Sebagai negara jiran dan lokasi yang menjadi tumpuan para pelancong dari Malaysia, kita sama-sama mendoakan keselamatan penduduk di kawasan yang terlibat terutama di daerah Pidie Jaya. Selain meragut banyak jiwa, gempa bumi itu turut memusnahkan harta awam, kediaman, bangunan pejabat dan perniagaan serta masjid.

Gempa bumi bukanlah sesuatu yang luar biasa di Acheh. Hanya kesannya, kadang-kala kecil dan ada ketikanya melibatkan jiwa serta kerosakan. Syukurlah walaupun gempa bumi itu mengorbankan jiwa tetapi ia tidak membawa bersama gelombang raksasa tsunami. Jika tidak, keadaan akan lebih teruk.

Awang juga mendoakan keselamatan rakyat Malaysia di sana terutama para pelajar serta pelancong. Pada masa yang sama diharapkan rakyat Malaysia akan turut sama membantu mangsa bencana untuk memulihkan semula kehidupan yang terjejas. Sokongan kita sebelum ini terbukti apabila Acheh dilanda bencana kemanusiaan terbesar berikutan tsunami 2004.

Semoga penduduk Acheh terus tabah menghadapi dugaan ini. Sebagai manusia, kita hanya mampu berdoa, merancang, berusaha dan berikhtiar dalam mengelakkan sebarang bencana.

AWANG - Terkenang 26 Disember 2004