Pemimpin tempatan dalam kalangan masyarakat India sendiri mengakui Perdana Menteri mengotakan apa yang dijanjikan dua tahun lalu bahawa beliau akan kembali ke Kuala Selangor untuk menunaikan permintaan mereka sebelum ini.

Selaku Ahli Parlimen Kuala Selangor saya sendiri menyaksikan detik menarik ini. Apa yang disaksikan ini antara contoh janji-janji kerajaan BN terus ditunaikan. Sejak menjadi Perdana Menteri sembilan tahun lalu, beliau tidak putus-putus melakukan yang terbaik demi kepentingan orang ramai, tidak kira kaum dan agama.

Dalam ucapannya, Najib menekankan agenda penting kerajaan BN untuk meningkatkan taraf hidup dan memajukan masyarakat India di negara ini adalah satu usaha berterusan. Perdana Menteri juga memberitahu perkara itu tidak boleh dicapai dalam tempoh sehari dua kerana ia bukan sahaja melibatkan soal pembangunan fizikal malah perubahan struktur kehidupan kaum berkenaan.

Saya juga bersetuju dengan ucapan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam bahawa masyarakat India akan lebih maju ke hadapan sekiranya mereka mengukuhkan perpaduan sesama mereka.

Kata beliau: “Ini cabaran yang kita hadapi tetapi saya yakinkan anda bahawa dengan kerajaan BN, ada harapan untuk kita. Apa yang kita perlukan adalah sokongan dan kepercayaan anda untuk membolehkan kerajaan BN memberi yang terbaik.”

Seperti kata Najib yang juga Pengerusi BN: “Kita bukan omong-omong kosong.” Atau dalam bahasa Tamil vetti pecchu. Sebaliknya ia adalah kenyataan atau nijjam.

“Kami (kerajaan BN) akan menunaikan apa sahaja yang kami janjikan kepada semua rakyat Malaysia, ini jaminan kita” kata Najib ketika berucap pada majlis sambutan perayaan Thaipusam.

Beliau mahu semua rakyat melihatnya sebagai Perdana Menteri kepada semua kaum. Bukan satu kaum sahaja meskipun beliau juga Presiden UMNO.

Rekod pentadbiran Najib sejak April 2009 menunjukkan BN melakukan segala yang terbaik lagi konstruktif demi kepentingan rakyat negara ini. Sebab itu, sebaik diberi amanah sebagai perdana menteri beliau memperkenalkan slogan “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan”. Makna slogan ini terus dikotakan menerusi pelaksa­naan pelbagai program dan aktiviti demi kepentingan rakyat.

Agenda kerajaan BN dalam me­ningkatkan taraf hidup masyarakat India diterjemahkan menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia yang dilancarkan April lalu. Peruntukan RM50 juta juga kepada Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, yang dikendalikan menerusi Unit Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India, peruntukan RM50 juta untuk pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan dana RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan serta baik pulih sekolah-sekolah Tamil.

Kerajaan Pusat turut mengumumkan inisiatif baharu yang mana Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan membuat pengagihan khas RM1.5 bilion unit tambahan Amanah Saham 1Malaysia untuk masyarakat India, terhad kepada 30,000 unit setiap pelabur.

Semasa di Kuala Selangor, Najib juga memberitahu yang beliau akan melancarkan skim pelaburan khas untuk golongan isi rumah B40 yang akan menambah simpanan 100,000 isi rumah B40 kaum India, khususnya yang berada di bawah garis kemiskinan pada bulan ini.

Selaku wakil rakyat dari Parlimen Kuala Selangor, yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama, saya yakin BN mampu membawa kemakmuran, kestabilan dan kesejahteraan berterusan. Ini harapan semua. BN memerlukan satu platform yang kuat untuk membawa lebih banyak projek berfaedah kepada rakyat.

Kerajaan BN tidak pernah mengecewakan. Kehadiran pemimpin-pemimpin BN termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Batu Caves untuk bersama rakyat semasa sambutan Thaipusam menunjukkan rakyat tidak kira kaum dan agama akan terus dibela dengan membina jalinan silaturahim dan perpaduan.

BN menjadi harapan semua. Rakyat menjadi harapan untuk ke­sinambungan pentadbiran yang stabil dan sejahtera.

DATUK SERI DR. IRMOHIZAM IBRAHIM ialah Ahli Parlimen Kuala Selangor merangkap Ahli Majlis Tertinggi UMNO.