Kalau menurut Ahmad Zahid perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa ini. Langkah itu disebabkan kerajaan memandang serius masalah kelemahan kawalan di sempadan.

Pada Awang, isu kawalan di sempadan ini perlu diselesaikan segera kerana ia melibatkan soal keselamatan negara. Selain masalah penyeludupan terdapat masalah lain yang harus diberi perhatian serius oleh kerajaan. Antara yang perlu diberi tumpuan seperti mana didedahkan oleh EAIC ialah bagaimana mungkin penyeludup boleh melakukan penyeludupan dari Malaysia ke Thailand secara terang-terangan sedangkan kita mempunyai pelbagai agensi yang mengawal sempadan.

Justeru Awang berharap mesyuarat MKN akan mengenal pasti punca kelemahan tersebut sehingga memungkinkan perkara itu berlaku kerana kita tidak boleh menggadaikan soal keselamatan negara dalam isu ini. Awang yakin melalui komitmen yang ditunjukkan oleh Ahmad Zahid. Kerajaan pasti akan dapat mencari jalan bagi mengatasi masalah kawalan di sempadan yang hakikatnya bukan isu baharu malah sudah berlaku sekian lama.

Apa yang diharapkan kali ini masalah itu benar-benar diselesaikan untuk tempoh jangka panjang dan bukannya bersifat sementara kerana kita tidak boleh selama-lamanya membiarkan sempadan kita dibolosi dengan sewenang-wenangnya tidak kira atas apa alasan sekalipun.

AWANG – Tunggu keputusan mesyuarat MKN.