Barangkali kerana majoriti yang maut ialah warga asing, maka mungkin ada yang beranggapan kematian mereka boleh dengan mudah dilupakan begitu sahaja. Jika begitulah perkiraannya, maka penduduk Pulau Pinang perlu bersedia berdepan lebih banyak bencana serupa atau mungkin lebih buruk pada masa depan.

Risiko itu bukan sesuatu yang mengejutkan melihat kepada bentuk pembangunan yang diluluskan di negeri ini. Sesiapa pun yang melalui kawasan Relau, Tanjung Bungah, Bukit Bendera, Paya Terubong atau Balik Pulau misalnya dapat melihat projek-projek yang sedang dibangunkan di kawasan bukit.

Ada yang kedudukannya betul-betul di lereng bukit sekali gus menimbulkan persoalan apakah pemaju tidak pernah memikirkan soal kemungkinan atau risiko berlakunya ta­nah runtuh. Projek yang dibina pula boleh dikategorikan eks­klusif dan mewah atau separa mewah dengan harga setiap unit mencecah jutaan ringgit.

Secara logiknya harga itu adalah masuk akal kerana pada kedudukan tinggi dan di lereng bukit itu, pemilik kediaman berkenaan bukan hanya ‘membeli’ rumah mewah. Tetapi turut ‘membeli’ pemandangan indah negeri ini yang dikelilingi laut dengan pemandangan Jambatan Pulau Pinang dan hutan yang menghijau.

Pihak berkuasa pula ­pas­tinya tidak mempunyai banyak ha­langan kerana kelulusan yang diberikan kepada pemaju bermakna mereka juga mendapat hasil dan pulangan. Dalam erti kata lain, nyawa 20 orang yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh akibat pembangunan dalam tempoh setahun ini belum memadai untuk benar-benar memberi kesedaran kepada pihak berwajib.

Apa yang tinggal ini adalah kesungguhan penduduk menggerakkan gelombang supaya lebih ramai menyedari projek di kawasan bukit adalah tidak selamat dan berbahaya. Jika usaha ini berkesan, puluhan projek mewah di kawasan bukit itu akan terkesan dan mengalami kejatuhan harga. Pemaju juga tidak akan mengambil risiko untuk meneruskan projek pembangunan bukan kerana bimbang tanah runtuh, tetapi akan berdepan kerugian.

Perlu diingatkan juga cabaran mempertahankan kawasan bukit dan hutan di Pulau Pinang bukan setakat mengekang kerakusan pemaju untuk membina kediaman. Tetapi aktiviti pertanian haram oleh penduduk tempatan juga adalah satu bentuk pencerobohan yang sudah lama berlaku tetapi dipandang ringan.

Ini juga isu serius yang perlu ditangani segera kerana sekiranya kawasan hutan yang diceroboh bagi aktiviti pertanian itu tidak diselamatkan, risiko bencana tanah runtuh boleh pantas berlaku. Apa yang dibimbangi juga, kawasan bukit dan hutan di Pulau Pinang khususnya di Paya Terubong dan Bukit Bendera berdepan nasib sama seperti di Cameron Highlands ketika ini.

Dalam keadaan seperti itu, sudah terlambat untuk kawasan hutan dan bukit di Pulau Pinang diselamatkan dan penduduk perlu menyalahkan diri sendiri kerana membenarkan kemusnahan tersebut berlaku di hadapan mata mereka.


Apa yang tinggal ini adalah kesungguhan penduduk menggerakkan gelombang supaya 
lebih ramai menyedari projek di kawasan bukit adalah tidak selamat dan berbahaya.”