KONSEP busana Islam perlu dibangunkan ke tahap lebih tinggi dengan
KONSEP busana Islam perlu dibangunkan ke tahap lebih tinggi dengan tujuan  bukan sahaja patuh syariah bahkan mempunyai nilai keindahan yang dipandang tinggimasyarakat dunia. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN

Selain itu, ia adalah kesinambungan daripada Advokasi Ilmuwan musim pertama yang telah berjaya diadakan sepanjang 2015 dan 2016 di 20 buah kampus universiti awam (UA) di seluruh negara hasil kerjasama Majlis Profesor Negara (MPN), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia. Namun pe­nganjuran pada kali ini agak unik kerana ia hadir bersama Program Profesor Bersama Masyarakat yang turut disertai dengan Forum Kesejahteraan Ummah, membincangkan isu berkaitan kepenti­ngan dan survival umat Islam yang akan diadakan di beberapa negeri sepanjang tahun ini.

Program Advokasi Ilmuwan pada kali ini akan membincangkan satu persoalan yang besar mengenai kepentingan Islam, iaitu Transformasi Kesejahte­raan Ummah: Bolehkah Malaysia Menjadi Model Terbaik? Secara lebih terperinci, topik ini berhasrat memberi pencerahan kepada 10 perkara yang akan menjadi tunjang perbincangan bagi menambah baik kesejahteraan umat Islam di negara dan global.

Pertama, sejauh manakah umat Islam bersedia mengamalkan prinsip wasatiyyah dalam cara hidup mereka tanpa me­ngorbankan kualiti dan usaha yang cemerlang untuk pemba­ngunan 1.8 bilion ummah di seluruh dunia pada masa kini. Apa yang kita lihat, jumlah umat Islam yang mewakili 23 peratus jumlah penduduk dunia ini, masih belum memberi jaminan terhadap kekuatan mereka untuk bersaing.

Kedua, sejauh manakah umat Islam, terutamanya generasi mudanya mempelajari ilmu sains dan teknologi supaya pada masa hadapan, dapat meningkatkan daya saing mereka. Umat Islam masih dilihat sebagai masyarakat pengguna sahaja manakala penghasilan inovasi teknologi masih dikuasai oleh bukan Islam.

Ketiga, sejauh manakah pengusaha dalam kalangan umat Islam berusaha untuk membekalkan produk makanan, minuman dan ubat-ubatan halal kepada seluruh umat Islam di seluruh dunia. Umat Islam sebenarnya tidak perlu bergantung kepada masyarakat bukan Islam untuk mendapatkan keperluan asas berkenaan memandangkan negara Islam mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian.

Keempat, perbincangan advokasi ini akan melihat sejauh manakah organisasi moden dan kompleks, terutamanya organisasi perniagaan, pemaju, perbankan, insurans dan sebagai­nya benar-benar memantapkan prinsip-prinsip yang patuh kepada hukum dan peraturan syariah dan selanjutnya mengua­sai serta me­mimpin sektor ini dalam kala­ngan masyarakat Islam.

Kelima, sejauh manakah kualiti governans dan birokrasi dalam sistem pemerintahan masyarakat Islam dapat diper­tingkatkan supaya bersih daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa demi pemerkasaan budaya kehidupan umat Islam. Dalam konteks ini, integriti sangat pen­ting bagi menjamin kesejahteraan masyarakat dan keadilan sosial. Keenam, mengenai usaha yang dilakukan oleh seniman Islam untuk melahirkan budaya hiburan dan seni yang bukan saja patuh kepada hukum dan peraturan syariah, bahkan mencapai tahap kualiti yang tinggi dan berdaya saing.

Konsep pelancongan Islam akan menjadi perkara ketujuh untuk disentuh, iaitu sejauh mana ia dibangunkan sehingga menjadi komponen penting dalam industri pelancongan di seluruh dunia. Pelancongan budaya berteraskan Islam dan budaya tempatan wajar diangkat sebagai pendekatan penting bagi mempromosi industri pelancongan negara.

Kelapan, melihat kepada sejauh manakah jaringan internet, media sosial, dan pendidikan atas talian dapat digunakan untuk mencetuskan transformasi besar dalam kala­ngan masyarakat Islam. Kemunculan konsep data raya misalnya mesti dimanfaatkan oleh umat Islam untuk kepentingan Islam.

Kesembilan, melihat sejauh manakah usahawan Islam ber­usaha memperluaskan pembangunan industri pembinaan, pengilangan, pemasaran dan sebagainya bagi memberikan manfaat kepada sumber manusia Muslim di seluruh dunia.

Dan akhir sekali, bagaimana konsep busana Islam dapat dibangunkan ke tahap yang lebih tinggi dengan tujuan bukan saja supaya patuh kepada hukum dan peraturan syariah bahkan mempunyai nilai estetika dan keindahan yang dipandang tinggi oleh masyarakat dunia.

Tuntasnya, kesemua perkara yang akan disentuh dalam program Advokasi Ilmuwan ini sa­ngat jelas menggambarkan ke­syumulan Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap dan boleh mengangkat potensi ummah jika usaha dan langkah yang tepat dijayakan oleh semua pihak. Malaysia sebagai model negara Islam yang moden dan progresif boleh menerajui hal ini dengan soko­ngan dan dukungan umat Islam yang insaf dengan amanah besar ini. Sudah tiba masanya perjua­ngan Islam lari daripada retorik, tetapi dipasakkan dengan pemikiran dan tindakan yang tepat demi kesejahteraan ummah sejagat.

DR. MOHD. IZANI MOHD. ZAIN ialah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Felo Bersekutu Majlis Profesor Negara (MPN).