Hal ini disebabkan sikap masyarakat kita yang mahu menjimatkan ruang dan masa sehingga sanggup mengorbankan kemurnian bahasa sendiri. Maka lahirlah lambang-lambang dan kata-kata singkatan yang sudah biasa digunakan mahupun dicipta sendiri dalam menyebarkan maklumat menerusi aplikasi WhatsApp, Facebook dan lain-lain.

Tidak cukup dengan itu, penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa Mandarin turut dicampur adukkan dalam bahasa Melayu ketika berhubung atau memberi maklumat menerusi telefon pintar kepada rakan-rakan.

Maka tidak hairanlah istilah-istilah seperti you, I , lu , gua, 4U dan pelbagai lagi semakin rancak digunakan sebagai ujaran untuk berhubung antara dua pihak. Itu belum lagi dicampur dengan bahasa basahan dan bahasa remaja seperti awek, kantoi, poyo dan pelbagai istilah mereka sendiri yang tidak diketahui kesahihan maknanya.

Semua ini memberi kesan negatif kepada bahasa walaupun ada tujuan baik iaitu mahu menjimatkan ruang dan masa tetapi maklumat yang hendak disampaikan adalah banyak. Dari aspek bahasa, tentulah wujud apa yang dinamakan pencemaran bahasa kerana cara ini telah menghakis bahasa yang sepatutnya elok tata­cara dan susun suku kata dan katanya.

Memandangkan penggunaan telefon pin­tar yang mempunyai pelbagai kemudahan ini dikuasai oleh golo­ngan remaja, maka tidak hai­ranlah pelbagai pihak berasa bimbang tentang nasib masa depan bahasa.

Remaja kini sebenar­nya menjadi biasa dengan bahasa cacamarba sama ada dalam pertuturan dan mahupun berhubung dengan rakan dan keadaan ini akan bertambah buruk sekiranya tiada kesedaran untuk memartabatkan bahasa dalam kehidupan seharian.

Kepada pelajar, mereka dikatakan terbawa-bawa bahasa rojak dalam kertas peperiksaan. Inilah yang menjadi masalah sehingga pencapaian sesetengah pelajar dalam subjek Bahasa Melayu menurun gara-gara bahasa rojak yang diamalkan dalam kehidupan seharian.

Apakah alasan penggunaan bahasa rojak selain menjimatkan ruang dan masa? Sudah tentulah ia berkait rapat dengan soal kefahaman pengguna bahasa rojak itu sendiri. Jika kedua-dua pihak iaitu penghantar maklumat dan penerima maklumat memahami bahasa rojak, maka sudah tentu penggunaannya tidak menjejaskan apa yang hendak dibualkan. Maka penggunaan bahasa rojak akan terus kekal dan akan berkembang dari semasa ke semasa.

Oleh itu, sudah sewajarnyalah anak-anak muda atau sesiapa sahaja yang sering bergelumang dengan bahasa rojak membuang anggapan bahawa asal faham tidak me­ngapa. Mereka mesti memahami dengan menggunakan bahasa rojak, ia akan melenyapkan identiti dan kemantapan bahasa sendiri. Walaupun bahasa rojak agak mudah dan ringkas tetapi apa yang harus diingatkan adalah masa depan bahasa kita sendiri. Kita bimbang bahasa rojak ini akan terus berkembang dan menjadi masyhur di tanah air ini yang mempunyai bahasa kebangsaan yang diketahui telah berjaya menyatupadukan pelbagai kaum.

Apa-apa pun, tentunya kita tidak dapat mengelak penggunaan bahasa rojak kerana ia sudah terbiasa. Bagaimanapun, kawalan mestilah dilakukan agar bahasa ini tidak digunapakai dalam kebanyakan urusan termasuk urusan rasmi kerana boleh menjejaskan imej bahasa kebangsaan.