Menyifatkannya sebagai ‘bapa segala pilihan raya’, gerak kerja yang perlu dilakukan pada kali ini adalah lebih mencabar dan tidak boleh dipandang remeh. Ingatan yang disampaikan Perdana Menteri itu juga tidak terbatas kepada parti-parti politik yang bergabung di bawah naungan BN tetapi juga rakyat yang akan menentukan siapa seharusnya menjadi pilihan mereka.

Pilihan perlu dibuat berdasarkan rekod serta pencapaian. Dalam hubungan ini, UMNO dan BN sudah membuktikan keupayaannya untuk membela kepentingan orang Melayu bumiputera dan rakyat keseluruhannya. Setakat bulan lepas akujanji kerajaan BN semasa PRU-13 juga berjaya mencapai 97.6 peratus pelaksanaannya.

Awang percaya ketika ini, barisan kepemimpinan UMNO dan parti komponen BN perlu mengukuhkan perpaduan. Sekarang bukan masa untuk berbalah mengenai kerusi dan calon sebaliknya perlu mengatur strategi demi survival atau destini umat serta negara. Dengan ungkapan tidak kurang 20 kali mengenai PRU sepanjang ucapan dasar itu, setiap anggota parti perlu turun ke medan tempur ini dengan matlamat untuk mendapat mandat besar.

AWANG - Sedia susun strategi.