Sebab ini sudah masuk pu­singan akhir. Kalau sebelum Julai ini, ada kira-kira lima bulan sahaja lagi sebelum pengundian pi­lihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Khabar yang hinggap di telinga penulis setakat ini memberi gambaran menggembirakan. Pendek kata bakal-bakal calon BN ini agresif turun padang berkhidmat untuk rakyat.

Begitupun, ada segelintir­nya dikatakan agak kurang me­nyenangkan.

Ada satu kawasan pilihan raya yang dimenangi BN dalam satu pilihan raya kecil persaingan tiga penjuru dikatakan pemimpin politiknya setelah menang, tidak lagi berperlakuan seperti mana sebelum dia menang.

Tanya penulis apa yang ku­rangnya si wakil rakyat terbabit, padahal dia popular. Kalau nak penulis sebut rekod petunjuk pres­tasi utamanya (KPI), wow! tak cukup dakwat barangkali nak dicalit pada piawaiannya.

Kata anak muda lingkungan 30-an yang juga ahli UMNO kawasan berkenaan: “Bukan apa bang (penulis), panggil datang ke majlis, selepas sahaja berucap, dah nak ‘belah’ (beredar)...bila tanya kenapa?...ada banyak lagi program nak pergi lepas ni.

“Sepatutnya, beliau duduklah dulu, ramah mesra dengan hadirin dalam setengah jam...ini tak, tup tap tup tap berucap, belah (beredar)...apa ni, tak macam sebelum dia menang dulu…mesra senyum melebar.”

Bagi penulis secara peribadi, setiap wakil rakyat atau bakal calon BN - yang dikhabarkan ada di banyak kawasan diletakkan ‘sehingga dua atau tiga orang’ sebelum dimuktamadkan - ada style masing-masing.

Ada yang dilihat lebih gemar bergerak secara solo atau one man show sehinggakan semasa sidang akhbar yang menyaksikan be­rita besar bercorak human inte­rest pun, hanya dia seorang yang bercakap dengan media. Mana semangat satu team?

Dan begitulah pengamatan anak muda tadi. Dia dan penduduk kampung di kawasannya mempunyai tanggapan baharu yang ‘agak berbahaya’ terhadap wakil rakyat terbabit.

Barangkali, wakil rakyat berkenaan ada sasarannya sendiri ‘nak kejar atau bersalam dengan angka khalayak yang lebih ramai’ lagi. Namun dikhuatiri ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’.

Cuma, penulis kena sebut ju­ga satu dua contoh antara sebahagian besar mereka dari BN yang menunjukkan komitmen tinggi berkhidmat kepada rakyat setakat ini. Antaranya, Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Raja Nong Chik tewas 1,847 undi dalam perebutan kerusi Parlimen Lembah Pantai dalam PRU-13 namun sebaik sahaja kalah, beliau tidak putus asa tetap komited berkhidmat dengan rakyat di kawasan berkenaan.

Malah, kelibat menyelesaikan permasalahan penduduk Lembah Pantai dan sekitarnya termasuk Bangsar amat dirasakan waktu ini berbanding semasa beliau menjadi calon BN berjawatan menteri tempoh hari.

Bahkan juga ada ungkapan sinis kedengaran ‘di Lembah Pantai macam ada dua wakil rakyat’.

Satu wakil rakyat (penyandang kerusi Parlimen itu) untuk berikan servis antarabangsa umpama lagaknya macam ‘menteri luar’. Satu lagi, apabila tiba bab tempatan (menyelesaikan isu-isu setempat seperti kerosakan lif, baik pulih rumah Projek Perumahan Rakyat serta bantuan-bantuan lazim), penduduk merujuknya kepada UMNO dan BN.

Dan siapa lagi yang dirujuk oleh mereka kalau bukan Raja Nong Chik.

Demikianlah juga jika suatu ketika agak susah melihat kelibat orang Pas hadir dalam majlis kelolaan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan itu, sekarang 
da­­­lam setahun dua ini orang Pas jarang ‘angkat kaki’ dengan Raja Nong Chik yang kerap berada di surau-surau dan masjid di Lembah Pantai.

Walhal dulu adakalanya sumbangan dari wakil BN pun ditolak dan diting­galkan begitu sahaja di tepi surau oleh orang Pas. Kini tidak lagi.

Kawasan Lembah Pantai yang disandang PKR sejak dua penggal lalu sudah ‘berubah wajah’. Dikatakan terdapat antara 8,000 hingga 12,000 penyokong tegar Pas di Lembah Pantai.

Sejak era ketua bahagian terdahulu, Datuk Mohamed Kamal Hussain; penyandang kerusi lepas, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Raja Nong Chik sendiri berdepan dengan calon pembangkang di kawasan itu, undi ahli dan penyokong Pas tidak pernah menyeberang ke BN.

Namun kini apabila penyandang kerusi terbabit dari PKR dilihat pula mewujudkan kem PKR bersama PAN, diyakini akan ada persaingan timbal balik dalam PRU-14 nanti.

Buktinya cukup jelas ketika ini. Poster-poster Raja Nong Chik serta program-program semasa­nya mula dikongsi oleh orang Pas dalam aplikasi WhatsApp.

Sehinggakan belum sempat pegawai Raja Nong Chik mahu menyebar maklumkan program anjuran UMNO, kerja itu telah pun dilakukan oleh beberapa orang surau kalangan ahli Pas.

Raja Nong Chik ketika dihubungi pagi semalam mengakui andai namanya masih terselit dalam senarai calon BN, beliau tetap muhasabah diri masih le­takkan dirinya sebagai underdog.

“Saya sedar cabaran untuk menang begitu sengit, saya masih terasa penangannya dalam PRU-13 lalu dengan spin dan adu domba yang datang bak ‘tsunami’ ke Lembah Pantai...selagi kemenangan belum dalam tangan, kita berusahalah bantu rakyat, selebihnya terserah kepada-Nya,” kata Raja Nong Chik.

Dalam PRU-13, kemenangan hampir sahaja digapai Raja Nong Chik. Tetapi kerana dek permainan putar belit pembangkang, beliau tewas.

Lawannya dari PKR itu dikatakan begitu licik memanipulasi keada­an dengan membuat ke­nyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah membabitkan Nong Chik dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur iaitu sehari sebelum PRU-13 pada 5 Mei.

Penerbitan kenyataan itu da­lam portal propembangkang, Malaysiakini pada 4 Mei 2013 mengakibatkan reputasi dan maruah Nong Chik sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator terjejas teruk.

Setahun tiga bulan kemudian, si pemfitnah mengemukakan ke­nyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 dengan me­nyuarakan kekesalan mengeluarkan kenyataan itu dan berjanji untuk tidak mengulanginya.

Tetapi malangnya pada hari berkenaan, imej Raja Nong Chik sudah tercemar. Putar belit dan fitnah oleh orang itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran. Akhirnya dikatakan peti-peti undi Taman Seri Sentosa dan Taman Bukit Angkasa tidak memihak kepada Raja Nong Chik. Damage has been done.

Lima bulan terakhir ini adalah detik getir kepada mana-mana calon BN. Jagalah tingkah-laku, de­katlah diri serapat mungkin dengan rakyat.

Jangan kerana sikap ambil mu­dah, habis berucap di satu kawasan kampung, terus nak ‘belah’ (beredar) ke program atau majlis lain.