Meskipun banyak laporan media dipaparkan, malah sosek-sosek hinggap di telinga Awang bercakap pasal prestasi PH, Awang lebih gemar menyerahkan kepada rakyat untuk menilainya.

Lagipun, PH baru memerintah setahun. Masih ada empat tahun lagi untuk membuktikan kewibawaan mereka.

Untuk berlaku adil kepada kerajaan dan pembangkang, Awang paparkan analisis daripada wakil kedua-duanya yang Awang percaya mempunyai pengamatan, telahan terhadap tempoh setahun PH berkuasa.

Cuma sesuatu yang boleh dipelajari kepemimpinan kerajaan PH dalam setahun ini - bukan mudah sebenarnya mentadbir sebuah negara pada era hari ini.

Walaupun PH memiliki seorang Perdana Menteri berwibawa yang berpengalaman luas, bahkan tersenarai dalam 50 tokoh dunia paling berpengaruh 2019, namun jika visinya sukar ‘dibawa’ oleh sebahagian besar menteri yang `masih lagi mahu bertatih’, akibatnya kelak kuasa rakyat akan kembali menghukum.

Apa lagi dalam sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk seperti Malaysia - yang kini banyak pula cabaran berkisar soal ras, kaum, agama dan belum lagi dengan turun naik momentum ekonominya.

AWANG - Sentiasa muhasabah diri.