Dengan termeterainya kerjasama antara UMNO dan Pas pula membuatkan ada pihak melihat peranan MCA dan MIC semakin tenggelam. Bagi mendapatkan pandangan mengenai masa depan BN, Mingguan Malaysia yang diketuai Penolong Pengarang Mingguan Malaysia, ROZAMAN ISMAIL bersama wartawan, SAIFULIZAM MOHAMAD, SHARAIMEI SHAIK AHMEDULLAH dan AZRUL HAKIMIE ANUER bersama jurugambar AMIR HAFIZ ABD. RAHMAN dan juruvideo, AZMAN AHMAD menemu bual TIMBALAN PRESIDEN UMNO, DATUK SERI MOHAMAD HASAN di Ibu pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn Khamis lalu.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat turut berkongsi mengenai persiapannya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau dan kerjasama UMNO serta Pas.
 

MINGGUAN: PRK DUN Rantau akan diadakan pada 13 April ini, sebagai kubu kuat BN, bagaimana Datuk Seri melihat peluang untuk mempertahankan kerusi ini?

MOHAMAD: Saya memang sudah bersedia sejak kes ini dibawa ke mahkamah dan kita sudah bersedia untuk menghadapi PRK pada bila-bila masa. Selain itu, saya juga tidak pernah bubarkan jentera pilihan raya sejak dahulu. Jadi jentera ini yang akan bergerak. Dari segi persiapan untuk menghadapi PRK pula semuanya berjalan dengan lancar.

Rantau akan menjadi tumpuan selepas ini, adakah dijangka berlaku tentangan sengit?

MOHAMAD: Dalam PRK setiap kerusi akan menjadi tumpuan tidak seperti PRU, tambahan pula Rantau bukan tempat sebarangan, saya akan pertahankan kerusi itu makanya PH akan gunakan segala kuasa dan jentera sebagai kerajaan untuk pastikan calon BN diberikan tentangan sebab yang bertanding itu Timbalan Presiden. Saya jangkakan ada penambahan tekanan tidak seperti PRK lain, sudah semestinya mereka mahu lihat kejutan untuk ambil alih kerusi DUN Rantau.

Dalam dua PRK sebelum ini, pengundi bukan Melayu masih mengundi kerajaan. Bagaimana Datuk Seri melihat situasi di Rantau yang mempunyai komposisi kaum seimbang?

MOHAMAD: Kalau dilihat pecahan pengundi di Rantau jelas menunjukkan tiada jaminan sebab pengundi Melayu hanya 53 peratus tetapi Rantau lain seperti tempat lain sebab Rantau tempat saya dilahirkan, bersekolah dan membesar dan saya jarang tinggalkan kawasan. Jadi bagi saya, walaupun di Cameron Highlands dan Semenyih sokongan bukan Melayu belum pulih, di Rantau saya harap rakan-rakan daripada kaum Cina, India termasuk Melayu yang kebanyakannya mempunyai pertalian kekeluargaan membantu saya.

Ada pihak yang mendakwa BN ‘tewas’ di Rantau berdasarkan undi yang diterima di Parlimen Rembau dalam PRU Ke-14 lalu, apa pandangan Datuk Seri?

MOHAMAD: Saya tidak boleh cakap apa yang berlaku tetapi macam-macam sentimen yang berlaku masa PRU Ke-14. Malah, PRU lalu ialah PRU penuh beremosi, pengundi sudah tidak lagi rasional dengan kemarahan meluap-luap dan sentimen asalkan bukan BN ditambah persepsi buruk dan fitnah dilemparkan kepada BN dan UMNO begitu dahsyat sekali. Tetapi nampaknya dalam PRK selepas itu terutamanya di Cameron Highlands dan Semenyih orang sudah balik kepada realiti. Sebab itu keputusan di kedua-dua kawasan ini memang sudah dijangka yang mana orang sudah berpijak di bumi nyata. Saya yakin di Rantau akan jadi begitu.

Keputusan di Cameron Highlands dan Semenyih menunjukkan referendum rakyat, adakah sentimen sama akan diterjemahkan dalam PRK Rantau?

MOHAMAD: Kedua-dua PRK ini menunjukkan referendum rakyat yang tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada yang tidak boleh mengurus negara, isu masyarakat bertambah teruk dan mereka seperti tidak selesa berada di negara sendiri dan orang Islam terasa gelisah dan terancam kerana isu-isu agama yang dipermainkan.

