Sikap manusia membawa pengertian yang luas. Salah satu yang dirujuk oleh Perdana Menteri ialah nasihatnya supaya rakyat menjaga kebersihan seperti tidak membuang sampah ke dalam longkang dan parit bagi mengelakkan ia tersumbat. Memang tepat nasihat itu. Kadang-kadang manusia lupa dan tidak mempedulikan hal-hal berkaitan menjaga sistem saliran ini.

Bukan sahaja orang awam yang tidak mengambil berat, malahan pihak berkuasa juga kadang-kadang lalai. Mereka lupa tanggungjawab untuk memantau sistem perparitan, longkang, parit atau sungai supaya sentiasa dalam keadaan baik.

Kadang-kadang projek siap dengan kos yang tinggi tetapi gagal dalam soal penyelenggaraan. Bina dan tinggal. Akhirnya sampah, rumput, tanah, batu dan sebagainya menimbus sistem saliran. Tanah-tanih yang mendap menyebabkan sungai menjadi cetek.

Awang juga berharap, masyarakat terutama yang bertindak sebagai pentadbir akan lebih bersikap mesra bumi dan alam. Kaji dan teliti dahulu sebarang cadangan pembangunan di kawasan berisiko seperti di lereng bukit, hutan hijau dan sebagainya bagi mengelakkan hakisan. Ingatlah bumi kita semakin tua dan tenat. Sama-sama merawatnya.

AWANG – Cuci longkang depan rumah.