Sememangnya sejak awal lagi, Awang sudah merasakan dakwaan bekas Perdana Menteri itu tidak munasabah. Awang tidak tahu dari mana Dr. Mahathir mendapat maklumat berkenaan tetapi seperti mana kata Mohamed Khaled, ia tuduhan tidak ­berasas dan berniat jahat.

Awang berpendapat, sebagai seorang negarawan, Dr.Mahathir sepatutnya lebih berhati-hati dalam membuat sesuatu dakwaan. Awang faham mungkin Dr.Mahathir sudah ketandusan idea dalam usaha untuk memburuk-burukkan kerajaan tetapi membuat tuduhan seumpama itu hanya akan merendahkan martabat beliau sebagai seorang pemimpin yang dikagumi selama ini kerana ketelitian dalam satu-satu perkara.

Mohamed Khaled telah mengambil tindakan bijak dengan membuat penjelasan berhubung perkara itu. Maklumlah yang melemparkan tuduhan tersebut adalah Dr.Mahathir. Kalau tidak dinafikan dakwaan berkenaan mungkin orang akan percaya.

Apapun Awang menasihatkan Dr. Mahathir, kalau mahu berpolitik gunalah cara berhemah. Janganlah menggunakan pendekatan tohmahan dan fitnah kerana ia tidak akan menguntungkan sesiapa. Dalam masa sama, Awang yakin dakwaan Dr. Mahathir tidak mengganggu kelancaran perancangan Mohamed Khaled dalam membangunkan Johor.

AWANG – Tak suka buat tuduhan.