SULTAN IBRAHIM
SULTAN IBRAHIM

Ketika keluar dari mahkamah di Kuala Lumpur pagi Khamis lalu, pemimpin utama PKR, Anwar Ibrahim melaungkan seruan agar rakyat menyertai Perhimpunan Bersih. Rakaman aksi beliau kemudian viral dan digunakan oleh para penyokong perhimpunan tersebut untuk menghasut rakyat.

Pada hari yang sama, ada perkembangan lebih besar di Johor Baharu. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memberi peringatan tegas melarang demonstrasi jalanan diadakan di negeri itu yang disifatkan sebagai budaya sesat selain mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan imej negara. "Jangan terikut-ikut cara luar yang menghasut untuk menjatuhkan kerajaan," titah baginda. Walaupun tidak menyatakannya, cukup jelas ia merujuk kepada perhimpunan haram Bersih yang dirancang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November.

Awang melihat titah Sultan Johor itu suatu tamparan besar kepada penganjur Bersih, yang mesejnya wajar direnungkan oleh rakyat Malaysia. Bukan itu sahaja, Sultan Johor meminta rakyat elak dijangkiti 'virus' baharu yang lebih teruk daripada Zika. "Virus yang saya maksudkan adalah perpecahan. Virus ini datang daripada parti politik baharu dan ahli-ahlinya menjadi penyebarnya," demikian tegas baginda.

Tidak perlu bagi Awang tafsirkan kerana semua orang tahu parti baharu yang wujud di negara ini adalah Parti Pribumi Bersatu  Malaysia yang dipengerusikan oleh mantan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad dan Presidennya, Muhyiddin Yassin yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar Johor.

Sultan Ibrahim telah mengambil inisiatif baginda sendiri bagi menyumbang kepada keamanan dan ketenteraman negara demi rakyat dalam menangani senario politik terkini. Pada Awang, titah baginda sangat berharga. Menjunjung Kasih Tuanku.

SOROS - BERSIH

George Soros
George Soros

Tiada apa yang mengejutkan daripada pendedahan laman web DC Leaks terhadap penglibatan hartawan George Soros menaja perhimpunan haram Bersih, Merdeka Center dan  Malaysiakini, yang agendanya memperkasakan pembangkang bagi menggulingkan kerajaan.

Terdapat juga laporan Soros menerusi organisasi miliknya iaitu Open Society Foundation turut memberikan bantuan kewangan kepada badan pemikir Penang Institute dan Majlis Peguam. DC Leaks juga adalah pihak yang sama telah menggodam dokumen milik banyak tokoh dan entiti utama antarabangsa.

Seorang lagi yang dikaitkan namanya adalah John Pang, yang bekerja di bawah Soros bagi melobi kerajaan Amerika Syarikat dalam konspirasi menjatuhkan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak. Sebenarnya campur tangan Soros bukan baharu.

Awang masih ingat beberapa aktivis pembangkang termasuk Lokman Adam pernah mendedahkan penglibatan Soros membantu PKR dan Malaysiakini pada 2004. Ini termasuk melalui dana National Endowment for Democracy (NED) yang Soros di belakangnya. Dalam pendedahan terbaharu ini, penganjur Bersih mengaku menerima dana Soros, begitu juga Malaysiakini.

Maka buat sekelian kalinya terbukti bahawa perhimpunan Bersih didalangi tangan asing termasuk Soros yang mahu mencorakkan agenda buat negara ini. Penganjur Bersih yang bermuafakat dengan parti pembangkang boleh membuat apa sahaja penjelasan tetapi bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan nyiru.

 Selama ini, perhimpunan tersebut berselindung atas pelbagai slogan termasuk demokrasi dan kebebasan tetapi sebenarnya membuka lebih luas campur tangan asing. Awang melihat perhimpunan tersebut adalah cerminan ketidakyakinan penganjur Bersih bersama  DAP,  PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia terhadap kuasa penentuan sebenar rakyat di peti undi. Mengapa perlu menolak kuasa rakyat dan menyakini kuasa luar
 Lalu perhimpunan haram yang menjadi senjata halus kuasa asing digunakan untuk membakar sentimen rakyat agar berlaku rusuhan jalanan ala Arab Springs di negara ini bagi menggulingkan kerajaan di luar proses demokrasi.

Ia bukan lagi isu politik semata-mata malah menjadi isu ancaman keselamatan yang serius. Cabarannya selepas ini, apa lagi yang kita tidak tahu terhadap semua elemen campur tangan asing dalam perhimpunan Bersih.

Setakat itu jumlah tertentu sahajakah  wang yang diterima atau ada saluran tersembunyi dalam bentuk lain. Siapa pemimpin dan figura politik kita yang terlibat? Siapa yang mendapat manfaat paling besar daripada perhimpunan Bersih? Banyak misteri yang perlu dibongkar dalam sejarah baharu pengkhianatan moden terhadap tanah air tercinta ini.

