Bagaimanapun penahanan itu membuktikan Malaysia tidak terlepas daripada menjadi sasaran pengganas yang mahu melunaskan agenda songsang mereka dengan memperalatkan nama Islam. Atas sebab itu, Awang menyokong penuh apa jua tindakan pihak berkuasa dalam mengekang kumpulan tersebut daripada melakukan keganasan di negara ini.

Pada masa sama, Awang berharap kerajaan akan segera menaikkan taraf Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas (E8) Bukit Aman kepada jabatan bagi memaksimumkan keupayaan bahagian itu dalam membanteras ancaman pengganas. Kita tidak boleh lagi memandang ringan bahaya yang menanti.

Ancaman kelompok itu kini bukan lagi sekadar kata-kata, malah mereka sememangnya sudah menyusun strategi dan menanti masa untuk bertindak. Atas sebab itu, negara ini khususnya PDRM perlu berada dalam keadaan cukup bersiap sedia.

Apapun Awang sentiasa menaruh penuh keyakinan kepada PDRM untuk menangani ancaman ini. Apa yang penting semua pihak perlu memberi sokongan dan tidak mudah terpengaruh dengan perjuangan puak-puak militan sehingga sanggup bersekongkol dengan mereka, kononnya atas nama jihad.

AWANG – Tahniah PDRM.