Tidak kira pemimpin mereka salah atau tidak, mereka tetap mempertahankannya. Begitulah juga apabila pemimpin mereka membuat keputusan, walaupun ada bantahan tetapi mereka tetap akur. Mereka tidak akan melakukan tindakan yang boleh merugikan parti.

Sebab itulah apabila PKR,DAP dan PAN kembali bertaut dengan musuh politik mereka iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad, pemimpin-pemimpin parti berkenaan tetap menyokong malah bersedia mengecam sesiapa sahaja yang mempertikaikan ‘kerjasama politik songsang’ tersebut.

Persoalannya, bagaimana dengan sesetengah pemimpin Barisan Nasional (BN), tidak kiralah sama ada UMNO, MCA, MIC atau Gerakan, sejauh manakah dalam kalangan mereka bersedia ke hadapan bagi mempertahankan kepemimpinan parti dan negara?

Ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menjadi sasaran tohmahan serta fitnah Pakatan Harapan, hanya segelintir sahaja pemimpin parti tersebut tampil membalas serangan.

Walaupun ada dalam kalangan mereka ini bertaraf Ahli Majlis Tertinggi (MT) atau Ahli Jawatankuasa Tertinggi di dalam parti masing-masing namun suara mereka tidak kedengaran. Kesudahannya bak kata orang Kedah, ‘pi mai,pi mai, muka tu juga’ yang membuat kenyataan. Selain tidak bersuara, mereka juga ‘senyap sunyi’ dalam media sosial sama ada dalam Facebook atau Twitter.

Oleh itu, dalam kerancakan mesyuarat-mesyuarat bahagian UMNO yang sedang berlangsung dan dalam ke­adaan kepemimpinan Perdana Menteri diasak kiri dan kanan, siang dan malam oleh Pakatan Harapan, sudah pasti ini memerlukan lebih ramai ‘panglima-panglima’ untuk mempertahankan Perdana Menteri.

Istilah ‘panglima’ ini bukan sahaja terpakai kepada UMNO tetapi juga pemimpin-pemimpin komponen BN. Janganlah mereka mengharapkan UMNO sahaja berhadapan dengan DAP atau PKR, mereka pun perlu menunjukkan keberanian untuk mempertahankan kepemimpinan BN.

Perlu diingat tindakan pakatan pembangkang menyerang Perdana Menteri adalah salah satu strategi politik yang bertujuan melemahkan parti dan kepemimpinan negara. Siapapun yang berada di kedudukan sebagai Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi BN, pasti akan diserang sedemikian.

Keadaan itu tidak boleh dibiarkan berterusan. UMNO dan BN memerlukan lebih ramai ‘panglima-panglima’ yang bersedia berhadapan dengan keceluparan dan kebiadaban pembangkang dalam menyerang kepemimpinan negara. Faktanya, di dalam UMNO dan BN terdapat ramai pemimpin, tetapi mereka tidak mahu bersuara. Mereka tahu kepemimpinan sedang diserang, mereka memahami kesannya jika dibiarkan, tetapi kenapa mereka diam?

Jauhilah ‘sindrom bisu’ apabila bertindak sekadar penonton ketika kepemimpinan parti dan negara ‘diserang’. Janganlah sekadar mahu jawatan dalam parti dan kerajaan, tetapi tidak bijak menggunakan kedudukan itu untuk mempertahankan kepemimpinan.

Tiada guna cakap berdegar-degar kononnya berjuang untuk parti dan mahu mempertahankan kerajaan tetapi apabila Pakatan Harapan menyerang Perdana Menteri, memburuk-burukkan kerajaan, mereka diam seribu bahasa. Penulis tidak perlu menyatakan siapa yang terlibat, siapa yang ‘makan cili, dia yang berasa pedas’! apa yang pasti perangai ‘sindrom bisu’ itu sudah mula diperkatakan bukan sahaja di dalam parti malah di luar parti.

Keadaan itu boleh mewujudkan persepsi tidak baik kerana ini seolah-olah menggambarkan di dalam UMNO dan BN tidak sepakat untuk mempertahankan ‘serangan’ pembangkang ke atas kepemimpinan negara. Oleh itu, hentikanlah ‘sindrom bisu’ kerana keberanian sebenar bukannya bertarung ­merebut jawatan di dalam parti atau hanya bijak mahu diberikan kerusi untuk bertanding tetapi keberanian sebenar adalah berhadapan dengan `serangan’ pembangkang.