Jika hendak dibandingkan dengan negeri-negeri lain memang benar Putrajaya tidak berdepan dengan banyak masalah kerana pembangunannya sangat tersusun dan dilihat hampir sempurna.

Namun Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor tidak pernah menjadikan faktor kesempurnaan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan ini untuk membiarkan pengundinya bersendirian.

Sebaliknya, pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk meri­ngankan mereka daripada kumpulan pertengahan dan bawahan agar dapat hidup selesa di sebalik kenaikan kos sara hidup. Sebagai contoh, beliau memper­kenalkan kad ceria iaitu kad diskaun yang membolehkan mereka mendapatkan potongan harga apabila ber­belanja di premis-premis yang mengambil bahagian.

Menerusi kluster perumahan pula, beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan menyasarkan 20,000 unit Rumah Wilayah Persekutuan (Rumawip) dibina di Putrajaya dan ini sekali gus memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Bagi kakitangan awam pula, Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) telah siap dibina di PPA1M Selasih, Presint 17, PPA1M Larai, Presint 6 dan PPA1M Palma yang terletak di Presint 11. Turut dilaksanakan bagi kluster ekonomi adalah program-program kemahiran seperti jahitan, bakeri, terapi spa, kecantikan, urutan, membaik pulih motosikal dan ba­nyak lagi pemberian peralatan kepada bakal usahawan.

Pembinaan Jambatan Seri Ehsan di bawah kluster pemba­ngunan yang menghubungkan Presint 4 dan Presint 19 sebagai laluan alternatif dan memendekkan masa perjalanan ke Pre­sint 1 dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Jambatan bernilai RM68.5 juta sepanjang 280 meter de­ngan kelebaran 35 meter yang menyediakan enam lorong iaitu tiga lorong keluar dan tiga lorong masuk ke Presint 6 boleh dilalui oleh bot persiaran dibawahnya kerana memiliki ketinggian 9 meter. Turut dibina ialah jalan masuk ke PPA1M Larai, Presint 6 sejauh 1.2 kilometer melibatkan kos RM20 juta; projek jalan masuk ke PPA1M Pudina sejauh 0.6 kilometer bernilai RM3.2 juta dan projek jalan masuk ke PPA1M Kasturi bernilai RM11.4 juta yang masih dalam perancangan.

Kemudahan-kemudahan awam termasuk sekolah dan rumah ibadat turut mendapat tempias nikmat pembangunan apabila di Putrajaya sebanyak 81 projek dengan peruntukan sebanyak RM3.5 juta (2014 - 2017).

Menerusi sumbangan Nur Ramadan pula, golongan miskin tegar mendapat bantuan menyambut bulan puasa dengan jumlah peruntukan lebih RM1.35 juta sepanjang tahun lepas.

Pembangkang boleh melemparkan pelbagai tuduhan kepada BN semasa kempen sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 ini, namun jiwa warga Putrajaya tidak boleh dibeli dengan tohmahan semata-mata kerana Tengku Adnan amat dekat di hati mereka dan sentiasa ada menjalankan tugasnya umpama sebagai seorang ketua kampung.