Ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump menarik minat ramai bukan sahaja kerana negara kuasa besar itu adalah tonggak utama keberkesanan PBB tetapi juga kerana ia adalah ucapan pertama Trump di hadapan sedemikian ramai ­pemimpin dunia lain.

Begitu jua dunia ternanti-nanti ucapan dari pemimpin de facto Myanmar, Aung San Suu Kyi ­kerana ia berkait dengan tragedi yang sedang menimpa masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine, Myanmar.

Seperti yang dijangkakan ucapan Trump pada Selasa lalu tidak banyak berbeza dengan ucapan lazim beliau yang begitu berterus terang dan tidak mengandungi unsur bahasa dunia diplomasi.

Tetapi apabila berucap di pentas PBB yang asas penubuhannya adalah untuk keamanan sejagat, ucapan Trump lebih mirip kepada bentuk dan gaya Hugo Chavez dari Venezuela, Fidel Castro dari Cuba atau Mahmoud Ahamdinejad iaitu bekas Presiden Iran.

Apabila Trump menegaskan akan menghancurkan Korea Uta­ra, ungkapan seperti itu lazim­nya keluar dari mulut pemimpin seperti Chavez, Castro dan Ahmadinejad dan bukannya dari pemimpin negara yang dianggap mengamalkan demokrasi paling tulen.

Sebab itu juga ramai yang agak kecewa apabila Suu Kyi tidak hadir di UNGA tetapi keputusan itu sememangnya sudah di­jangka kerana sudah pasti beliau akan berhadapan dengan teguran pemimpin global lain tentang bagaimana Myanmar menangani kemelut Rohingya. Beberapa ming­gu lalu, PBB telah mengesahkan bahawa apa yang berlaku di Rakhine adalah ‘genocide’ iaitu pembunuhan secara besar-besaran terhadap satu kumpulan etnik dan dalam kes ini Rohingya.

Walaupun Suu Kyi tidak hadir di UNGA tetapi pada Selasa lalu beliau telah berucap di Parlimen Myanmar menyentuh kemelut yang sedang melanda wilayah Rakhine dan paling menarik ucapan tersebut dibuat dalam bahasa Inggeris. Tidak syak lagi ucapan Suu Kyi ditujukan kepada masyarakat antarabangsa kerana lazimnya perbahasan dalam parlimen dibuat dalam bahasa Burma.

Sebagaimana dijangka, ucapan Trump di UNGA penuh dengan berbagai ugutan dan tidak diplomatik, ucapan Suu Kyi yang dianggap pertama kali disentuh beliau mengenai isu Rohingya untuk tatapan masyarakat antarabangsa tidak banyak berubah dari pendirian kerajaan Myanmar sebelum ini.

Jika Suu Kyi sering berdolak-dalik mengenai tragedi yang sedang melanda masyarakat Ro­hingya, begitu jua dalam ucapan beliau menegaskan apa yang dilaporkan oleh masyarakat antarabangsa seperti PBB, Amnesty International dan media adalah pembohongan dan rekaan semata-mata.

Suu Kyi menafikan berlaku kekejaman yang didalangi tentera Myanmar, malah beliau mempertahankan tindakan tentera sebagai langkah mempertahankan kedaulatan negara yang diancam kumpulan militan Rohingya.

Begitu jelas Suu Kyi masih tidak mahu mengiktiraf hak Rohingya sebagai rakyat Myan­mar kerana dalam ucapannya, beliau langsung tidak menggunakan ungkapan Rohingya tetapi menggunakan identiti Benggali Muslim untuk merujuk kepada masyarakat Rohingya. Mengapa digunakan ungkapan Benggali Muslim adalah kerana kumpulan ini asal usulnya adalah dari Bangladesh.

Begitu aib dan ironis apabila Suu Kyi melahirkan rasa amat simpati dengan nasib yang me­nimpa masyarakat Rohingya dan sedang berusaha mencari sebab mengapa mereka melarikan diri ke Bangladesh. Setakat hari ini apabila kekacauan mula meletus di Rakhine hampir sebulan lalu, lebih dari 400,000 Rohingya telah melarikan diri ke sempadan Bangladesh.

Setiap hari dianggarkan hampir 20,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh melalui jalan darat, laut dan juga menyeberangi sungai dan setiap kali tindakan sebegini dilakukan ia bagaikan menggadai nyawa. Begitu meng­aibkan sekali apabila Suu Kyi sebagai penerima anugerah Keamanan Nobel menegaskan beliau tidak tahu mengapa perkara sebegini boleh tercetus.

Bagaikan cuba memperbodohkan masyarakat antarabangsa, beliau menegaskan Myanmar sudi mengambil balik pelarian Rohingya yang sedang berada di kem pelarian di sempadan Bangladesh. Namun janji tersebut amat sukar diterima sama ada dari segi keikhlasan atau kebenaran kerana jika ungkapan Rohingya pun tidak mahu digunakan, bagaimana pula Myanmar sudi mengambil kumpulan yang diberi gelaran sebagai Benggali Muslim.

Tetapi apabila Suu Kyi menegaskan kerajaan Myanmar mengamalkan sikap terbuka bagi pihak luar seperti PBB melakukan tinjauan kerana menurut panda­ngan beliau tiada apa yang hendak disembunyikan, maka pandangan sedemikian dianggap sikap kepura-puraan Suu Kyi pada peringkat paling serius sekali.

Sudah banyak kali wakil dari PBB sama ada ditegah atau dikekang dari menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa ugutan. Begitu juga permintaan dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sama ada untuk membuka pejabat atau menghulurkan bantuan dipandang sepi oleh kerajaan Myan­mar. Sudah banyak kali tindakan Malaysia untuk membantu masyarakat Rohingya di Myanmar sentiasa dihalang walaupun bantuan tersebut bersifat kemanusiaan.

Begitu terserlah sikap bongkak Suu Kyi apabila beliau menegaskan Myanmar tidak gentar dengan kritikan masyarakat antarabangsa kerana beliau akur tekanan yang diterima setakat ini adalah begitu minimum sekali. Suu Kyi juga bagaikan mengugut masyarakat antarabangsa supaya tidak menggoyahkan proses demokrasi Myanmar yang dianggap begitu muda usianya.

Tidak menghairankan jika Trump dengan sikap semberono berucap bagaikan pemimpin diktator tetapi mengaibkan sekali apabila Suu Kyi sebagai pejuang hak asasi manusia sanggup memperlakukan masyarakat Rohingya sedemikian rupa.