Inilah yang kita hendak rakyat lakukan dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands dengan memberi isyarat kepada kerajaan untuk perbetulkan pentadbiran sedia ada dan jangan memandang ringan masalah rakyat. Jangan kata dah menang boleh buat apa saja. Apakah cara paling baik untuk rakyat luahkan perasaan tidak puas hati mereka? Caranya melalui pilihan raya. PRK tempat paling sesuai untuk meluahkan referendum sementara menunggu PRU Ke-15.

Baru-baru ini, MCA dan MIC mahu menarik diri daripada BN. Apakah nasib BN jika perkara itu benar-benar berlaku?

MOHAMAD: BN sudah wujud lama, kita pun sudah kenal hati budi masing-masing. Jangan sebab satu dua perkara terus melupakan sejarah yang baik, BN dan Perikatan boleh menyatupadukan rakyat, ini formula yang baik. BN masih relevan dan mempunyai asas kukuh dan boleh polish balik macam permata, jadi sudah tiba masanya kita polish permata yang sudah pudar dengan memberi imej baharu kepada BN dengan mementingkan imej UMNO yang berintegriti, menghapuskan politik wang dan lain-lain.

Selain itu, saya juga sudah beri­­ta­hu parti lain untuk meng­uruskan parti sendiri dengan memper­kasakan parti dan merancang strategi untuk menghadapi PRU Ke-15. Setiap parti perlu diberi ruang sendiri tetapi tidak sehingga ke tahap BN tidak relevan lagi. BN adalah organisasi yang membawa kita bersama tetapi pada masa sama kita tidak mengikat lagi kaki satu sama lain, kita kena buat kerja macam saya pastikan UMNO kukuh, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Tan Sri S. A. Vigneswaran pastikan MCA dan MIC kukuh. Apabila setiap parti mengukuhkan masing-masing, secara automatik BN akan kukuh semula.

Isu ini bertitik tolak daripada kerja­sama UMNO dan Pas dan prestasi teruk dua lagi parti komponen, apa pandangan Datuk Seri?

MOHAMAD: Kerjasama ini adalah strategi kita untuk memperkasakan UMNO dan Pas dan bersama-sama untuk menyusun strategi hadapi PRU Ke-15, UMNO dan Pas merupakan parti jadi tujuan utama parti adalah untuk menghadapi pilihan raya dan tubuhkan kerajaan, jadi kenapa orang perlu risau dan cemburu? Kita pun tidak saling mengikat malah dalam mesyuarat baru-baru ini saya beritahu masing-masing tidak akan terapkan nilai masing-masing, kita hanya bekerjasama sebagai pembangkang.

Ini sampai ada yang anggap ini sebagai pengisytiharan perang terhadap bukan Melayu. Kenapa perlu cakap sehingga begitu singkat pemikiran? Adakah orang Melayu tidak boleh bersatu? Yang saya katakan perpaduan ummah bukan perpaduan Melayu, maksudnya perpaduan masyarakat dengan tidak meminggirkan masyarakat bukan Islam tetapi agenda utamanya orang Melayu perlu bersatu. Sudah terbukti dalam sejarah negara, Melayu bersatu negara akan aman malah, terbukti dalam sejarah negara boleh merdeka daripada British apabila Melayu bersatu.

Isu keluar BN ini adakah berpunca daripada MCA dan MIC merasa tertekan akibat prestasi buruk dalam PRU lalu?

MOHAMAD: Mereka cuba menja­dikan BN sebagai punca tertekan akibat prestasi masing-masing tetapi UMNO pun tidak cemerl­ang tetapi tidak sampai hendak membuang rumah kita, malahan dalam PRK Balakong, MCA bertanding menggunakan logo sendiri dengan harapan dapat menambah undi tetapi ini salah prestasi mereka lebih teruk lagi. Undi yang mereka terima lagi rendah, jadi adakah mereka masih mahu menyalahkan BN? Sebab itu saya kata setiap parti perlu kukuhkan parti masing-masing dan tidak cuba melarikan diri dan masih berada dalam sindrom penafian. Kita perlu bergerak ke hadapan.

Nasihat Datuk Seri?

MOHAMAD: Fikir bagaimana untuk membina parti dan macam mana hendak buat benteng-benteng yang lebih kukuh kesan PRU lalu, benteng BN runtuh tetapi pungutlah batu-bata dan simen semula elok-elok supaya benteng baharu ini lebih kuat daripada benteng yang runtuh dahulu. Jangan asyik terbelenggu kenapa kalah, kita sudah kalah. Move on, kita kena fikir bagaimana hendak bangun balik. Itulah yang saya buat dalam UMNO dengan memperkasakan semula parti, buang perangai lama, buang politik wang, ego dan bongkak dan berdiri di atas bumi yang nyata.

