Semalam, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu turut mengeluarkan amaran kepada penduduk di dua kawasan lembangan Sungai Terengganu supaya bersiap sedia berdepan banjir yang dijangka bermula malam tadi.

Kedatangan musim tengkujuh dijangkakan kerana terdapat antara empat hingga enam episod hujan lebat berlaku sepanjang Monsun Timur Laut kali ini.

Awang menyebut hal ini untuk membangkitkan rasa prihatin semua pihak. Musim cuti sekolah yang panjang pun akan bermula. Keterujaan ibu bapa mengatur cuti di kawasan-kawasan peranginan tepi pantai dengan menginap di hotel perlu diiringi tahap kewaspadaan tinggi keselamatan anak-anak.

Secara purata terdapat 700 kes lemas setiap tahun. Namun, apa yang lebih membimbangkan Awang apabila statistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menunjukkan peningkatan sebanyak 26 peratus insiden mati lemas direkodkan pada tahun lepas berbanding 2016.

Sebab itu, Awang amat berharap para ibu bapa dapat bikin bising terhadap anak-anak termasuk remaja yang gemar berkonvoi sebelum berseronok mandi-manda sama ada di pantai mahupun di kawasan air terjun. Mereka rata-rata tidak kenal dengan 'kepala air, pusaran air dan kedalaman air’.

Kalau tidak diingatkan, risiko begitu tinggi sehingga mengundang maut.

Kadang-kala hanya kecuaian yang sedikit seperti mengambil bola yang disepak di gigi air atau anak kecil cuma diawasi bapa saudara di tepi kolam, mengakibatkan kita kehilangan insan tersayang.

AWANG – Beringat sebelum kena.