Insentif yang diguna pakai oleh IPG dengan matlamat akhirnya membolehkan pekebun kecil getah yang memiliki purata 2 hektar dan produktiviti cuplump sebanyak 3,000 kilogram/hektar/tahun menikmati pendapatan bulanan sebanyak RM1,100. Bagaimanapun nasib pekebun kecil hari ini bukan sekadar terkesan akibat kejatuhan harga tetapi masalah cuaca.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Hujan berpanjangan menyebabkan mereka tidak dapat menoreh. Maknanya punca pendapatan hilang. Justeru pelbagai bantuan lain perlu disalurkan untuk mereka meneruskan kehidupan. Mereka bukanlah orang yang berpendapatan tetap seperti golongan 'miskin bandar’.

Kemelut yang melanda golongan ini perlu diberi perhatian supaya jalan keluar dapat dicari sebagai persediaan masa depan. Pelbagai agensi kerajaan mungkin boleh bergabung mencari penyelesaian isu ini. Khidmat nasihat mereka juga diperlukan.

Awang berharap golongan ini juga berusaha beralih mencari pendapatan lain. Persoalannya dalam tempoh peralihan, apakah yang dapat menjamin pendapatan mereka? Beralih kepada bidang lain bukanlah semudah menyalin pakaian. Hari ini menanam durian hasilnya entah bila. Apa pun, rezeki ada di mana-mana. Pokok pangkalnya bergantung kepada usaha.

AWANG – Pernah kutip sekerap.