MALAYSIAKINI

Awang kerap bangkitkan keghairahan portal berita pro DAP, Malaysiakini mempromosi perhimpunan haram Bersih saban tahun seperti ada dorongan  luar biasa. Pendekatan laporannya yang menghasut rakyat seolah-olah Malaysia tidak layak dihuni oleh manusia. Cakap-cakap bahawa Malaysiakini menerima dana asing sudah lama kedengaran malah pernah dipersoalkan oleh orang dalam portal itu sendiri. Kebimbangan ramai kini apakah portal tersebut menjadi wadah bagi pihak asing menjayakan agenda campur tangan asing, yang petunjuknya sudah begitu banyak dan menyerlah.

Di beberapa negara termasuk di China, Singapura, Indonesia dan Turki, portal yang dihidu ada dalang asing, sudah pasti dicela dan akhirnya gulung tikar. Rakyat tidak akan kompromi kepada media yang menjadi alat kuasa asing biar apa pun gula-gula dan sensasi yang disajikan. Patriotisme dan kedaulatan mengatasi segala-galanya. Sejak 2008, sudah banyak rungutan, bantahan bahkan aduan polis dibuat ke atas Malaysiakini namun seperti mencurah air ke daun keladi.

Buatlah kajian mengenai kandungan, sudut pandangan dan komen-komen pembaca yang disiar secara selektif, memang banyak memudaratkan negara. Itu belum menyentuh isu-isu mencabar  kepentingan Islam di negara ini yang kerap dimainkan oleh portal tersebut. Adalah menjadi harapan ramai agar pihak berkuasa tidak lagi mengambil mudah Malaysiakini, janganlah apabila sudah terhantuk baru terngadah.
Semoga penubuhan pasukan khas polis selain Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) bagi menyiasat dakwaan Malaysiakini menerima dana Soros, benar-benar berorientasikan tindakan, bukan lagi retorik. Jika Malaysiakini terus diberi 'imuniti'' ia akan memberi mesej yang salah dan bercelaru kepada rakyat melainkan memang kita mahu akur  agenda asing seperti Soros.

CHINA JADI PILIHAN?

Lawatan Perdana Menteri, Mohd. Najib Tun Razak ke China disifatkan paling berjaya dalam sejarah hubungan dua hala. Sebanyak 14 memorandum persefahaman dimeterai bagi pelaburan dan kerjasama perdagangan mencatatkan RM144 bilion.Paling menarik perhatian Awang adalah keputusan pembelian empat buah kapal misi pesisir (LMS) dari China untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ia di bawah  kerjasama  di antara  Bousted dan China Shipbuilding & Offshore International Company (CSOC) bagi pembinaan secara bersama yang memakan masa 24 bulan. Inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia menggunakan aset dan kelengkapan ketenteraan yang besar dan begitu signifikan dari China. Awang setuju dengan pandangan Menteri Pertahanan, Hishammuddin Tun Hussein bahawa Malaysia berhak membuat pilihan berdasarkan keperluan, harga yang lebih murah,  lebih cepat pembinaannya dan banyak kelebihan lain menjadikannya pilihan terbaik buat TLDM. Awang melihat sekali lagi Malaysia membuktikan dasar pertahanan yang realistik dan tidak bergantung kepada sesuatu sumber atau kelompok negara.

Kerajaan pernah mengambil keputusan yang melawan arus dengan membeli pesawat pejuang MiG dan Sukhoi dari Rusia di sebalik lobi hebat dari negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK). Malaysia sekali lagi memecah batas psikologi dengan  memilih kapal selam Scorpene dari Perancis. Rusia, Perancis dan China adalah negara industri pertahanan, lebih fleksibiliti dalam tawaran termasuk sistem persenjataan, selain mempunyai polisi yang tidak campur tangan hal ehwal dalam negara.

Untuk apa membeli kelengkapan pertahanan yang terlalu mahal dan banyak 'syarat' dari sebuah kuasa besar tetapi akhirnya menerima tekanan dan dibuli bagaikan Malaysia negara jajahan. Maka Awang melihat pembelian LMS dari China adalah keputusan strategik yang penting buat negara dalam konteks keseimbangan kuasa rantau ini. Jangan lupa China juga adalah kuasa besar, walaupun tidak segah Amerika Syarikat (AS).  

Atas kertas, China adalah sahabat yang lebih menghormati dan komited memakmurkan Malaysia. Filipina, sekutu utama AS puluhan tahun lamanya kini lebih condong kepada China, juga akibat campur tangan berlebihan AS. Awang tidak terkejut pada masa depan, pesawat pejuang China juga boleh menjadi pilihan. Dengan kata lain, sebagai negara berdaulat, Malaysia juga boleh mencatur.