Semua petunjuk positif ekonomi Malaysia kebelakangan ini makin ketara dan membuka mata semua pihak.

Pelaburan asing yang dibawa masuk oleh Perdana Menteri, Najib Tun Razak telah mencecah RM366 bilion dalam tempoh tujuh bulan (November 2016 hingga Mei 2017).

Pada Awang, ini kejayaan terbesar yang menjadi faktor wow kepada perkembangan pesat ekonomi negara. Mata wang ringgit pula menunjukkan prestasi terbaik di Asia (tidak termasuk Jepun) pada suku kedua tahun ini, setelah mengukuh 2.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat.

Kelmarin Laporan Prestasi Ekonomi Malaysia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) membawa khabar baik, yang Awang turut bersyukur.

Ekonomi negara berkembang 5.6 peratus pada suku pertama 2017 berbanding 4.2 peratus bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Ia merupakan prestasi terbaik dicatatkan sejak suku pertama 2015 iaitu 5.8 peratus. Ramai pemerhati melihat pencapaian itu sebagai di luar jangkaan pada ketika ekonomi dunia berkembang perlahan.

Banyak lagi petunjuk positif, yang semua itu bukan datang bergolek sebaliknya melalui perancangan terbaik dan kerja keras pentadbiran Najib. Perkembangan ini dengan sendirinya membuktikan bahawa Malaysia tidak muflis dan bukan negara gagal seperti dijaja pemimpin Pakatan Harapan yang sanggup memudaratkan negara demi kepentingan politik sempit.

Awang lihat semua ini petanda buruk buat Pakatan Harapan diketuai DAP pimpinan Lim Kit Siang. Siapa sebenarnya yang gagal?

MISTERI DAN KEJUTAN
 

Awang tidak terkejut dengan penahanan seorang koperal polis dengan rampasan wang tunai RM800,000 dalam stor di rumahnya di Melaka, Khamis lalu.

Koperal itu dan dua ketua polis daerah adalah antara 10 individu yang ditahan berhubung kes rasuah melindungi pusat judi dan rumah urut di negeri itu.

Juga tidak mengejutkan jika lebih ramai pegawai dan anggota polis akan ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana 'wabak' itu bukan lagi serius tetapi dahsyat. Selama ini pun gejala itu sudah menjadi bahan bualan masyarakat umum, bukan sahaja di Melaka malah di seluruh negara. Media terutama Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia telah banyak mendedahkan mengenai aktiviti premis judi haram dan pusat maksiat, yang berleluasa seolah-olah tiada kesudahannya.

Banyak badan bukan kerajaan (NGO) dan pelbagai pihak melahirkan kebimbangan terhadap ancaman tersebut, yang mengaitkannya dengan kelemahan serta kepincangaan pihak berkuasa tempatan dan polis. Kini beberapa siri penahanan itu mengesahkan lagi segala pendedahan media dan suara-suara NGO.

Awang menerima maklum balas yang sangat positif daripada masyarakat termasuk ramai anggota polis berhubung pembersihan yang sedang dilakukan. Disebabkan nila setitik rosak susu sebelanga. Tahniah kepada SPRM yang terus agresif memerangi rasuah dan salah guna kuasa terutama melibatkan organisasi penguat kuasa.

Menarik untuk diketahui selepas ini, siapa lagi yang akan ditahan. Khabarnya ada beberapa pegawai kanan polis dalam radar siasatan SPRM. Harapan Awang, agar jerung pemberi rasuah juga tidak terlepas. Semua ini menjadi misteri yang menanti terbongkar dengan kemungkinan kejutan-kejutan lebih besar.

ANCAMAN LGBT

Langkah sebuah universiti swasta di Selangor mahu menganjurkan majlis berkaitan LGBT secara terbuka pada bulan Ramadan amat mengganggu fikiran Awang.

Tidak kurang mengejutkan kenyataan seorang peguam, Muhammad Afiq Mohamad Noor kononnya al-Quran tidak melarang homoseksual, sebagaimana tular di laman sosial. Kenyataan itu amat berbahaya dan dikhuatiri akan memberi mesej yang salah kepada semua.

Aktiviti gay juga makin terbuka antaranya di Taman Rekreasi Tasik Permaisuri di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur. Selain itu, gerakan mempromosi LGBT melalui bantuan NGO asing terus diperhebatkan di bandar-bandar. Agenda utama adalah bagi menghalalkan perkahwinan sesama jantina dengan sasaran utama adalah golongan muda Melayu.

Perkembangan terbaru ini sudah keterlaluan dan menghairankan pihak berkuasa termasuk majlis agama Islam masih belum bertindak. Nampaknya sentiasa ada cubaan terancang untuk mengasak persekitaran di negara ini bagi menyuburkan budaya dan gaya hidup LGBT.

