Apa nak jadi ni? Kebebasan bersuara media dan rakyat Malaysia akan dikembalikannya jika teraju kerajaan berpindah ta­ngan? Itu kata Dr. Mahathir dalam ucapan Persidangan Agung Tahunan PPBM itu. Satu lagi yang agak lawak apabila disebutnya kebebasan badan perundangan akan juga dipulangkan.

Semasa pemerintahan Dr. Mahathir, Tunku Abdul Rahman mengkritik ba­nyak tindakannya yang disifatkan sebagai membebankan rakyat. Ketika itu isu-isu­nya sama sahaja dibangkitkan - negara ba­kal muflis, kos sara hidup tinggi, rasuah dan kronisme.

Malah lebih teruk pada masa itu, Ketua Hakim Negara dan lima Hakim Mahkamah Persekutuan telah dipecat. Walaupun Dr. Mahathir mendakwa ia bukan keputusan eksekutif, namun akhirnya pada 2008, kerajaan telah membayar ex gratia kepada keenam-enam hakim ini.

Ops Lalang pula bagaimana? Bukankah Lim Kit Siang, sekutu ak­rab Dr. Mahathir sekarang pernah menjadi tahanan ISA di era beliau?

Antara kata-kata Almarhum Tunku ketika mengulas pemeca­tan ketua hakim berkenaan:

“There is no law, no justice, no freedom of speech. Anybody who speaks out goes to prison. So he has got all the members of the opposition in prison... This is what worries me and all the responsible citizens of this country, no matter what race they come from. We are all worried.”

Sebesar mana jasa Dr. Mahathir pun tidak sama dengan jasa Tunku. Almarhum mengorbankan harta, takhta dan segala-galanya untuk kemerdekaan negara.

Tidak seorang anak Tunku pun menjadi bilionair atau jutawan seperti mana anak-anak Dr. Mahathir.

Dr. Mahathir tidak sepatutnya kecewa apabila ramai pemimpin dan ahli UMNO marah kepadanya kerana bekerjasama dengan Kit Siang, Brown dan George Soros untuk menumbangkan Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.

Ini kerana itulah budaya yang beliau ajar kepada ahli UMNO sejak dahulu supaya mengutamakan parti, negara dan rakyat daripada kepentingan diri.

Tumpang lalu nak petik jugalah kekecewaan beberapa pemimpin yang pernah berkhidmat dengan Dr. Mahathir dahulu. Antaranya:

Tun Musa Hitam

MUSA HITAM
MUSA HITAM

Dalam memoirnya, Frankly Speaking yang diterbitkan pada 2016, Musa, kini berusia 83 tahun menyifatkan Dr. Mahathir sebagai pemimpin politik pintar dan mampu mengeksploitasikan emosi sehingga menyebabkan orang Melayu berfikir beliau memperjuangkan nasib mereka.

“Saya fikir itu sebabnya beliau sering berkata, orang Melayu bodoh. Kemahiran politiknya menakjubkan,” katanya.

Bagi Musa, Perdana Menteri ke­empat itu mengambil strategi menyerang bagi mengelakkan orang lain mendedahkan salah lakunya.

Ujar Musa, Dr. Mahathir boleh mencetuskan gelora. Namun tetap yakin beliau tidak akan menderita ekoran tindakannya itu, sebalik­nya terus memiliki keyakinan tinggi dapat menguasai keadaan.

Pemblog, tambahnya, mungkin berkata terhadap Dr. Mahathir, “Hey, bagaimana dengan keadaan ketika anda menyelamatkan anak anda menggunakan duit Petronas?” Tetapi adakah itu menakutkan beliau? Sama sekali tidak,” kata Musa lagi.

Dr. Mahathir didakwa telah menggunakan wang Petronas untuk menyelamatkan syarikat perkapalan milik anaknya ketika krisis kewangan pada akhir 1990-an.

Pak Lah

ABDULLAH AHMAD BADAWI
ABDULLAH AHMAD BADAWI

Tun Abdullah Ahmad Badawi atau gelaran mesranya Pak Lah menjadi bahan kritikan Dr. Mahathir terutama selepas Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang menyaksikan kekalahan Barisan Nasional (BN) di empat negeri - Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan Selangor.

Bagaimanapun Pak Lah jarang bertindak balas secara terbuka. Begitupun beliau pernah beberapa kali mengeluh dalam Kabinet. Punca kemarahan Dr. Mahathir timbul daripada keputusan dibuat Pak Lah untuk tidak meneruskan projek-projek utama yang telah diputuskan semasa pentadbiran beliau. Pembatalan Jambatan Johor-Woodland, atau lebih dikenali sebagai Jambatan Bengkok dan projek-projek jalan raya berkembar KL-Utara, disifatkan sebagai ‘melanggar perjanjian’ utama oleh Pak Lah yang menyakiti perasaan bekas Perdana Menteri itu.

Bagi pihak Pak Lah pula, selain alasan kesempitan kewang­an juga menyatakan keputusan sedemikian atas persetujuan Kabinet.

Allahyarham Ghafar Baba

GHAFAR BABA membawa sebungkus beg plastik berjalan seorang diri
GHAFAR BABA membawa sebungkus beg plastik berjalan seorang diri menuju ke Bilik VIP di Lapangan Terbang Antarabangsa Subang sebelum berlepas ke luar negara pada 1993. – GAMBAR ARKIB/UTUSAN

Pada 1982, Anwar Ibrahim, orang muda baru berkeris masuk UMNO melalui loncatan tingkap, bukan menerusi pintu biasa. Selama 16 tahun Anwar diasuh dan dibelai oleh Dr. Mahathir. Me­loncat dari satu tahap ke satu tahap lain sehingga sampai menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO.

Pada 1993, Ghafar Baba ditumbangkannya melalui politik proksi. Penyokongnya mendakwa Dr. Mahathir yang ‘merestui’ sepenuhnya perebutan jawatan nombor dua itu.

Peristiwa itu menyaksikan Gha­far ‘dibelasah’ oleh UMNO sehinggakan pencalonannya tidak mencukupi dan terpaksa menarik diri. Jasa seorang ketua yang berkhidmat setia untuk UMNO dilupakan begitu sahaja. Sedikit penghormatan dengan memberi pencalonan kepada beliau pun UMNO tidak sanggup.

Ghafar berundur daripada ja­watan Timbalan Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri apabila kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO dicabar oleh Anwar. Tujuannya bagi mengelak perpecahan dalam parti dan mempertahankan kestabilan negara. Surat peletakan jawatan ditulis pada kertas ­Penerbangan Malaysia di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk berlepas ke Korea Selatan bagi tugas rasmi.

Dalam satu lagi berita bergambar semasa itu, ramai menaruh simpati dan sedih melihat foto Ghafar sedang menjinjing sebuah beg plastik dalam perjalanan hendak ke Indonesia. Ia sehari selepas beliau ditumbangkan sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan parti.

Dan Tumpang lalu cuma mahu bertanya lagi kepada kepemimpinan Pakatan Harapan dianggotai PKR, DAP dan PAN ini:

Adakah dengan menamakan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan akan melegakan pakatan itu sementara Anwar Ibrahim keluar penjara? Atau adakah mereka dalam Pakatan Harapan akan senasib Tunku, Musa dan Ghafar?