Ada pihak mendakwa MCA dan MIC tidak keluar daripada BN sebab mereka hendak menolak UMNO, bolehkah kemungkinan ini berlaku?

MOHAMAD: Dalam piagam BN tiada siapa pun boleh menolak sesiapa atau mempunyai kuasa mutlak untuk menolak sesiapa, melainkan menolak diri sendiri macam Gerakan dan parti-parti di Sabah dan Sarawak lakukan.

Bagaimana kerjasama yang akan diberikan Pas di Rantau?

MOHAMAD: Pas telah umum untuk tidak letak calon, malah mere­ka juga tidak pernah meletak­kan calon PRU lalu. Kerjasama yang ditawarkan Pas ialah untuk terus bersama-sama membantu BN dan jentera Pas akan ke Rantau selepas di Semenyih.

Adakah kerjasama antara Pas dan UMNO akan membimbangkan PH?

MOHAMAD: Memang pun mereka bimbang sehingga cakap UMNO kafir dan Pas Islam, mengapa orang perlu risau? Kita dulu tidak risau apa­bila Pas dalam Pakatan Rakyat, ada UMNO kata ini ancaman kepada negara? Saya tidak pernah kata semua kaum Cina mengundi DAP perkara ini sebagai deklarasi perang terhadap orang Melayu, bahkan saya mengambil ini sebagai iktibar untuk mengambil semula hati pengundi Cina dan India. Mengapa begitu sekali reaksi mereka? Ini menunjukkan PH sudah terdesak, mereka merasakan kerjasama UMNO, Pas dan BN dan pertubuhan bukan kerajaan lain akan membahayakan mereka jadi mereka melontarkan ‘bom tangan’ di laman kita, mereka tidak patut buat begitu sebab kita pun banyak ‘bom’. Kalau saya lontar ‘bom’ mereka akan lebih kelam-kabut.

Apakah perbezaan kerjasama dalam BN dan PH?

MOHAMAD: Mereka memang hendak ambil alih tugas yang dipikul BN dan berjaya buat pel­­ba­gai parti dalam satu gabungan, bagai­manapun mereka tidak akan mendapat satu ketenteramam seperti yang BN dapat kerana masing-masing ada agenda tersendiri. Mereka tiada semangat PH, DAP dengan Malaysian Malaysia, Amanah dengan politik Islam, PKR hanya mahu meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan Bersatu cuba ambil alih tugas UMNO. Mereka tidur sebantal tetapi mimpi yang sangat berlainan.

Bagaimana pula faktor bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan tagline Bossku?

MOHAMAD: Fenomena Bossku adalah nilai tambah kepada keku­atan kita. Bagi saya apa sahaja perkara boleh menambah nilai kita alu-alukan. Tidak timbul soal beliau mengganggu kita. Beliau juga masih Ketua Bahagian dan Ahli Parlimen Pekan.

Adakah Datuk Seri akan menjemput beliau di Rantau seperti dalam dua PRK sebelum ini?

MOHAMAD: Kalau ada jemputan beliau datang, kalau kita lihat keadaan beliau berkempen bersama-sama, apa salahnya? Tiada masalah kan. Beliau bukan pendatang tanpa izin. Inikan pula Datuk Najib bekas Presiden dan bekas Perdana Menteri kenapa kita perlu berpandangan negatif sekali? Ini semua pandangan yang tidak mahu UMNO kuat semula dan mahu melihat UMNO bungkus.

Ada pihak mengatakan antara faktor kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih adalah aura Datuk Seri sendiri?

MOHAMAD: Kemenangan kita disebabkan pengundi sudah kembali kepada rasional, mereka tidak lagi dilenakan dengan janji-janji dan fitnah kepada BN. Ini semua disebabkan kegagalan PH mentadbir negara dengan baik. Ini faktor yang utama. Sebab aura, saya tidak tahu. Mungkin ada lima atau 10 peratus. Selain itu, paling ketara undi saluran orang muda, kita jangan salah anggap mereka, sokongan mereka boleh berubah. Dahulu sebab persepsi negatif terhadap BN tetapi sekarang mereka boleh fikir semula.

Apa tips menjaga kesihatan memandangkan tiga PRK ini berlangsung dalam tempoh singkat?

MOHAMAD: Puasa, badan akan rasa sihat. Kemudian bersenam selepas Subuh dengan berjalan, sebab lutut saya sakit. Saya hanya berjalan perlahan-lahan, yang penting makan berpada-pada dan berpolitik pun berpada-pada. Semua perkara perlu bersederhana jangan melampau.