Sudah tersurat bukan rezeki buat anak perantauan yang juga pakar bius, Dr S. Streram berdagang di Rantau apabila cubaan kali kedua menjadi wakil rakyat masyarakat di sana dinafikan dengan lebih jelas kali ini melalui kertas undi.

Kali pertama mencuba nasib semasa Pilihanraya Umum ke-14 lalu, belum sempat masuk gelanggang beliau sudah ‘tewas’ mengejut terkena pukulan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), lalu Datuk Seri Mohamad Hasan diisytihar menang tanpa bertanding kerusi N27 Rantau sebelum Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan kemenangannya tidak sah dan terbatal.

Keputusan rasmi PRK DUN Rantau telah diumumkan secara rasmi dengan Mohamad Hasan atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat mewakili Barisan Nasional (BN) mendapat 10,397 undi, diikuti Dr Streram mewakili Pakatan Harapan (PH) sebanyak 5,887 manakala calon bebas iaitu R. Malarvizhi dan Mohd. Nor Yassin masing-masing hanya mendapat 83 dan 79 undi.

Dengan majoriti 4,510 undi diterima, boleh disimpulkan bahawa penduduk Rantau terkesan dengan biusan cinta Tok Mat, BN dan hubungan mesra bersama Pas. Menjadi wakil rakyat tiga penggal di Rantau sebelum ini pastinya banyak bakti dan budinya di sana, ditambah faktor anak jati dan merupakan Menteri Besar yang dihormati, cemerlang dan disayangi rakyat Negeri Sembilan semasa menduduki jawatan tersebut sebelum PRU-14, kemenangan Tok Mat di Rantau sudah boleh dijangka dari awal. Culaan oleh Ilham Centre yang dikeluarkan dua hari sebelum 20, 926 pengundi berdaftar keluar mengundi pada Sabtu seperti mengesahkan lagi telahan tersebut.

Kajian yang dibuat oleh Ilham Centre ke atas 396 responden menunjukkan pengundi lebih cenderung menyokong bekas menteri besar dan bekas Adun Rantau ini dengan peralihan undi daripada PH kepada BN sebanyak 24.5 peratus. Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Azlan Zainal, calon BN ternyata unggul dan diterima oleh semua segmen pengundi termasuk pengundi India dan Cina. Apabila keputusan rasmi diumumkan di Dewan SJK (C) Bandar Seri Sendayan pada jam 8.45 malam pada Sabtu, telahan awal pemerhati politik dan hasil kajian Ilham Centre bukan omongan kosong lagi.

Pendapat penulis, persepsi kurang baik yang ditimbulkan mengenai janji menunaikan manifesto PH, tekanan kos sara hidup, hak keistimewaan Melayu dan Islam, dasar yang tidak jelas dan kompetensi menteri kabinet yang tidak dapat ditepis dan diperjelaskan kembali dengan meyakinkan pada rakyat menatijahkan kesannya di kertas undi.

Mungkin disebabkan kelemahan ini, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menegur kerajaan untuk segera memperbaiki strategi komunikasi. Malaysia Baharu tidak akan sirna, penulis meyakini kerajaan dan kepimpinan PH akan mengambil langkah penambahbaikan drastik. PRK Parlimen Sandakan menanti selepas ini.

PENULIS ialah Pegawai Tadbir di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (Pragmatis) USIM.