Semuanya berpunca daripada satu temu bual sebuah akhbar dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr. Mujahid Yusof. Isunya mengenai 'larangan intipan dan serbuan ke atas perlakuan khalwat’. Kenyataan itu menimbulkan pelbagai reaksi. Ada yang setuju dan ada yang marah.

Semoga penjelasan menteri yang menjaga hal ehwal agama itu akan menyelesaikan segala kekalutan. Ini bukan kali pertama kenyataan Mujahid menimbulkan kontroversi.

Sebelum ini ada isu melibatkan sekolah tahfiz dan berkaitan perlakuan Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). Kenyataannya termasuk isu penggunaan tandas awam mengelirukan.

Kenyataan beliau telah membuka ruang untuk masyarakat turut serta memberi pandangan. Sekurang-kurangnya segala kelemahan diperbaiki dan cadangan yang tidak masuk akal ditolak awal-awal. Bagaimanapun, berhati-hatilah pada masa hadapan sebelum memberi kenyataan.

Awang bimbang jika isu-isu seumpama ini boleh mencetuskan salah faham seterusnya membuka ruang untuk bertelagah sesama umat Melayu dan Islam. Akhirnya ia boleh menimbulkan persepsi yang kurang baik dalam kalangan masyarakat. Sedikit sebanyak boleh mencalarkan imej Islam lebih-lebih lagi jika ada pihak yang sengaja tidak faham atau memutar belit fakta.

AWANG – Hati-hati buat laporan.