Setiap orang berhak menderma. Bagaimanapun dalam keghairahan pelbagai pihak menagih sumbangan, ada yang mengambil kesempatan menjadikan individu tertentu termasuk remaja sebagai mangsa kerja paksa atau pengemis. Laporan dari Ipoh semalam menyebut ada warga Thailand yang dipaksa ‘bekerja’ lebih 10 jam sehari. Hampir setahun mereka di sini.

Lebih mendukacitakan, jika gagal mengutip RM100 sehari, mereka dinafikan hak untuk makan. Tindakan ini menimbulkan keraguan sejauh mana kesahihan tujuan kutipan itu. Lebih membimbangkan, ada pihak mungkin mengambil kesempatan me­ngutip derma kononnya bagi pembinaan masjid/surau di Thailand yang sukar dipastikan kesahihannya.

Adakah mereka diberi tauliah mengutip derma? Pastikan sumbangan kita benar-benar dimanfaatkan untuk kebajikan.

Awang sedih melihat anak remaja yang ke sana sini bagaikan pengemis mengutip derma sambil membawa ‘surat pengesahan’ dan produk. Kenapa sehingga larut malam, masih ada anak gadis yang keletihan mundar-mandir mengutip derma? Sesuatu harus dilakukan supaya orang ramai tidak terpedaya dengan pihak yang berselindung di sebalik nama anak-anak yatim, masjid dan surau.

AWANG - Bantu ikut kemampuan.