Langkah ini dilihat amat tidak wajar, tidak menghormati undang-undang antarabangsa serta norma hubungan diplomatik. Kesannya hanya menyebabkan pergeseran diplomatik semakin meruncing. Isu ini tidak akan selesai selagi Korea Utara menunjukkan sikap menuding jari mencari kesalahan Malaysia. Setakat ini kita tidak ada pilihan lain kecuali mengambil tindakan yang sama menghalang rakyat Korea Utara itu meninggalkan Malaysia.

Melihat kronologi pergeseran ini, Malaysia tidak pernah mengugut atau mengancam keselamatan rakyat Korea Utara di Malaysia kecuali meminta kerjasama bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam. Pihak berkuasa Malaysia hanya mahu mencari kebenaran, bukan mencari silap mana-mana pihak.

Tindakan biadab menuduh negara ini bersekongkol dengan Korea Selatan dalam siasatan pembunuhan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang diplomat.

Awang berharap, Malaysia akan mengambil langkah segera bagi meredakan ketegangan terutama dalam menjamin ke­selamatan rakyat Malaysia di Korea Utara. Semoga tidak timbul spekulasi yang membimbangkan. Semua pihak perlu bertindak secara profesional bagi meredakan ketegangan ini.

AWANG – Doakan keselamatan rakyat Malaysia.