Ikut jadual, perlawanan masuk pusingan ketiga akan bersiaran antara 10 malam dan 2 pagi mengikut waktu di Malaysia. Bagi yang sekadar minat, pastinya tidak akan menonton semua perlawanan dan hanya menonton perlawanan pilihan. Namun, bagi peminat fanatik pasti sanggup berada di hadapan televisyen sepanjang masa bagi menyaksikan semua perlawanan pada hari tersebut.

Menonton bola tidak salah. Yang salah, akibat menonton bola selama dua atau tiga jam terutama siaran langsung bermula 2 pagi, kita terlepas solat subuh.

Semuanya gara-gara berjaga malam dan terlalu me­ngantuk. Tahap mengantuk yang amat sangat itu juga menyebabkan ‘tarbiah’ sebulan Ramadan di mana kita mampu solat subuh berjemaah di masjid hancur lebur dan gagal dipertahankan.

Walhal, ganjaran solat subuh berjemaah amat besar. Uthman bin Affan berkata, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: Barang siapa yang solat isyak berjemaah maka seolah-olah dia telah solat setengah malam, barang siapa solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia melaksanakan solat malam sepanjang malam. (Riwayat Muslim)

Solat subuh ini menjadi kayu ukur orang mukmin dan munafik. Orang munafik itu bila solat melakukannya de­ngan malas dan tidak mengingati Allah kecuali sedikit. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW: Tidak ada solat yang lebih berat buat orang munafik dari solat isyak dan subuh. Seandainya mereka tahu keutamaan kedua-duanya, pastilah mereka akan mendatanginya walaupun dengan me­rangkak. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Paling baik, para peminat tegar bola sepak ini boleh tidur dahulu supaya mereka kelak boleh memanfaatkan masa bangun malam itu untuk sekurang-kurangnya solat sunat tahajud dua rakaat diikuti witir satu rakaat. Amalkan tidur awal sedikit kira-kira 11 malam dan kunci alarm sekitar 1.45 pagi. Manfaatkan peluang dan masa 15 minit untuk beribadat dan taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah.

Rasulullah SAW dan para sahabat tidak meninggalkan solat tahajud sepanjang hayat mereka. Hayatilah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan pada sebahagian malam hari bersolat tahajudlah kamu sebagai suatu ibadat tambahan bagimu; Mudah-mudahan Tuhan-mu mengangkat kamu ke tempat yang terpuji. (al-Israk: 79)

Sementelahan, pada waktu tengah malam di mana kebanyakan manusia lena dibuai mimpi, Allah SWT sediakan waktu yang mustajab berdoa bagi hamba-hamba-Nya.

Diriwayatkan dari Jabir r.a, bahawa dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya pada waktu malam itu terdapat suatu waktu yang jika saja bertepatan dengan waktu itu seorang hamba muslim memohon kebaikan kepada Allah berkenaan dengan urusan dunia dan akhirat, sudah pasti Allah akan memberikannya kepadanya. Waktu itu terdapat pada setiap malam. (Riwayat Muslim)

Jika tak mampu sangat, paling tidak ucaplah zikir kepada Allah SWT walaupun setakat menyebut astaghfirullah (Aku mohon ampun ya Allah). Namun, kita dianjurkan untuk membaca zikir seperti berikut: Dari ‘Ubadah bin Shamit r.a, Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang terjaga di malam hari, kemudian dia membaca: Laa ilaaha illallaah, wahdahu laa syariikalah, lahul mulku wa lahul hamd, wa huwa ‘alaa kulli syai-in qodiir, alhamdulillaah, wa subhaanallaah, wa laa ilaaha illallaah, wallaahu akbar, wa laa haula wa laa quwwata illaa billaah.

(Maksudnya): Tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi-Nya. Bagi-Nya kerajaan dan pujian. Dia-lah Yang Maha Kuasa atas segala sesuatu. Segala puji bagi Allah, Maha Suci Allah, tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah, Allah Maha Besar, tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah.

Kemudian dia mengucapkan: Allaahummaghfir lii. (Ya Allah, ampunilah dosaku) atau dia berdoa (dengan doa yang lain), maka akan dikabulkan doanya, jika dia berwuduk dan menunaikan solat maka akan diterima solatnya. (Riwayat Bukhari).