Dalam pada itu, pada 17 Mei lalu, Mahkamah Wilayah Aceh menjatuhkan hukuman sebat 85 kali kepada dua lelaki kerana terbabit dalam hubungan luar tabii. Masyarakat Islam Aceh percaya pelaksanaan akta jenayah Islam adalah benteng terakhir bagi membendung ancaman homoseksual, yang arusnya makin membimbangkan. Renungkanlah.

BERNIAGA

Penegasan Menteri Besar Johor, Mohamed Khaled Nordin bahawa pekerja asing dilarang untuk berniaga di negeri itu, menarik perhatian.

Awang setuju 100 peratus. Mereka sepatutnya bekerja seperti mana tujuan asal, bukannya berniaga.

Benar kata Khaled, peluang perniagaan adalah hak rakyat tempatan. Sememangnya menjadi keresahan rakyat tempatan terhadap gejala ramai pekerja asing yang kini berniaga antaranya di pasar malam, pasar harian, gerai-gerai dan kedai runcit.

Awang berharap pihak berkuasa tempatan tidak berkompromi apatah lagi menjadi pegar yang makan padi. Sebenarnya itulah penyakit utama.

KONSISTENLAH

Awang sudah tidak larat geleng kepala setiap kali memperkatakan soal kebanjiran warga asing di negara ini. Rumusannya - menakutkan. Itu belum menyentuh golongan pelancong, pekerja dan pelajar yang tinggal melebihi tempoh masa yang jumlahnya ratusan ribu orang dan mungkin lebih.

Bayangkan betapa ramai warga asing umpama halimunan yang tidak dapat dikesan dan lama kelamaan menyerap dalam kehidupan masyarakat kita. Ini bukan lagi masalah sosial sebaliknya isu ancaman keselamatan dan kedaulatan. Sebab itu, Awang lega dengan langkah Jabatan Imigresen melancarkan operasi besar-besaran mengesan dan memberkas pendatang asing tanpa izin.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Mustafar Ali sendiri aktif turun padang, baguslah. Cuma diharap operasi itu lebih agresif dan konsisten supaya tidak bermusim dan ad hoc. Itu juga penyakit utama kita.

IKTIBAR

Video insiden pelawak Sulaiman Yassin menampar penerbit David Teo dalam Program Dialog Transformasi Nasional (TN50) dalam satu kekecohan di hadapan Perdana Menteri, Najib Tun Razak, paling tinggi tular minggu ini.

Awang tidak berhajat untuk komen panjang kerana ia kes terpencil, lagipun kedua-duanya telah pun bermaaf-maafan. Buang yang keruh ambillah yang jernih.Yang penting semua pihak harus mengambil pengajaran daripada insiden yang memalukan itu. Antaranya elakkan provokasi dan kekerasan selain lebih berhati-hati kerana ia mudah terheret menjadi isu perkauman.

Paling Awang meluat adalah golongan yang suka menangguk di air keruh dan mempolitikkan insiden seperti itu. Mereka patut tampar muka masing-masing kerana menghina diri sendiri.

BELAJAR DARIPADA SUSI

Penyakit yang lebih besar di negara ini adalah krisis penguatkuasaan. Reputasi pihak berkuasa kita dalam hal ini menjadi isu besar malah dipersenda rakyat. Selain tidak konsisten, isu integriti dan suka beretorik menghantui sehingga tiada budaya penguatkuasaan yang terbaik dan efisien. Awang ingin memberikan contoh ketegasan kerajaan Indonesia dalam menangani ancaman pencerobohan nelayan asing di perairan negara itu.

Di bawah teraju Menteri Laut dan Perikanan Indonesia, Susi Pudjiastuti, iaitu seorang wanita, beratus-ratus kapal dan bot nelayan asing kebanyakannya dari Vietnam, Filipina, Thailand dan Malaysia yang didakwa menceroboh, diletupkan. Kerap tercetus bantahan diplomatik dan ketegangan termasuk dengan China namun Susi, 52, tidak berganjak demi menjaga kedaulatan dan sumber ikan di negara itu.

Baru-baru ini, beliau dinobatkan sebagai salah seorang pemenang anugerah berprestij, Peter Benchley Ocean Award di Washington atas peranannya menjaga ekosistem marin Indonesia dan menangani jenayah laut serta pencerobohan asing.

Keyakinan Susi meneruskan polisi agresif meletupkan bot asing, mendapat pengiktirafan bukan sahaja di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa. Ternyata wanita ini tidak gentar dan goyah dalam dunia yang dikuasai lelaki. Inilah yang dinamakan penguatkuasaan. Maka ambillah iktibar daripada Susi yang keberaniannya, Awang tabik.