Wujudkan peraturan yang membolehkan tindakan diambil terhadap kerajaan negeri yang gagal menggantikan tanah rizab yang diubah statusnya. Elakkan pengambilan tanah rizab Melayu dengan sewenang-wenangnya. Keutamaan harus diberi terhadap syarat-syarat penukaran status tanah berkenaan.

Menggantikan tanah rizab Melayu yang diubah statusnya merupakan satu kemestian tetapi sejauh mana ia turut mengambil nilai sebenar tanah yang diambil? Apa maknanya mengambil tanah di lokasi bandar yang bernilai tinggi tetapi digantikan tanah di hujung desa dengan nilai atau harganya ibarat langit dengan bumi.

Begitu juga keluasan lima hektar di bandar digantikan juga dengan lima hektar tanah yang terletak di kawasan terpencil.

Awang berharap, resolusi berkaitan tanah rizab itu dapat mengembalikan keluasan tanah rizab Melayu yang semakin terhakis. Merujuk satu pembentangan kertas berkaitan tanah rizab kelmarin, ternyata bukan sahaja tanah rizab Melayu berkurangan tetapi peratusan individu Melayu yang memiliki ‘bank tanah’ juga amat menyedihkan. Mungkin Melayu perlu diperingatkan bahawa tindakan menjual tanah umpama menjual negara.

AWANG – Hanya ada tanah rumah di kampung.