Namun terdapat juga yang bersedih dengan berita kematian ayah ibu mahupun sanak saudara ketika menunaikan haji. Didoakan semoga roh mereka diterima oleh Allah SWT dan termasuk dalam golongan mulia mendapat ganjaran haji mabrur dan mati syahid dalam keadaan jihad di jalan Allah SWT.

Malah terdapat kelebihan bagi yang meninggal dunia dalam keadaan ihram kerana akan dibangkitkan dalam keadaan bertalbiah. Yang meninggal dunia di Madinah pula termasuk golongan pertama dibangkitkan setelah kiamat dan dijanjikan syafaat al-kubra oleh Nabi Muhammad SAW.

Apa pun bagi haji dan hajah yang selamat pulang ke tanah air diharap turut membawa buah tangan perubahan yang dinantikan oleh masyarakat. Untuk itu golongan yang baharu bergelar haji dan hajah perlu bersiap sedia mempraktikkan segala pengajaran haji seawal tiba ke tanah air.

Usah kerana sibuk melayan tetamu yang datang berkunjung ke rumah, ibadah solat yang biasa dilakukan awal waktu ketika di tanah suci dilambat-lambatkan. Laungan azan yang memanggil untuk solat berjemaah juga tidak lagi dipedulikan.

Ini ditambah dengan ke­si­bukan menyelesaikan tugasan yang ditinggalkan sehingga tidak sempat lagi ke masjid. Sedangkan ketika di Tanah Haram, ramai yang seronok bersiap awal ke masjid untuk solat lima waktu dan duduk lama beriktikaf pun tidak keberatan.

Haji dan hajah juga diajak untuk terus mengenakan pakaian yang menutup aurat dan menjaga kehormatan diri sama seperti di Tanah Suci. Ini kerana terdapat golongan hajah yang istiqamah bertelekung dan berstokin selama lebih sebulan tetapi apabila kembali ke tanah air ia diremehkan.

Pak haji yang sepanjang masa di Mekah berjubah, berserban, berkopiah juga kemungkinan ma­lu dan kekok untuk terus berbuat demikian. Padahal gaya pakaian seperti ini mampu menjadi perisai untuk mengelak berbuat dosa dan maksiat sehingga kekal dalam hidayah dan petunjuk-Nya.

Golongan haji dan hajah juga diharap menceritakan segala yang baik-baik ketika di Tanah Suci sehingga menarik minat masyarakat untuk bersegera menunaikan ke­wajipan haji. Usah ditakut-ta­kutkan dengan pelbagai berita yang kemungkinan tidak benar. Usah diburuk-burukkan petugas Tabung Haji yang telah berkorban meninggalkan keluarga dan tanah air demi memastikan semua tetamu Allah dapat menunaikan haji dengan sempurna.

Malah susah payah mereka yang sudah berada seawal bulan Syawal di Madinah dan kembali semula ke tanah air bersama ­penerbangan terakhir jemaah haji Malaysia eloklah dipuji dan diucapkan dengan setinggi penghargaan atas komitmen yang tidak berbelah bahagi.

Bagi yang datang berziarah pula usahlah sekadar berbual dan bertanya khabar sahaja. Ambillah aura keseronokan beribadah yang dibawa pulang oleh haji dan hajah sebagai buah tangan yang paling berharga sehingga menimbulkan motivasi untuk mula melakukan amal kebajikan. Usah pula terlalu berharap dengan pelbagai hadiah dan cenderamata yang dibawa pulang kerana ia hanya keseronokan sementara yang akhirnya hilang entah ke mana.

Yang lebih penting difikirkan adalah bagaimana untuk bersegera ke Tanah Suci ketika muda dan sihat tubuh badan selain membuat persiapan awal sebelum tiba kuota ke Mekah. Apatah lagi dengan masa yang ada semakin terhad dan umur semakin me­ningkat. Tanda-tanda hampir berlakunya hari kiamat juga seakan mula terasa apabila hari berlalu pantas tanpa terasa.

Masyarakat Islam turut diajak mula melazimi zikir dan ba­nyak membaca al-Quran. Kerana inilah yang akan dilakukan ketika beriktikaf berjam-jam lamanya di Masjidilharam sama ada ketika menanti untuk solat berjemaah mahupun memenuhi waktu ­lapang dengan aktiviti ibadah. Selain itu zikir mampu menenangkan jiwa dan menjadi perisai untuk membenteng diri daripada fitnah akhir zaman.

Justeru, usah disia-siakan se­gala pengorbanan masa, wang ri­nggit dan pelbagai ganjaran yang diperoleh semasa di Tanah Suci dengan kembali kepada tabiat buruk dan perangai lama.

Usah juga terlalu berbangga dengan gelaran haji dan hajah kerana ia sebenarnya amanah yang berat untuk dipikul. Nikmat dapat kembali ke pangkuan keluarga dan kampung halaman juga adalah masa terbaik untuk haji dan hajah berubah sehingga menjadi cerminan kepada masyarakat betapa ibadah haji dipenuhi de­ngan hikmah dan pengajaran buat hamba mukminin.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.