Isu Palestin adalah kisah lama yang nampak seolah-olah makin sulit mahu diselesaikan. Selepas perang 1948 di antara negara Arab dan Israel tamat, rejim Zionis menakluk Baitulmuqaddis barat dan menjadikan jajahan takluknya sebagai sebahagian dari Israel. Sekali lagi selepas perang 1967, Baitulmuqaddis timur yang ketika itu ditadbir oleh Jordan dirampas. Pada 1980, Parlimen Israel iaitu Knesset meluluskan rang undang-undang dinamakan Perundangan Asas Jerusalem yang mengiktiraf bandar tersebut sebagai ibu kota Israel dan seluruh Baitulmuqaddis dijajah sebagai milik mereka.

Perundangan berkenaan tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa melalui Resolusi 478 dikeluarkan Majlis ­Keselamatan PBB pada tahun sama. AS diakui sebagai penyokong tegar Israel akur dengan Resolusi 478 yang membawa maksud Washington tidak mengiktiraf Baitulmuqaddis milik dan ibu kota Israel.

Bumi Palestin dimuliakan oleh Allah dengan kewujudan Masjid al-Aqsa. Masjid ini selain menjadi kiblat pertama umat Islam juga antara masjid yang dimuliakan Allah dan tanah suci ketiga selepas Mekah dan Madinah.

Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Diutamakan (digandakan) solat di Masjidilharam atas yang lain dengan 100,000 solat, dan di masjidku dengan 1,000 solat dan di Masjid Baitulmuqaddis dengan 500 solat.” - (Riwayat at-Tabrani). Selain itu, Baitulmuqaddis juga adalah tempat berlakunya Israk dan Mikraj. (Rujuk surah al-Isra’: 1).

Sebenarnya, puak Zionis ini maklum tentang kelebihan dan kesucian Masjid al-Aqsa. Cuma apalah daya umat Islam menghalang tindakan Trump selagi kita tidak bersatu dalam pemikiran dan tindakan.

Bilangan Muslim di seluruh dunia kira-kira 1.3 bilion ternyata tidak menggentarkan musuh waima Israel yang kecil itu. Sebab itu, mereka terus melakukan kekejaman ke atas penduduk Palestin. Walaupun, rejim zionis itu dikelilingi negara-negara Islam Arab, rakyat Palestin terus dizalimi tanpa pembelaan.

Ini yang dijelaskan menerusi sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hampir seluruh umat manusia bersatu menghancurkan kamu seperti orang yang sedang lapar mengerumuni makanan. Mereka bertanya: Apakah kita sedikit pada masa itu wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Malah kamu ramai, tetapi kamu laksana buih air bah. Dalam pada itu hati mereka tidak ada rasa segan terhadap kamu dan dalam hati kamu sendiri tumbuh penyakit wahan. Apa yang dimaksudkan dengan penyakit wahan itu wahai Rasulullah? Maksudnya ialah di dalam hati kamu bertakhta perasaan cinta dunia dan takut mati.” - (Riwayat Abu Daud).

Sifat orang Yahudi ini dijelaskan oleh Allah menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar.” - (Surah al-Baqarah: 120)

Apa yang malangnya, itulah tabiat umat Islam. Mereka suka menjadikan Yahudi dan Nasrani sebagai kawan sebaliknya Muslim itu sebagai lawan. Keakraban Arab Saudi dengan AS adalah open secret sehinggakan dalam banyak keadaan Saudi mengambil sikap berdiam diri. Semuanya dek kerana mahu menjaga periuk nasi dan kepentingan diri. Mujurlah ada negara Arab seperti Turki yang berani bersuara mempertahankan Palestin.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguh­nya kamu pasti akan mengikut jejak langkah orang yang sebelum kamu - sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehinggakan jika mereka memasuki ke dalam lubang dhab (sejenis biawak di padang pasir), pasti kamu akan mengikut mereka. Kami (para sahabat) bertanya: Wahai Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani (yang engkau maksudkan)? Jawab baginda SAW: Maka siapakah lagi (kalau bukan mereka)?” - (Riwayat Bukhari dan Muslim).