Apa lagi perkongsian ini untuk manfaat besar golongan muda dari isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Meskipun polemik Dego Ride ini sudah selesai Februari lalu apabila menteri berkenaan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan pendirian Kabinet, hakikatnya isu inilah menjadi cabaran kepada kementerian terlibat untuk melihat ‘keunikan’ luar kotak impak aliran kepesatan laman sosial dan maklumat masa ini.

Ingat tak dahulupun perkhid­matan teksi e-hailing Uber dan GrabCar ditentang hebat. Pemandu tek­si menekan ‘butang panik’. Banyak pihak menggelabah.

Tetapi kerana keperluan pa­saran begitu mendesak dan lebih utama lagi menjadi trend semasa orang muda (sebenar­nya di London, New York dan negara maju lain sudah lama mempraktiknya), Uber dan GrabCar kini sah di sisi undang-undang negara ini.

Dari carian Tumpang lalu mendapati rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga 31 Disember 2015 sahaja me­nunjukkan sebanyak 12,089,747 motosikal berdaftar berada di jalan raya. Itu setahun setengah lalu, kalau sekarang angkanya berapa?

Walaupun ada ‘kebimbangan yang teramat’ ekoran risiko kemalangan motosikal 48 kali ganda lebih tinggi berbanding bas dan 6.2 kali ganda lebih bahaya berbanding kereta yang bergerak dalam jarak sama, tetapi seperti mana disebutkan ‘kalau tak cuba, kita tak tahu’.

Dengan Dego Ride telah ber­operasi seperti ojek di Indonesia dan Motoesai Rap Chang di Thailand, yang memberikan pi­lihan lebih cepat mengatasi ke­macetan di sana, kaedah sama boleh dimulakan secara berperingkat di sini.

Jangan khuatir Dego Ride akan mengacau perkhidmatan MRT, monorel dan LRT. Masing-masing sebenarnya ada pelanggan tersendiri. Bukan itu sahaja, pengguna tiga jenis pengangkutan tadi pun amat memerlukan Dego Ride sebaik sahaja tiba di destinasi stesen.

Surat daripada Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Dego Ride, Nabil Feisal Bamadhaj ke­pada timbalan menteri berke­na­an tempoh hari mengusik hati Tumpang lalu. Antara isi­nya, minta diberi peluang untuk mem­bahaskan isu pengangkutan berkongsi motosikal yang berope­rasi tetapi kemudian ‘ter­sekat’.

Dego Ride kata Nabil, menyediakan perkhidmatan perkongsian penumpang berdasarkan tiga kilometer (km) dari stesen LRT atau stesen bas ke rumah atau sebaliknya. Semasa perkhidmatannya bermula November tahun lalu, tempahan dibuat menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3km pertama dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya.

Fikir punya fikir, Tumpang lalu sarankan elok juga dibuat percubaan Dego Ride di beberapa stesen MRT dan LRT terpilih untuk melihat keberkesanannya.

Pengalaman Tumpang Lalu sendiri bermotosikal sepenuh masa selama 15 tahun sifar kemalangan (syukur kepada-Nya yang melindungi) mengusulkan cadangan catchy tidak seberapa ini. Berilah peluang dahulu kepada Dego Ride.

Apatah lagi setakat 2015 memaparkan 7.6 juta penduduk negara ini memiliki lesen motosikal. Ini termasuklah kira-kira 50 peratus yang berumur 16 tahun ke atas memiliki lesen.

Tiong Lai! berjumpalah, ­lu­angkan sedikit masa Yang Berhormat dengar dari mulut Nabil perancangannya.

Cabaran, realiti hidup pemandu teksi

DIANGGARKAN terdapat 80,000 pemandu teksi di seluruh negara. Rata-rata mereka dalam lingkungan 50 tahun, kebanyakannya Melayu.

Dari satu sudut, Tumpang lalu faham sangat perkhidmatan teksi e-hailing Uber dan GrabCar agak ‘menghimpit’ pemandu teksi.

Apa yang bermain di benak fikiran ini, sudahkah pemandu teksi persiapkan diri menyerap teknologi sedia ada? Kadang kala jenuh juga bermain dengan aplikasi telefon pintar ini. Fobia dibuatnya sehinggakan anak kecil 10 tahun pun lebih mahir berbanding si bapa yang melewati umur 40 tahun.

Difahamkan, ada latihan menyerap pantas aplikasi ini untuk pemandu teksi yang mahu bersaing dengan pemain teksi e-hailing. Ini dikelolakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Di beberapa tempat di Shah Alam dan ibu negara, sudah jarang kelihatan teksi-teksi berbaris panjang menunggu penum­pang.

Apabila ditanya Tumpang lalu kepada seorang pemandu teksi yang hanya mahu dikenali sebagai Chin Mun, katanya:

“Saya buat smart partnership dengan Uber, GrabCar lah kawan, kalau tidak macam mana mahu (teruskan) hidup,” katanya yang berusia 56 tahun.

Di Shah Alam minggu lalu, sempat juga Tumpang lalu mencuba teksi dari kompleks PKNS ke Seksyen U10.

Yang tidak sedapnya bila masuk sahaja dalam kereta, terpaksa mendengar ‘kutukan ini, kutukan itu’. Terfikir pula, kalau sesiapa pun pergi ke pembangkang, habis-habis hanya diteriak, dipekikkan luahan hati yang disampaikan itu. Hujung-hujungnya pergi ke kerajaan juga akhirnya me­minta bantuan, pertolongan.