Gerakan Revolusi Antirasuah atau Gerah yang akan ‘turun padang’ setiap bulan diharap dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Begitu juga kempen 3J iaitu ‘Jangan Hulur, Jangan Kawtim, Jangan Settle’.

Kesediaan SPRM membantu masyarakat memahami unsur-unsur yang membawa kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa amat dialu-alukan. Di samping mengesan mereka yang terjebak, masyarakat juga perlu diberi kesedaran untuk membenci rasuah.

Kesedaran itu amat penting supaya kesalahan yang telah berlaku tidak berulang pada masa depan. Setiap anggota masyarakat juga perlu menjadi mata dan telinga SPRM untuk melaporkan sebarang salah guna kuasa atau aktiviti yang berunsur rasuah.

Awang berharap, matlamat SPRM untuk melihat masyarakat bangun menolak rasuah akan tercapai. Bagi tujuan ini, semua pihak, jabatan atau syarikat swasta perlu bertanggungjawab, bukan melepaskan tugas itu kepada SPRM sahaja.

Berilah kerjasama tanpa menyembunyikan salah guna kuasa yang berkait rapat dengan rasuah. Jangan disebabkan mahu menjaga nama baik jabatan atau syarikat melindungi perbu­atan terkutuk itu. Ingatlah kesannya lebih buruk apabila salah laku terbongkar.

AWANG – Kekal 3K Ketabahan, Keyakinan, Komitmen