereta canggih yang memerlukan kemahiran mekanik yang tinggi. Dahulu kalau nak buka workshop, cukup dengan spanar sahaja. Tapi sekarang banyak kereta masa depan yang perlukan artificial intelligence (kecergasan buatan). Kalau nak kerja membaiki, bukan semata-mata lagi mekanikal tetapi tumpuan pada elektronik. Di India dan Taiwan, mereka sudah ke arah ini.

 

Idea kita ‘diciplak’?

* Di India, pihak di sana tidak bercakap pasal Industri 4.0 tapi sudah ada serta siap pelan perancangannya. Universiti-universiti di sana sudah bergerak menjayakannya. Adakah kita di sini terlalu banyak berdokumentasi, yang akhirnya pihak luar hijack dokumen (idea) itu dan laksanakan sahaja?