Sebanyak sembilan berita baik yang diumumkan sememangnya dinanti-nantikan oleh para penjawat awam dan juga golongan pesara kerajaan yang tidak putus menerima imbuhan daripada kerajaan atas jasa yang ditaburkan untuk pembangunan negara selama ini.

Sesungguhnya insentif yang diberikan bukanlah sekadar janji kosong atau ‘gula-gula’ yang dihulurkan untuk mendapat sebarang balasan.  

Insentif yang diberikan ada yang berbentuk one-off, tetapi ada juga yang mempunyai implikasi jangka panjang yang dapat membantu merealisasikan aspirasi negara pada masa akan datang.  

Pemendekan kenaikan pangkat mengikut time-based yang dikurangkan dari 13 tahun ke 10 tahun akan bermula pada tahun ini.  

Sekiranya seorang graduan universiti berusia 24 tahun memulakan kerjaya pada tahun ini, 10 tahun akan datang pada 2028 sudah akan menikmati kenaikan pangkat.  

Sekiranya dia pekerja yang cemerlang, sudah tentu kenaikan pangkat ini akan dirasai lebih awal.

Ini bermakna pekerja yang berkompetensi tinggi akan dapat dibangunkan lebih awal lagi menerusi pengalaman bertugas, justeru kualiti perkhidmatan awam akan dapat ditingkatkan.  

Pemberian gaji bersamaan jumlah satu Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) yang berkuatkuasa bermula 1 Julai 2018 merupakan satu insentif kerajaan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion.  

Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi kenaikan gaji tahunan disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun ini. Kenaikan gaji ini juga akan memberikan kesan jangka panjang kepada negara kerana kerajaan akan membayar kadar emolumen lebih tinggi.  

Jelas bahawa dakwaan yang mengatakan negara akan muflis adalah tidak berasas, kerana kerajaan tidak akan mengambil langkah jangka panjang ini sekiranya negara kita mengalami kekangan kewangan.

Bagi warga pendidikan, semestinya pengumuman mengenai pewujudan perjawatan Gred DG56 menjadi satu bonus istimewa untuk mereka.  

Bagi penyandang DG54 yang sudah lima tahun dalam gred tersebut dan secara tekal memberikan perkhidmatan cemerlang, peluang kenaikan pangkat terbuka luas sebelum mereka sampai kepada  Jawatan Utama Sektor Awam atau JUSA C.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid memaklumkan skim ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2019 dan bakal memberi peluang kepada lebih 323 pegawai untuk kenaikan pangkat, dengan implikasi kewangan sebanyak RM7.4 juta.

Menariknya pegawai perkhidmatan pendidikan kini dapat menikmati kenaikan pangkat ke DG56, sekalipun mereka tidak berpeluang untuk dilantik ke JUSA.

Justeru kerjaya sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) kini akan menjadi lebih menarik, selaras dengan Anjakan 4 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk memartabatkan profesion keguruan.   

Menyingkap semula usaha untuk memartabatkan profesion keguruan ini, Kementerian Pendidikan telah mengorak langkah untuk merangka Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan pada 2016 yang komprehensif, meliputi laluan kerjaya guru, pembangunan profesionalisme berterusan dan pembangunan kompetensi guru.  

Kualiti warga pendidik memang perlu dimantapkan menerusi latihan yang berterusan supaya mereka dapa membangunkan insan sejahtera bagi memenuhi Agenda Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Peningkatan kompetensi dan prestasi yang lebih mantap demi menghadapi pendidikan abad ke-21 adalah amat penting untuk diterapkan kepada semua guru.

Memetik kata-kata Ketua Pengarah Pelajaran ketika itu Tan Sri Khair Mohamad Yusof;  “Melestarikan pendidikan berkualiti adalah syarat utama bagi memastikan kemenjadian murid.  Melalui PPPM 2013-2025 secara jelas menerangkan lima aspirasi sistem dan enam aspirasi murid merupakan indikator utama dalam menentukan ke arah kejayaan sistem pendidikan negara.”

Jelas bahawa murid yang berkualiti adalah insan sejahtera yang dapat membangunkan negara pada masa hadapan, dan kunci kepada murid berkualiti ini adalah guru yang lebih berkualiti.  

Untuk memastikan guru yang berada di dalam sistem adalah berkualiti dan terus kekal berkualiti, sistem ganjaran yang sesuai dan mantap adalah perlu bagi menjaga kebajikan mereka.

Bagi warga pendidikan, gred DG56 yang diperkenalkan ini bakal memberikan sinar harapan kepada mereka untuk kenaikan pangkat dan seterusnya memberi sumbangan yang lebih bermakna dalam perkhidmatan.  

Pastinya Kementerian Pendidikan akan memantapkan Pelan Induk Pembangunan Profesionalisme Keguruan ini dengan memperjelas fungsi dan peranan mereka yang bakal dilantik ke gred DG56 ini.

Penstrukturan Kementerian Pendidikan yang bakal berlaku sebagaimana yang diumumkan semasa Perutusan Tahun Baharu Menteri Pendidikan pada 2017 sudah tentu akan mengambil kira perkembangan positif ini.  

Tahniah kepada semua PPPS yang bakal menikmati kemudahan ini!  

Namun begitu sebagai warga pendidik, walau apa pun imbuhan yang diberi, sama ada yang akan memberikan kegembiraan jangka pendek atau kesan jangka panjang, ganjaran yang paling bermakna adalah apabila murid yang dididik menjadi insan yang dapat memberikan sumbangan bermakna kepada agama, bangsa dan negara, agar kedaulatan Malaysia akan terus kekal terpelihara.  

Bersyukur kita selamat di bumi Malaysia!