Kedua-dua kajian itu merangkumi hampir 50,000 responden serta lebih 20 industri dari beberapa negara ASEAN selain Hong Kong dan Australia.

Dari sudut kegembiraan di tempat kerja, Malaysia cuma berada di tengah-tengah antara ‘juara’ iaitu Indonesia, Vietnam dan Filipina tetapi kita mendahului Thailand, Hong Kong dan Singapura di tempat terakhir.

Tahniah kepada pekerja sektor awam, industri makanan dan minuman, pekerja bahagian jualan, kejurute­raan serta industri perubatan yang direkodkan sebagai ‘paling gembira’ dengan tempat kerja mereka.

Bagaimanapun, fakta mengenai tahap kesihatan mental dan fizikal pekerja di negara ini memberi gambaran yang menakutkan malah mungkin menandakan masa depan ‘malap’ untuk modal insan di Malaysia.

Rangkuman ringkas tahap kesihatan pekerja Malaysia:

  • 11 peratus pekerja merokok
  • 12.5 peratus obes
  • 64 peratus tidak aktif secara fizikal
  • 90 peratus tidak makan secara seimbang
  • 56 peratus tidur kurang tujuh jam sehari
  • 53 peratus berisiko masalah kesihatan mental
  • 12 peratus berdepan kemurungan teruk atau tekanan tahap serius
  • 44 peratus majikan tidak menawarkan bantuan atau perlindungan kesihatan mental.

Malaysia memang terkenal sebagai syurga makanan dan tidak pelik bila kita dilabelkan sebagai antara negara paling obes di dunia tetapi sebenarnya 90 peratus pekerja di negara ini tidak mahu atau tidak mampu mengamalkan diet sihat malahan ramai yang malas bersenam.

Diet melibatkan sayur dan buah-buahan dalam kala­ngan pekerja Malaysia juga direkodkan paling buruk berbanding negara lain tetapi kita ‘juara’ dalam kategori pe­ratusan pekerja merokok berbanding Australia, Singapura dan Hong Kong.

Tahap kesihatan mental pekerja di Malaysia juga membimbangkan kerana lebih daripada separuh tidak cukup tidur setiap hari malah turut berdepan tekanan teruk di tempat kerja sehinggakan sekitar satu daripada 10 pekerja kini berdepan kemurungan teruk atau tekanan tahap serius.

Berbanding kemudahan perlindungan kesihatan fizikal, hampir separuh majikan masih enggan memberi bantuan atau perlindungan untuk kesihatan mental pekerja.

Malah pekerja di Malaysia paling banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di negara lain dengan purata 15 jam lebih lama setiap minggu, tidak termasuk perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja.

Walaupun menghabiskan dua jam lebih lama di pejabat setiap hari, pekerja di negara ini turut mencatatkan kemerosotan produktiviti tertinggi berbanding di negara lain dengan purata kerugian tahunan mencecah RM2.7 juta bagi setiap organisasi.

Ini bukan disebabkan mereka sibuk melayari media sosial atau banyak mengambil cuti sakit (purata 8.2 hari sahaja setiap tahun), sebaliknya akibat tabiat datang be­kerja dalam keadaan ‘tidak sewajarnya’ seperti ketika sakit (kronik atau penyakit berjangkit).

Setiap pekerja di Malaysia menghabiskan secara purata 58.8 hari kerja (kira-kira tiga bulan) setahun bekerja dalam keadaan sakit atau berdepan masalah lain sehingga menjejaskan tahap produktiviti mereka malah menyebar penyakit kepada rakan sekerja.

Sebelum mahu salahkan majikan atau kerajaan, lebih elok sekiranya golongan pekerja mengubah dahulu tabiat dan rutin harian mereka ke arah lebih sihat. Majikan pula mungkin dapat menambah baik kemudahan kesihatan pekerja khususnya mengambil kira kesihatan mental mereka.

Saya juga mencadangkan kerajaan menjalankan kajian lebih mendalam terhadap penemuan dan data dari ke­dua-dua kajian tersebut seterusnya mencari jalan penyele­saian terbaik. Ingatlah, pekerja bukan sahaja tulang belakang organisasi tempat kerja malah aset utama ekonomi negara kita.