Walaupun pihak pemberontak masih menguasai banyak tempat di negara itu, tetapi jangkaannya ialah tentera Syria dengan sokongan Rusia, Iran dan Hizbullah dari Lebanon akan menawan balik kawasan-kawasan mereka yang terlepas. Kalau tidak pun satu penyelesaian politik diusahakan supaya persetujuan antara pihak pemberontak yang mendapat sokongan daripada Amerika Syarikat (AS), Perancis, Turki, Arab Saudi dan Qatar, di samping negara-negara lain, dapat dicapai dengan perang saudara itu boleh dihentikan.

Presiden baharu AS, Donald Trump telah menyatakan bahawa beliau tidak meletakkan penggulingan Bashar Assad sebagai keutamaan. Baginya apa yang menjadi keutamaan ialah mengalahkan Daesh dan al-Qaeda. Sikap Trump yang dikatakan mesra dengan Presiden Vladimir Putin menyenangkan Rusia.

Perancis pula lebih tertumpu pada isu dalam negaranya apabila gelombang populis sedang mengancam calon-calon presiden daripada parti utamanya. Maka pandangannya terhadap Syria adalah juga menundukkan Daesh dan menghentikan peperangan bagi menutup kedatangan pelarian ke negara itu.

Sejak rampasan kuasa yang gagal tahun lalu, Presiden Turki, Reccep Tayyip Erdogan lebih mengutamakan menangani ancaman keganasan yang dihadapi negaranya. Ancaman itu datang dalam dua bentuk iaitu daripada pemisah Kurdis dan Daesh. Maka menjatuhkan Assad juga bukan keutamaan.

Arab Saudi pula lebih tertumpu pada perang saudara di Yemen. Hanya Qatar yang menyatakan akan terus membantu pihak pemberontak. Apa yang disebut pemberontak adalah kumpulan-kumpulan Islamis dan pro-demokrasi yang mahu menjatuhkan rejim Damsyik itu. Al-Qaeda dan Daesh disifatkan sebagai pengganas dan berperang menentang kedua-dua pihak - tentera Syria dan para pemberontak.

Dalam keadaan ini, pihak pemberontak menerima realiti bahawa mereka tidak boleh menang. Maknanya rejim Assad akan terus berkuasa. Cuma mereka mahu mempertahan kawasan-kawasan yang mereka tawan supaya ia boleh digunakan apabila diadakan rundingan damai kelak.

Sebarang rundingan damai antara Damsyik dengan para pemberontak akan turut melibatkan para pendokong utama kedua-dua pihak iaitu Rusia dan Iran di sebelah Syria, sementara AS dan Turki di sebelah pemberontak. Pengganas al-Qaeda dan Daesh tidak dilibatkan dalam sebarang rundingan damai.

Menyalahkan

Maka dalam keadaan menanti gencatan senjata untuk rundingan ini, perang diteruskan dengan sengit. Tentera Syria dibantu Rusia dan Iran terus berusaha menawan balik kawasan-kawasan pemberontak dan pengganas. Perang menentang Daesh dan al-Qaeda bukan saja berlaku di Syria tetapi juga Iraq. Kumpulan bersenjata Kurdis juga aktif memerangi pengganas.

Tentunya dalam peperangan ini, mereka yang terus menderita dan menjadi mangsa adalah orang awam terutama di kawasan-kawasan pemberontak. Ini kerana pada waktu ini tentera Syria sedang mara dan pihak pemberontak berusaha mempertahankan diri.

Beberapa kumpulan sukarelawan antarabangsa turut masuk ke medan-medan perang khususnya di kawasan pihak pemberontak bagi memberi bantuan kemanusiaan. Selain itu, turut hadir ialah para wartawan dari seluruh dunia. Tetapi pihak media juga terbahagi dua.

Sebahagiannya berada bersama pihak tentera Syria, sementara yang lain pula masuk ke kawasan pihak pemberontak. Maka laporan kedua-dua pihak tentulah berbeza dan cenderung pada pihak di mana mereka berada. Maka sukar untuk mengetahui kebenaran, atau hanya propaganda untuk kepentingan pihak di mana mereka berada.

Salah satu daripada kumpulan sukarelawan yang memberi bantuan kemanusiaan pada pihak pemberontak ialah pasukan White Helmets. Mereka ini memperoleh biaya dari Barat dan boleh diagak kecenderungan politik walaupun secara rasmi khidmat kemanusiaannya bebas politik.

Maka di Khan Sheikhun di wilayah Idlib yang masih dikuasai oleh pemberontak, ketika berlaku satu serangan bom oleh tentera udara Syria ke sasaran awam, didapati mangsa menderita akibat bahan kimia dipercayai Sarin dan Klorin. Lebih 100 orang dipercayai mati dan 300 cedera dan White Helmets yang mengendalikan bantuan perubatan di situ menyaksikan mangsa-mangsa itu.

AS segera menyalahkan Syria yang menafikan menggunakan senjata kimia. Rusia pula mempertahankan Syria dengan menyatakan bahawa laporan mengenai senjata kimia itu tidak objektif. Sebaliknya Rusia menyatakan bahan toksik itu datang dari gudang milik salah satu kumpulan pemberontak iaitu Barisan Fateh Al-Shams yang terkena bom daripada serangan tentera udara Syria.

Namun begitu, Presiden Trump menyatakan perasaan terkejut dengan penggunaan senjata kimia di Syria itu. Beliau menyatakan bahawa serangan itu telah mengubah pendiriannya mengenai perang saudara itu. Pada Jumaat lalu, atas arahan beliau, kapal perang AS di Laut Mediterranean melepaskan peluru berpandu ke beberapa sasaran rejim Assad.

Sementara di ruang siber, perang maklumat antara pihak yang menyokong Syria, dengan penentangnya berlaku dengan sengit. Pihak penentang rejim Damsyik mengecam Presiden Assad sementara penyokongnya mengedarkan maklumat bahawa isu senjata kimia ini diada-adakan oleh AS bagi membolehkan negara itu menyerang Syria. Ini kerana tentera Syria terus mara untuk mengalahkan pihak pemberontak dan satu langkah drastik perlu dibuat bagi membolehkan para pemberontak itu dibantu.

Buat masa ini, kebenaran tenggelam dalam propaganda kedua-dua pihak yang mempunyai kepentingan untuk menang. Dalam peperangan, penipuan adalah sebahagian daripada taktik. Tetapi yang tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak ialah orang awam menjadi mangsa kepada bahan kimia yang dilepaskan dan terlepas dalam serangan itu.

Namun begitu, rejim Assad mempunyai rekod dalam penggunaan senjata kimia. Ia berlaku pada tahun 2013 yang mengorbankan ratusan mangsa di luar Damsyik. Sejak itu Syria secara rasminya memusnahkan simpanan senjata kimianya dan menandatangani Konvensyen Senjata Kimia. Ia menerima persetujuan itu bagi mengelakkan dikenakan tindakan tentera oleh AS.

Namun begitu pada tahun 2014 dan 2015, siasatan pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan ada petanda bahawa Syria menggunakan klorin dalam serangannya. Ini bermakna perang di Syria akan menjadi lebih sengit, yang menarik sama AS dan Rusia. Ini boleh jadi berpanjangan dan meluas, atau semakin diusahakan segera bagi mendapatkan perdamaian.

Apa pun yang akan berlaku, penderitaan rakyat Syria terus berlanjutan. Sejak perang itu meletus pada tahun 2011, hakikatnya 320,000 nyawa manusia tidak berdosa telah terkorban.