Bagi Awang, kemurahan hati kerajaan atas inisiatif Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said untuk mendapatkan pelepasan bagi 50,000 kes kebankrapan itu perlu dihargai.

Bayangkan mereka terperangkap dalam status bankrap hanya kerana gara-gara menjadi penjamin sosial. Selain itu, mereka yang mendapat pelepasan termasuk telah meninggal dunia, orang kurang upaya dan penghidap penyakit kronik.

Usaha kerajaan ini susulan pindaan Akta Insolvensi 1967 yang berkuat kuasa semalam bakal memberi peluang `kumpulan penjamin sosial’ ini untuk bangkit semula memulakan kehidupan dan menyumbang kepada ekonomi negara.

Sejajar dengan akta baharu itu, Awang berharap kerajaan terus memperkenalkan inisiatif-inisiatif baharu terutama untuk menyelamatkan serta mengelak rakyat Malaysia daripada menjadi bankrap dalam usia muda. Mengikut data dari 2013 hingga Ogos 2017, seramai 23,036 berusia 25 hingga 34 tahun diisytihar bankrap.

AWANG – Jangan bankrap inisiatif bantu rakyat.