Sebagai seorang jauh lebih muda daripada beliau, separuh daripada usia beliau, permohonan maaf itu menunjukkan tiada siapa pun yang lengkap. Setiap orang ada kelebihan dan kekura­ngan masing-masing. Inilah hakikat yang perlu diterima.

Dr. Mahathir hanya memohon maaf selepas 14 tahun melepaskan jawatan Perdana Menteri. Lipatan sejarah menunjukkan beliau telah menerajui kerajaan lebih dua dekad. Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana akhirnya mengakui kelemahan beliau. 

Tetapi apa yang penting, apabila saya menterjemahkan mesej ucapan Dr. Mahathir dengan tempoh kepimpinan semasa, Datuk Seri Najib Tun Razak baharu satu pertiga dari tempoh Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Najib dilantik sebagai Perdana Menteri sembilan tahun lalu bagi menggantikan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Najib sedang me­lakukan yang terbaik untuk rak­yat dan negara. Beliau juga tidak lengkap sebulat-bulatnya. Maka, tidak adil bagi Dr. Mahathir dan mana-mana pihak membandingkan dengan Najib dan mendesak beliau berundur.

Sebaliknya, Najib wajar diberi peluang untuk membuktikan beliau boleh melakukan yang terbaik bagi rakyat. Dr. Mahathir juga pernah berhadapan dengan kritikan demi kritikan sepanjang kepemimpinan beliau. Jika kita melihat kembali rekod sejarah akan menunjukkan Dr. Mahathir tidak pernah sunyi daripada kecaman-kecaman pedas.

Meskipun berhadapan dengan ge­lombang kritikan termasuk da­ripada Dr. Mahathir sendiri, Najib terus berusaha membawa dasar dan agenda pembangunan demi semua.

Oleh itu Najib mengharapkan sokongan berterusan kepada ke­pimpinan beliau. Dalam perutusan tahun baharu, Najib yakin rakyat akan bertindak bijak dalam memilih kerajaan untuk masa akan datang kerana mereka tahu siapakah yang memperjuangkan kepentingan mereka dengan sebenar-benarnya.

Malah menurut beliau, kerajaan percaya rakyat akan dapat melihat dengan jelas janji palsu yang ditabur pihak tertentu serta siapakah yang telah berjasa dan terus menabur jasanya.

Rakyat mempunyai pilihan terbaik untuk membuat pertimbangan terbaik. Pilihan dimaksudkan sudah pasti mengekalkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) demi memastikan kestabilan dan keamanan terus dinikmati. Rekod pentadbiran BN selama enam dekad lalu adalah bukti prinsip keadilan, kestabilan dan kemakmuran sentiasa didahulukan demi kesejahteraan rakyat.

Oleh itu pilihan terbaik bagi rakyat adalah memilih untuk mengekalkan Kerajaan BN di peringkat persekutuan dan ne­geri. Kembalikan kerajaan-ke­rajaan negeri yang berada di bawah pembangkang kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Bukan sahaja rekod pentadbiran Kerajaan BN adalah indeks terbaik untuk membuat pilihan terbaik, tetapi kegagalan kerajaan-kerajaan negeri ditadbir pem­bangkang mengurus dengan baik, juga merupakan ukuran bagi rakyat untuk kembali memberi amanah dan kepercayaan kepada Kerajaan BN.

Penghapusan tol di empat kawasan termasuk dua di Selangor berkuat kuasa Isnin lalu adalah contoh keprihatinan Kerajaan Pusat yang mengambil berat akan keperluan dan kesejahteraan rakyat.

Banyak insentif telah diper­kenalkan menerusi Bajet 2018 yang berkuat kuasa mulai 1 Januari lalu. Di bawah kepemimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan telah melaksanakan banyak insentif dan polisi mesra rakyat sejak tahun 2009, tidak kira agama, kaum dan latar belakang rakyat negara ini.

Jika kita menilai satu persatu insentif dan skim yang dilaksanakan sepanjang sembilan tahun lalu, saya yakin setiap rakyat merasai dan menikmati kelebihan di pihak masing-ma­sing. Justeru sebagai pemimpin yang prihatin, saya berkeyakinan Najib akan terus melaksanakan agenda, program dan dasar yang mesra rakyat dalam tahun-tahun akan datang.

Wajah tahun 2018 sudah bersinar. Semoga tahun baharu akan membawa kebahagiaan yang berterusan kepada setiap rak­yat. Tidak dapat dinafikan setiap daripada kita sedang menghitung hari menanti tarikh PRU-14 dan memangkah undi memilih kerajaan yang menjadi harapan kita. Harapan saya pengundi akan bijak memilih dan akan terus mengekalkan kerajaan BN demi kesinambungan pentadbiran yang adil dan saksama serta membawa sinaran buat semua.

Ini harapan semua. Saya pasti BN tidak akan mengecewakan sesiapa pun. Setiap rakyat ada ruang bahagian masing-masing dalam kemakmuran, kesejahte­raan dan kestabilan negara ini. Ini kelebihan yang ada pada Kerajaan BN dan kepimpinan semasa yang sentiasa memahami denyutan nadi rakyat sama ada yang ada di Lembah Klang, Perlis, Johor ataupun di Sabah, sekali gus meme­nuhi harapan mereka.

Tahun 2018 untuk membuat pilihan terbaik untuk Malaysia. Pilihan terbaik itu BN! BN Dahulukan Rakyat!

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap Ahli Parlimen Kuala Selangor.