Meskipun berlatarbelakangkan keluarga yang serba kekurangan, Mohd. Amirul Afiq masih mampu mele­takkan dirinya sebagai antara tiga daripada enam orang rakyat Malaysia sejak 1959 yang berjaya menamatkan latihan tersebut. Bukan calang-calang orang yang boleh menamatkan latihan tersebut. Proses saringan untuk memasuki latihan tersebut pun sudah cukup ketat. Hanya mereka yang mencapai kualiti tertinggi sahaja akan berjaya menyertai latihan tersebut.

Kisahnya boleh dijadikan iktibar kepada sesiapa sahaja yang ingin berjaya untuk masa hadapan. Tidak perlu rasa bimbang dengan kesusahan yang dialami. Malah, setiap kekurangan dan masalah pada masa kini tidak menggambarkan bahawa seseorang itu tidak boleh memiliki masa hadapan yang cerah. Apa yang begitu menarik perhatian penulis ialah Mohd. Amirul Afiq cukup menyakini ‘kabel’ sebenar iaitu kekuasaan Allah SWT yang boleh mengubah kehidupan sesiapa sahaja yang ingin dimahukan-Nya terutamanya mereka yang berusaha mengubah nasib mereka.

Sebenarnya seseorang itu tidak perlu risau jika tidak memiliki ‘kabel’ melalui manusia yang memiliki kuasa. Kejayaan seseorang bukan bergantung kepada manusia semata-mata. ‘Kabel’ manusia tidak mampu melawan kekuasaan Allah SWT. Meskipun tidak memiliki ‘kabel’ manusia, itu bukan bermaksud hidup kita sudah berakhir. Allah berkuasa memberi rezeki kepada sesiapa sahaja. Yang penting seseorang itu perlu berusaha sebaik mungkin dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Insya-Allah, akan dimakbulkan oleh Allah SWT.

Kisah ‘kabel’ ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam masyarakat kita. Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan manusia. Inginkan sesuatu, sanggup menggunakan ‘kabel’ manusia meskipun mengetahui dirinya tidak layak. Ini menunjukkan betapa manusia itu lemah. Terlalu mengharapkan belas kasihan manusia yang memiliki kuasa dan mengambil jalan mudah dengan tidak berusaha bersungguh-sungguh.

Amalan menggunakan ‘kabel’ perlu dihapuskan kerana boleh menyebabkan mereka yang layak tidak diberikan keadilan yang sewajarnya. Berilah peluang yang saksama kepada semua golongan. Lebih-lebih lagi buat mereka yang layak. Misalnya, memberi peluang kepada golongan yang serba kekurangan untuk melonjakkan diri mereka. Ramai antara mereka mampu melonjakkan diri mereka ke tahap terbaik.

Kita tidak boleh menggunakan pendekatan persaingan melalui padang yang sama rata. Hal ini berlaku kerana tidak berlakunya keadaan padang yang sama rata. Menggunakan pendekatan seperti ini akan memberi kelebihan kepada golongan tertentu yang memiliki ‘kabel’, wang, pangkat dan kekuasaan. Apa yang akan terjadi kepada golongan serba kekurangan meskipun mereka benar-benar layak?

Konsep persaingan melalui padang yang sama rata telah dan sedang menyebabkan jurang antara mereka yang kaya dan miskin semakin melebar. Malah, akan memudaratkan kehidupan masyarakat. Keadilan bukan bermaksud setiap orang mendapat peluang yang sama rata. Keadilan bermaksud meletakkan sesuatu pada tempat yang betul dan saksama. Misalnya, persaingan melalui pendidikan. Berikan peluang yang saksama kepada golongan miskin.

Bagi pelajar daripada keluarga yang miskin, mendapat keputusan 4A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) daripada keseluruhan enam mata pelajaran sudah cukup baik berbanding pelajar daripada keluarga yang kaya raya yang telah mendapat keputusan yang sama.

Masakan tidak, pelajar yang berasal daripada keluarga yang kaya raya mampu mendapat pelbagai kemudahan pendidikan yang lebih baik berbanding pelajar yang bera­sal daripada keluarga yang miskin. Misalnya, keluarganya mampu menghantar ke pusat tuisyen yang terbaik sedang­kan pelajar daripada keluarga yang miskin hanya bergantung kepada guru yang mengajar dan usahanya sendiri.

Inilah yang perlu kita faham perbezaan antara peluang yang saksama dan sama rata. Contoh lain ialah sebagai ibu bapa kita akan cuba memberikan terbaik untuk anak-anak kita. Namun, itu semua bergantung kepada keupayaan anak-anak tersebut. Tidak wajar kita memberi layanan yang sama rata kerana seseorang anak mungkin sahaja memiliki keupayaan yang berbeza dengan anak-anak yang lain. Ha­nya dengan memberi layanan yang saksama sahajalah adalah langkah terbaik untuk menjadi ibu bapa yang adil.

Dalam hal yang sama melibatkan aspek perniagaan dan keusahawanan. Peluang yang saksama perlu diberikan kepada mereka yang baharu ingin menceburi bidang perniagaan. Tidak wajar layanan lebih diberikan kepada golongan usahawan yang telah berjaya sahaja.

Hal ini juga boleh menyebabkan sesuatu perniagaan itu tidak memiliki persaingan yang sihat. Mereka yang telah berjaya akan cuba mendapat laba yang lebih banyak sehingga memberi kesan kepada golongan yang baharu ingin menceburi bidang perniagaan. Akhirnya, sukar bagi golongan sebegini untuk mendapat ruang dalam bidang perniagaan.

Dalam konteks yang lebih luas lagi melibatkan masyarakat, peluang yang saksama dalam perniagaan akan menjadikan sesuatu perniagaan tersebut tidak dimonopoli oleh segelintir ahli perniagaan. Ini akan menjadikan persaingan perniagaan yang lebih sihat.

Justeru, dalam hal ini, peluang yang saksama perlu diberikan kepada semua golongan masyarakat. Buang jauh-jauh amalan menggunakan ‘kabel’ manusia yang akhirnya boleh membarah dalam masyarakat.

DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).