Berdasarkan kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) diadakan sebelum Jun, maka pakatan tidak ada pilihan lain kecuali Dr. Mahathir. Sebelum ini, PKR tidak bersetuju dengan cadangan itu tetapi akhirnya akur dengan bersyarat. Begitulah pemuafakatan pakatan dalam menuju PRU-14.

Jika pakatan menang, Dr. Mahathir boleh kembali ke jawatan lamanya kemudian ditunjukkan jalan keluar. Matlamat pakatan memenuhi impian dua insan yang pernah bermusuh, seorang bercita-cita mahu menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak dan seorang lagi memenuhi impian untuk menjadi Perdana Menteri.

Jika Anwar Perdana Menteri, adakah isterinya, Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dikekalkan sebagai timbalan? Begitulah politik berasaskan kepentingan pihak tertentu. Rakyat sudah tentu keliru dengan permainan politik tidak sihat ini.

Awang juga tertarik dengan percaturan 165 kerusi di Semenanjung apabila PPBM yang masih bercelaru dan kelam kabut mendapat 52 kerusi. PPBM digambarkan sebagai parti politik yang berpengaruh berbanding PKR mendapat 51, DAP 35 dan Amanah 27.

Keadaan mungkin memihak kepada DAP sekiranya diambil kira kerusi di Sabah dan Sarawak.

AWANG – Baca tersurat dan tersirat.