Seperti juga Ahmad Zahid, Awang juga mengucapkan tahniah kepada SPRM khususnya Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Dzulkifli Ahmad atas kejayaan demi kejayaan yang dicapai dalam membanteras gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Tindakan tegas SPRM dalam memerangi jenayah tersebut semakin mendapat perhatian ramai malah majoriti rakyat menyokong penuh langkah agensi itu yang dianggap melakukan penangkapan dan pendakwaan tanpa ‘pilih bulu’.

Awang difahamkan selepas ini banyak lagi tangkapan akan dilakukan dalam memastikan gejala jenayah rasuah dan salah guna kuasa tidak menjadi `barah’ dalam masyarakat dan di negara kita.

Kepada SPRM teruskan perjuangan murni itu. Jangan takut atau gentar bagi memastikan kelompok yang bersedia me­nyalahgunakan kuasa dan mahu hidup mewah dengan menjamah wang haram dibawa ke muka pengadilan. Sesungguhnya mereka inilah antara pengkhianat sebenar yang jika dibiarkan boleh meruntuhkan negara.

AWANG - Syabas SPRM!