Kejohanan tahun ini juga akan melibatkan beberapa pemain bola sepak terkemuka antaranya Cristiano Ronaldo (Portugal), Lionel Messi (Argentina), Sergio Ramos (Sepanyol) dan bintang yang semakin terkenal Mohamad Salah (Mesir).

Pada edisi kali ini, Rusia yang terletak di benua Eropah dipilih sebagai tuan rumah dan sepak mula kejohanan bermula dari 14 Jun hingga 15 Julai depan yang melibatkan 32 pasukan kesemuanya.

Kerancakan peminat-peminat sukan bola sepak ini juga pas­tinya tidak terkecuali di Malaysia. Walaupun skuad negara belum pernah melangkah ke Piala Dunia tetapi suasananya dirasai oleh peminat-peminat tempatan. Bagi masyarakat Islam, dalam keterujaan melayan sukan nombor satu dunia ini dengan pasukan pilihan, jangan sesekali lalai dalam tanggungjawab sebagai seorang Islam iaitu kewajipan dalam me­nunaikan solat.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:”Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”(Surah An-Nisa’: 103)

Berdasarkan jadual, perlawanan akan bersiaran pada beberapa waktu sekitar dari pukul 6 petang hingga 2 pagi mengikut waktu di Malaysia. Bagi yang sekadar minat, pastinya tidak akan menonton semua perlawanan dan hanya memilih perlawanan pilihan. Namun, bagi yang fanatik pastinya mereka sanggup berada di hadapan kaca televisyen sepanjang masa untuk menyaksikan kesemua perlawanan pada hari tersebut. Persoalan yang boleh ditimbulkan, bagaimanakah solatnya? Adakah solatnya berkualiti?

Kita akan kurang bermaya dan cergas sekiranya berbaring untuk jangka masa lama. Apatah lagi, sekiranya kita berbaring selama lebih lapan jam sambil menonton televisyen secara berterusan. Apabila keletihan sebegini, bagaimana kita mampu untuk memberikan tumpuan dan kekhusyukkan dalam beribadah kepada Allah SWT terutama dalam mendirikan solat fardu yang diwajibkan ke atas umat Islam.

Solat adalah salah satu rukun daripada rukun Islam yang wajib diketahui dan dilaksanakan oleh umat Islam. Solat juga adalah amalan pertama yang ditanya Allah SWT di akhirat kelak sewaktu kita dihimpunkan untuk dinilai amalan-amalan yang telah dilakukan di dunia. Daripada Abu Hurairah r.a, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: ”Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah Solatnya,” (Hadis riwayat Abu Daud dan Al-Tirmizi)

Kita tidak dihalang mahupun dilarang untuk menyaksikan Piala Dunia 2018 ini selagi mana niat hanya untuk melihat sukan bola sepak itu semata-mata dan dalam masa sama memelihara solat fardu. Bukan solat sahaja perlu dijaga tetapi beberapa perkara lain antaranya, tidak mengganggu ketenteraman jiran tetangga de­ngan membuat bising dan bersorak dengan kuat.

Bagi yang sudah bekerja atau berumah tangga dan mempunyai tanggungan, jangan terlampau taksub menontonnya sehingga lupa akan tanggungjawab yang perlu diberikan perhatian dan dilaksanakan terutama hal-hal yang melibatkan keluarga dan pekerjaan yang adalah sumber rezeki. Jangan kerana bola sepak, kehidupan menjadi tidak terurus dan jauh daripada rahmat kasih sayang Allah SWT.

Orang yang bijak, pastinya dia akan memanfaatkan waktu perlawanan siaran langsung itu de­ngan kesempatan yang ada untuk tunduk sujud dan beribadah kepada Allah SWT terlebih dahulu.

Sebagai contoh, sekiranya sia­ran langsung tersebut adalah pada pukul 2 pagi, seseorang itu boleh bangun pada waktu itu untuk menunaikan solat tahajud dan membaca al-Quran terlebih dahulu sebelum menyaksikan perlawanan bola sepak. Ini sekurang-kurangnya memberi peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT di sebalik hanya semata-mata bersengkang mata untuk menonton bola.

Sehubungan itu, marilah kita bersungguh-sungguh dan berusaha dalam menunaikan kewajipan solat fardu walaupun sedang dalam kerancakan Piala Dunia 2018. Pada ketika ini, tahap ke­imanan seseorang yang amat meminati sukan bola sepak ini pastinya akan teruji dalam memastikan mereka mengutamakan solat berbanding sukan ini terutamanya dalam urusan solat di awal waktu, solat berjemaah di masjid atau surau dan tidak melewat-lewatkan solat fardu itu sendiri.

Sesungguhnya dengan memelihara dan menjaga solat, kita akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Bahkan dalam masa sama, dapat mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT kerana kesungguhan kita menunaikan solat dalam apa jua keadaan sekalipun.

Firman Allah SWT di dalam Al-Quran yang bermaksud: ”Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman. (iaitu) orang yang khusyuk dalam solatnya,”(Surah Al-Mukminun : 1-2)

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam (UHEI), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.