Setakat ini baru beberapa individu sahaja yang dihadapkan puluhan pertuduhan melibatkan wang 1MDB. Kita difahamkan ramai lagi suspek yang akan diheret ke mahkamah. Sementara itu, orang buruan (fugitive) utama, Jho Low masih belum dijejaki. Kita lihat sahaja sepandai-pandai tupai melompat, apakah akhirnya ia akan jatuh ke tanah juga?

Pada 1 November lalu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo menyatakan, kerajaan menolak cadangan perbicaraan kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disiarkan secara langsung.

“RTM mempunyai saluran terhad, begitu juga Bernama. Kami mempunyai banyak perkara lain untuk dibuat liputan berita di negara ini,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen pada hari itu.

Bagi pengamal undang-undang Jagjit Singh, siaran langsung tidak boleh dilaksanakan kerana ia akan mencemarkan integriti prosiding. Katanya, jika perjalanan kes itu disiarkan secara langsung, saksi-saksi mungkin akan menyesuaikan keterangan mereka mengikut testimoni saksi yang memberi keterangan lebih awal. Jika prosiding di mahkamah disiarkan secara langsung, pentadbiran keadilan mungkin tercemar.

Menurutnya lagi, Seksyen 7 Kanun Acara Jenayah dan seksyen 15 Akta Mahkamah Kehakiman hanya menyebut bahawa prosiding di mahkamah adalah terbuka kepada orang awam; ia tidak menyatakan bahawa perjalanan kes itu boleh disiarkan secara langsung.

Sebelum itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (peguambela Najib) telah mencadangkan agar perbicaraan kes anak guamnya disiarkan secara langsung. Dengan cara itu, ia akan memastikan prosiding berkenaan dijalankan dengan telus, tegasnya.

Bagi peguam, N. Sivananthan, siaran langsung satu prosiding jenayah di mahkamah untuk tontonan orang awam tidak boleh dilakukan kerana kredibiliti saksi akan dipersoalkan. Beliau menjelaskan mengikut undang-undang, seorang bakal saksi itu tidak dibenarkan mengikuti perjalanan kes di mahkamah sehinggalah dia selesai memberi keterangannya dalam perbicaraan kes itu.

Perlu ditegaskan apabila satu prosiding di mahkamah itu disiarkan secara langsung, ini tidak bermakna bahawa keseluruhan prosiding itu (dari awal hingga akhir) disiarkan. Apa yang akan disiarkan adalah terhad dan tertumpu kepada beberapa peringkat prosiding sahaja – misalnya permulaan mahkamah bersidang, pembacaan pertuduhan ke atas tertuduh, pengakuan tertuduh, ucapan pembukaan oleh Pendakwa Raya dan ucapan pembukaan (jika ada) oleh peguambela tertuduh, penggulungan kes di peringkat prima facie oleh Pendakwa Raya, penggulangan jawapan oleh peguambela bagi pihak tertuduh, keputusan hakim bicara sama ada wujud kes prima facie dan keputusan hakim bicara memanggil tertuduh membela diri.

Di akhir prosiding, siaran langsung boleh juga dibenarkan untuk meliputi penggulungan terakhir Pendakwa Raya, penggulungan terakhir peguambela bagi pihak tertuduh dan pengumuman keputusan oleh hakim bicara. Sekiranya prosiding berlanjutan hingga ke peringkat rayuan, siaran langsung boleh juga dibenarkan meliputi hujah peguam perayu dan hujah peguam responden dan akhirnya keputusan panel hakim rayuan.

Pada 2014, dalam kes Oscar Pistorius (yang dituduh membunuh teman wanitanya Reeva Steenkamp), Mahkamah Tinggi Pretoria di Afrika Selatan hanya membenarkan siaran langsung mengenai beberapa perkara sahaja, antaranya ucapan peguam, keterangan oleh saksi pakar, keputusan mahkamah dan pengumuman penghukuman.

Pada September 2018, Mahkamah Agung India menyatakan siaran langsung prosiding mahkamah wajar dibenarkan dalam kes-kes penting melibatkan isu perlembagaan negara. Langkah baharu ini akan meningkatkan lagi prinsip mahkamah terbuka dan mengurangkan kebergantungan rakyat kepada pandangan orang lain (reduce dependence on second-hand views).

Di Kanada, pada awal 2018 ini mahkamah negara itu mengizinkan live streaming satu kes sivil yang amat penting iaitu Robinson Huron Treaty Annuity case yang mana isu utama yang perlu diputuskan oleh mahkamah melibatkan pentafsiran dan pelaksanaan satu triti yang ditandatangani pada 1850.

Di California, Amerika Syarikat, pada Mei lalu, mahkamah rayuan negara itu membenarkan siaran langsung peguam kedua-dua boleh pihak membuat hujahan undang-undang di hadapan panel hakim rayuan. Di United Kingdom, selepas pindaan dibuat kepada Constitutional Reforms Act, 2005, siaran langsung prosiding mahkamah agung (Supreme Court) dibenarkan.

Dalam kes 1MDB (dan kes-kes besar lain), soalan sama ada prosiding kes ini boleh disiarkan secara langsung atau tidak terserah kepada kerajaan. Ada pro dan kontra. Jika kerajaan berhasrat mengizinkannya, kerajaan boleh mengenakan had dan batasan serta syarat-syarat tertentu. Isu ini menguji sejauh mana kita mengamalkan sistem kerajaan terbuka.

DATUK SALLEH BUANG ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.