JOM yang dipersembahkan kepada golongan muda akan membuatkan pengundi muda menilai sejauh mana pencapaian BN sebagai parti tonggak yang memerintah negara dan legasi pemerintahannya sejak kemerdekaan. Orang muda sememangnya mahu melihat kepemimpinan yang dinamik dan konsisten.

JOM dapat membuka mata rakyat untuk menilai niat dan perancangan masa depan kerajaan kerana ia dihasilkan serta diperhalusi daripada kehendak serta hak yang disuarakan rakyat sendiri.

Sesungguhnya rakyat keseluruhannya tidak boleh memperjudikan masa depan negara kepada pemimpin yang sudah tidak cergas dan berusia kerana pembangkang sehingga hari ini, belum ada calon berwibawa yang akan ditonjolkan dalam gabungan pembangkang PKR selain Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Golongan juga muda harus memahami bahawa JOM adalah untuk mereka melihat pemba­ngunan sosial dan ekonomi, yang direka khusus untuk mereka. Manifesto untuk orang muda ini akan mengubah persepsi mereka terhadap segala tohmahan yang dilemparkan kepada kerajaan selama ini.

Sudah tentu JOM akan memberi jaminan kepada setiap orang muda tidak kira dari bandar atau luar bandar, sama ada bekerja di sektor kerajaan mahupun swasta yang mereka akan diberikan peluang untuk maju dengan tiada siapa akan tertinggal demi memperhebatkan golongan itu.

Ini jelas agak berbeza dengan manifesto pembangkang yang mana JOM meliputi kesemua aspek kehidupan orang muda, daripada tawaran pekerjaan, peluang meningkatkan kemahiran, kenaikan gaji, waktu kerja fleksibel kepada wanita, pemilikan rumah sehinggalah bantuan memudahkan urusan perkahwinan.

Pendekatan ini cukup ‘berjiwa muda’ dan moden yang mana rakaman video yang memperincikan jaminan kerajaan kepada golongan belia oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, membuat golongan muda begitu teruja.

Melalui konsep JOM ini, peluang untuk semua anak muda tetap ada dan tiada sesiapa yang tertinggal dalam proses pembangunan ini.

Generasi muda yang akan mem­bawa Malaysia kepada TN50. Maka ini adalah masa untuk mereka, apa yang hendak tunggu lagi? Semalam, hari ini dan esok kerajaan menyediakan peluang untuk kita memanfaatkannya.

Turut tidak ketinggalan adalah aspek memperkasakan usahawan muda dengan tumpuan diberikan dalam mengurangkan masalah birokrasi berkaitan mendapatkan pinjaman perniagaan.

Bagi usahawan muda, bantuan sedia ada ini seharusnya dipermudahkan dengan tiada lagi birokrasi untuk mereka mendapat pinjaman menerusi portal Youth Entrepreneur Network (YEN) yang turut membolehkan mereka mendapat geran dan latihan dengan mudah.

Ini juga meliputi pembelian rumah pertam dengan mudah oleh golongan muda, penambahan rumah mampu milik dan rumah transit, kad pengangkutan pun ada, internet yang lebih murah dan kos klinik lebih baik. Mesej yang diberikan agak tersirat supaya golongan muda dapat menyambut dan menjulang peluang disediakan oleh kerajaan.

Sebelum ini saya ada ­me­nyentuh bahawa Generasi Y adalah bakal penentu masa depan negara. Lebih kurang lima juta pengundi adalah pengundi muda dan kali pertama akan mengundi pada PRU-14 ini.

Perlu diberi perhatian bahawa sumbangan pengundi kali pertama telah memainkan peranan penting dalam dua pilihan raya 2008 dan 2013.

Maka kumpulan ini jugalah yang akan terus menjadi penentu kejayaan BN pada PRU akan ­datang. Perlu juga ditekankan bahawa golongan muda hari ini adalah jauh lebih bijak untuk menjadi pemimpin masa depan melalui kemahiran, kebijaksa­naan dan keberanian yang sedang diketengahkan.

JOM adalah manifesto khas yang akan memberi keyakinan kepada anak muda bahawa BN adalah parti pilihan mereka kerana mempunyai rancangan proaktif untuk golongan ini.

Kerajaan BN sudah pun me­laksanakan pelbagai dasar dan peluang bagi generasi muda untuk mengembangkan potensi mereka melalui peluang belajar, serta mendapat pengalaman dalam pelbagai projek kerajaan.

Ini jelas menunjukkan BN serius membangunkan keperluan generasi muda, berbanding pembangkang. BN mengambil maklum balas orang muda dalam membentuk dasar dan rancangan pembangunan negara.

Adalah lebih jelas bahawa BN sangat prihatin terhadap masa depan generasi akan datang.
 JOM akan menjadi penyelesai kepada dilema yang dihadapi oleh golongan muda dalam aspek pe­ningkatan kemahiran selaras de­ngan keperluan industri dan negara, perumahan, kos sara hidup, pendapatan dan keusahawanan.

Semua manifesto ini dibuat selepas melakukan beberapa analisis, mesyuarat dan perbincangan dengan pelbagai pemegang saham termasuk golongan muda untuk menjadikannya lebih mudah didekati dan holistik.

Maka sokongan berterusan golongan muda terhadap kepe­mimpinan BN adalah penting bagi menjaga keperluan golongan muda. Kerajaan BN telah pun memberi tumpuan dalam menyediakan peluang yang saksama untuk golongan muda tanpa me­ngira bangsa.

PENULIS ialah Naib Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang.