Situasi politik Johor...

Pada dasarnya stabil. Kepimpinan UMNO negeri diterajui Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kemas. Tidak berpuak-puak. Pembangkang berusaha keras mahu tawan Johor tapi kita (UMNO/BN) be­kerja keras dan ikhlas untuk rak­yat sekali gus memastikan setiap kawasan Parlimen di Johor membangun pesat.

Faktor Muhyiddin Yassin (Presiden PPBM) ada kesan tak?

Terlalu kecil kerana orang Johor melihat UMNO masih menjadi sandaran untuk pembangunan. Di Johor sendiri apabila Muhyiddin dipecat, terbukti tidak ada seorangpun ketua UMNO bahagian di negeri itu menyertainya.

Malah di Pagoh sendiri, timbalan ketua UMNO bahagian ambil alih kepimpinan bahagian. Sayap-sayapnya dari ketua Wanita, ketua Pemuda dan ke­tua Puteri masih kekal kesetiaannya.

Lim Kit Siang di Gelang Patah...

Dia tidak memberi service (perkhidmatan). Sepanjang jadi wakil rakyat di Parlimen Gelang Patah pun, dia jarang berjumpa rakyat dan dengan perkembangan terbaharu dimaklumkan Kit Siang akan berpindah tempat mengundi (dikatakan Pulau Pinang).

Cuma masalah di Gelang Patah ini, pengundi Cina kebanyakannya bukan asal Johor. Banyak dari Ipoh, Pulau Pinang dan Kedah. Mereka bukan anak jati Johor. Jadi, mereka tak ada suatu semangat cintakan Johor kerana kebanyakan orang Cina di Johor bekerja di Singapura.

Melayu Johor...

Masih yakin terhadap kepe­mimpinan UMNO kerana segala aktiviti orang Melayu memang diusahakan oleh kepimpinan UMNO itu sendiri kerana menteri besar serta barisan exconya semua berada di Johor Bahru dan mereka rapat.

Ada ‘orang kuat’ pembangkang mahu bertanding di Johor...

Kita alu-alukan mereka termasuklah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar sendiri kerana mungkin dia tak me­nyedari orang Johor ini unik sedikit sebab itu dipanggil Bangsa Johor. Bangsa Johor mempunyai jati diri yang tinggi, tak mudah terjebak dengan pengaruh luar. Lebih-lebih lagi Melayu Johor ini tak teruja dengan pemimpin luar kerana Johor telah lama melahirkan tokoh-tokoh di peringkat nasional.

Tohmahan Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya tanah di Johor dijual pada China...

Tohmahan sebegini amat tipis untuk memperdayakan pengundi kerana Johor mempunyai peraturan perlembagaan. Tanah di bawah kuasa kerajaan negeri.

Pembangunan yang dibawa adalah lebih kepada pelancongan. Malah, kita pun mahu menjadi sebuah negeri yang mentransformasikan Wilayah Pembangunan Iskandar menjadi wilayah global kerana akan beri kesan ekonomi pada rakyat Johor.

Dan lihat bagaimana Singapura yang telah membuka pelaburan ekonominya secara global dan berjaya wujud sebagai kota antarabangsa.

Johor masih kubu kuat UMNO?

Ya, masih kubu kuat. Cuma kita akui pengaruh-pengaruh atau maklumat misleading statement yang cuba nak mengelirukan. Misleading statement ini se­perti negara kononnya akan dijual. Kita tak jual negara ini. Kalau lihat Dubai, hari ini menjadi kota yang hebat di dunia. Kita harus menerima era globalisasi dunia tanpa sempadan.

Kalau dengan pelabur China pun kita gusar, bagaimana kita nak bersaing pada masa depan yang lebih mencabar. Ini soal ekonomi hari ini yang menggunakan teknologi maya, online business.

Kalau barangan dan perkhidmatan tidak boleh dieksport, negara bakal merudum. Kalau masih mahu tutup ruang, maka ekonomi kita akan tertutup.

Dalam konteks apa yang dibuat kerajaan negeri Johor, ini suatu yang patut disanjung.

Malah Pulau Pinang dan Sela­ngor pun cuba membawa pelabur-pelabur global. Hari ini kita tak dapat elak bahawa proses ekonomi China sudah menjadi kuasa ekonomi dunia.

Dengan kedekatannya dengan Singapura, strategi yang direncanakan melalui kepimpinan Johor dan kerajaan Pusat tidak melengahkan peluang-peluang ini.

Kita pantas sehingga membangunkan terminal petrokimia terbesar di Asia dengan libatkan pelaburan dari Arab Saudi seba­nyak RM30 bilion.

Ini bukan calang-calang pe­rancangan kerajaan untuk pastikan masa depan anak-anak muda lebih terjamin. Rakyat Malaysia perlu mengagumi perancangan ini. Kita mempunyai pemimpin yang bervisi jauh.

PRU-14 bila?

Elok dipanjangkan sehingga penghujung tempoh mandat berakhir Jun 2018 kerana tugas kerajaan ialah untuk memberi per­khidmatan yang sehabis banyak.

Di samping itu diyakini banyak lagi kemungkaran pembangkang akan terbongkar seperti kos kajian terowong bawah laut yang menelan belanja beratus juta ringgit dan isu tanah runtuh di Pulau Pinang.

Walaupun didengari parti bunga (PPBM) akan menjadikan persaingan ke empat penjuru (selain BN, PAN dan Pas) di kerusi ter­tentu, namun laluan calon mereka dijangka getir.